MINDEF, Boustead Naval Meterai Kontrak Hidupkan Semula Projek Kapal LCS

Ketua Pegawai Eksekutif Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf berkata objektif utama kontrak tambahan itu adalah untuk menggerakkan semula projek itu yang akan membolehkan BNS menyambung kembali pembayaran kepada pemiutang, pengeluar peralatan asal dan institusi kewangan. 

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah memeterai kontrak tambahan kelima pada 31 Mei yang lalu untuk menghidupkan semula projek pembinaan enam buah kapal Littoral Mission Ship (LCS).

BNS adalah syarikat bersekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC). 

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf dalam satu kenyataan hari ini berkata projek pembinaan kapal LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu telah tertangguh sejak 2019.

“Objektif utama kontrak tambahan ini adalah untuk menggerakkan semula projek itu yang akan membolehkan BNS menyambung kembali pembayaran kepada pemiutang, pengeluar peralatan asal dan institusi kewangan. 

“Bulan-bulan akan datang adalah penting bagi BNS untuk membuat penilaian menyeluruh mengenai keadaan semua peralatan serta kapal sedia ada yang dalam peringkat pembinaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan itu.

Di bawah Pelan Pemulihan LCS ini, kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Projek untuk mengawasi projek dengan teliti sepanjang tempoh mobilisasi.

Sharifuddin juga berkata dengan pasukan pengurusan projek yang berpengalaman dan berkelayakan termasuk fasiliti di bawah BHIC, syarikat itu berharap akan dapat terus menyumbang kepada pengukuhan armada TLDM dan menjaga keselamatan serta kepentingan maritim Malaysia.

Pada 22 April 2022, Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan bahawa Jemaah sebulat suara telah bersetuju bagi meneruskan perolehan kapal LCS untuk TLDM.

Gambar terbaru kapal LCS terbaru (kredit BNS)

 

BNS dianugerahkan kontrak bernilai RM9.1 bilion pada 2011 untuk membina enam buah kapal LCS yang dikatakan sebagai kapal-kapal perang termoden TLDM. 

LCS ini merupakan aset utama dalam ‘Program Transformasi Armada 5 hingga 15’ TLDM untuk mengukuhkan armadanya dengan kapal-kapal yang moden dan sesuai bagi meningkatkan keselamatan maritim Malaysia.

Keputusan Jemaah Menteri untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal LCS itu telah diumumkan oleh Menteri Pertahahan Hishammuddin Hussein dalam satu kenyataan pada 20 April lepas.

Kabinet memutuskan untuk meneruskan pembinaan kapal perang TLDM yang terbengkalai selepas mengambil kira dua faktor utama.

Kedua-dua faktor itu adalah – pertama adalah LCS merupakan aset yang amat diperlukan oleh TLDM.

Faktor kedua adalah kerana terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

“Lebih 100 (vendor) daripadanya adalah syarikat milik rakyat Malaysia. 90 peratus daripadanya ada hubung kait dengan veteran dan majoriti mereka berada di Lumut, Perak terutama pekerja berkemahiran, pakar serta ahli keluarga mereka,” kata Hishammuddin dalam kenyataan itu.

Keputusan ini merupakan sebahagian daripada usaha membela kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia, isteri, anak serta ahli keluarga mereka.

“Saya ambil maklum, vendor-vendor ini mengikuti rapat perkembangan usaha menyelesaikan isu LCS ini dan mereka pastinya gembira dengan keputusan ini.

“…dengan keputusan ini, tiada lagi persoalan sama ada perolehan LCS akan diteruskan ataupun tidak. Kini, semua pihak yang berkepentingan boleh bergerak ke hadapan dan fokus untuk menjayakannya,” katanya.

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal. Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan).  — DSA

 

Boustead NavalfeaturedLCSMINDEFTLDM
Comments (0)
Add Comment