Nelayan Filipina Temui Dron Navigasi dan Komunikasi Bawah Permukaan Air Milik China
“Dron bawah permukaan air itu mempunyai tanda HY-119 dan dilaporkan merujuk kepada sistem navigasi dan komunikasi bawah permukaan air milik China.” -- Pihak Berkuasa Filipina
By
admin on Januari 3, 2025
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sekumpulan nelayan Filipina telah menemui dron bawah permukaan air (underwater drone) dipercayai milik China di perairan tengah negara itu di San Pascual di wilayah Masbate, menurut pihak berkuasa tempatan yang menyifatkan penemuan dron dasar laut itu “memberikan implikasi keselamatan” kepada negara itu.
Tiga nelayan negara itu menemui dron bawah permukaan air itu pada 30 Disember lalu dan bertindak menyerahkannya kepada pihak polis negara itu.
“Dron bawah permukaan air itu mempunyai tanda HY-119 dan dilaporkan merujuk kepada sistem navigasi dan komunikasi bawah permukaan air milik China.”
Ketua Pejabat Hal Ehwal Awam Polis Filipina Kolonel Xerxes Trinidad berkata bahawa penemuan dron bawah permukaan air itu membuktikan betapa perlunya kerjasama di antara nelayan dan pihak berkepentingan maritim.
Beliau meminta komuniti yang tinggal di pesisir pantai untuk terus bekerjasama dengan kerajaan dan mengawasi perairan Filipina.
Sementara itu Tentera Laut Filipina sedang menjalankan siasatan untuk menentukan fungsi dan asal dron bawah permukaan air itu yang ditemui oleh sekumpulan nelayan itu.
Dalam satu kenyataan akhbar,wakil kepada Surigao Del Norte Robert Ace Barbers berkata bahawa penemuan dron bawah permukaan air itu menunjukkan kemungkinan bahawa China telah menjalankan misi pengumpulan maklumat perisikan dan informasi di kawasan perairan Filipina.
Beliau juga menyatakan betapa perlunya kerajaan negara itu mewujudkan kemudahan tentera laut di Surigao del Norte dan membukanya kepada kehadiran anggota tentera Amerika Syarikat menerusi Enhanced Defense Cooperation Agreement (EDCA).
Filipina dan China telah bertahun-tahun bertelagah mengenai hak maritim di Laut China Selatan serta pemilikan terumbu dan pulau kecil.
China menuntut hampir keseluruhan laut tersebut, sambil mengetepikan tuntutan saingan dari negara lain dan keputusan antarabangsa yang menyatakan bahawa dakwaan China tidak mempunyai asas undang-undang.
Dron berwarna kuning dan bertanda “HY-119” itu ditemui terapung di laut sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa, kata Pengarah Polis Wilayah Andre Dizon, kepada agensi berita AFP.
Dron tersebut berukuran kira-kira dua meter panjang dan berbentuk torpedo dengan sirip.
“Berdasarkan penyelidikan sumber terbuka di internet… HY-119 merujuk kepada sistem navigasi dan komunikasi bawah air milik China,” kata Dizon.
“Ia mempunyai antenna dan lensa yang boleh digunakan untuk penglihatan. Berdasarkan penyelidikan kami, dron ini boleh digunakan untuk pemantauan dan peninjauan.”
Dizon berkata dron tersebut tidak bersenjata, namun laporan polis menyatakan terdapat “implikasi keselamatan negara” sebagai salah satu kepentingan penemuannya.
Ketegangan dan konfrontasi ketenteraan di Laut China Selatan semakin meningkat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pada Disember, kapal pengawal pantai China yang disokong oleh kapal tentera laut melepaskan tembakan meriam air bertekanan tinggi serta menghalang dan melanggar sebuah kapal peronda Filipina.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Filipina, MaryKay Carlson, menuduh Beijing dalam satu hantaran di media sosial kerana membahayakan “nyawa” dengan mengganggu operasi maritim Filipina.
Juga pada bulan lepas, tentera Filipina mengerahkan sebuah kapal tentera laut dan pesawat tentera udara untuk mengekori kapal selam Russia yang melalui perairan Laut China Selatan.
Seorang pegawai berkata tentera laut negara itu terkejut melihat kapal selam tersebut kerana ia adalah “kapal selam yang sangat unik.”
Amerika Syarikat telah memberi amaran bahawa mereka mempunyai kewajipan untuk mempertahankan Filipina jika sekutu utamanya di Asia Tenggar itu diserang di Laut China Selatan. — DSA