Ukraine Sabotaj Paip Gas Asli Nord Stream – Dakwa Akhbar Amerika

Laporan terkini oleh Washington Post telah mendedahkan bahawa Amerika Syarikat mempunyai maklumat perisikan awal yang diperolehi daripada sebuah agensi perisikan Eropah menunjukkan bahawa pihak tentera Ukraine merupakan pihak yang bertanggungjawab meletupkan paip gas asli Nord Stream.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Negara-negara Eropah telah menyatakan perkara ini sejak lama, tetapi terpaksa dirahsiakan kerana mereka kekurangan bukti,  namun, segala-galanya telah terdedah hasil laporan oleh akhbar terkenal Amerika Syarikat sendiri, Washington Post.  

Laporan terkini oleh Washington Post telah mendedahkan bahawa Amerika Syarikat mempunyai maklumat perisikan awal yang diperolehi daripada sebuah agensi perisikan Eropah menunjukkan bahawa pihak tentera Ukraine merupakan pihak yang bertanggungjawab meletupkan paip gas asli Nord Stream.

Paip gas asli Nord Stream sepanjang 1,200 kilometer melintasi perairan wilayah Rusia, Finland, Sweden, Denmark dan Jerman menyalurkan gas asli Russia kepada sebahagian  besar benua Eropah yang amat bergantung kepada gas asli itu.

Letupan paip gas Nord Stream pada 26 Sept tahun lepas.

 

Apa yang dahulunya hanyalah rasa curiga, kini semakin jelas bahawa letupan terhadap Nord Stream itu telah dilakukan oleh pihak Ukraine, sekaligus menolak teori bahawa Russia merupakan pihak yang bertanggungjawab meletupkan paip gas asli itu.

Laporan oleh Washington Post itu menyatakan bahawa pentadbiran Presiden Jo Biden telah mengetahui tiga bulan awal sebelum insiden letupan Nord Stream itu bahawa tentera Ukraine merancang untuk menyerang rangkaian paip gas asli bawah laut Eropah dengan bantuan pasukan penyelam kecil tentera.

Pasukan penyelam telah menerima arahan secara langsung daripada Panglima Tentera Ukraine, Valery Saluschnyj.

Laporan perisikan daripada perkhidmatan perisikan beberapa negara Kesatuan Eropah telah memperincikan maklumat tentang tindakan sabotaj oleh Ukraine itu termasuklah kaedah serangan dilakukan oleh unit rahsia Ukraine terhadap Nord Stream itu.

Ia telah memberikan salah satu bukti langsung yang menghubungkan kerajaan Ukraine dengan tindakan sabotaj terhadap infrastruktur tenaga Eropah yang penting itu.

The Washington Post telah merahsiakan nama negara Eropah yang menyalurkan maklumat perisikan dan beberapa aspek rancangan sabotaj itu atas permintaan pegawai kerajaan mereka, mengambil kira risiko terhadap sumber maklumat itu.

Panglima Tentera Ukraine Valery Saluschnyj.

 

Agensi Perisikan Pusat (CIA) memperolehi maklumat perisikan tentang perancangan sabotaj terhadap Nord Stream pada Jun 2022 dan telah berkongsi maklumat tersebut dengan Jerman dan negara-negara Eropah lain pada Jun lalu.

Agensi perisikan Jerman telah menemui persamaan antara pengeboman tersebut dan serangan yang dirancang oleh Kiev.

Baru-baru ini, agensi perisikan Jerman telah merampas sebuah rumah selamat (safe house) yang digunakan dalam operasi sabotaj terhadap paip gas asli Nord Stream itu.

Media Jerman juga melaporkan bahawa penyiasat-penyiasat negara itu telah menemui kapal layar bernama “Andromeda”,  yang telah digunakan oleh penyelam-penyelam Ukraine yang menyamar sebagai sekumpulan pemancing bagi membolehkan mereka menghampir rangkaian Nord Stream.

Letupan yang berlaku pada paip gas asli Nord Stream 1 dan 2 pada 26 September 2022 telah memutuskan bekalan gas asli Russia kepada Eropah.

Pendakwa awam Jerman telah menemui hubungan antara tindakan sabotaj tersebut dengan Ukraine.

Kapal layar “Andromeda”

 

Pada awal tahun 2023, penyiasat Jerman sebagaimana dilaporkan oleh media negara itu menyatakan bahawa kumpulan yang bertanggungjawab meletakkan bahan letupan itu pada paip-paip gas asli Nord Stream itu terdiri daripada lima orang lelaki – seorang kapten, dua penyelam, dan dua pembantu penyelaman – serta seorang doktor perempuan.

Kesemua kewarganegaraan mereka tidak diketahui kerana mereka menggunakan pasport palsu.

Laporan tersebut menyatakan bahawa mereka telah belayar dari pelabuhan Jerman di Rostock pada 6 September dengan kapal layar yang disewa itu.

Laporan tersebut menambah bahawa kapal layar tersebut kemudiannya dikembalikan kepada pemiliknya “dalam keadaan yang tidak bersih” dan “di atas meja di dalam kabin, penyiasat telah  mengesan kesan bahan letupan.”

Pengesahan tentang pembabitan Ukraine dalam insiden letupan terhadap Nord Stream itu telah meletakkan hubungan di antara Jerman dengan Kiev dalam keadaan berisiko.

Walaupun bermula dengan agak berhati-hati,  namun Jerman kini muncul sebagai salah satu negara pembekal bantuan ketenteraan terbesar kepada Ukraine.

Pihak berkuasa Jerman masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung laporan oleh Washington Post itu, namun kerajaan Ukraine telah menafikan pembabitannya dengan dakwaan tindakan sabotaj terhadap paip gas asli Nord Stream itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

AmerikafeaturedNord StreamPaip Gas AliPenyiasat JermanRussiaUkraine
Comments (0)
Add Comment