“Mersing Line”, Realiti Atau Omongan Kosong?

“Mersing Line” ini adalah garisan hipotetikal (bayangan) yang menunjukkan sekiranya konflik bersenjata di antara Malaysia dan Singapura berlaku, tentera republik itu dikatakan akan menceroboh, mara dan menakluk sebahagian tanah Johor daripada Johor Bahru sehinggalah ke daerah Mersing di Johor untuk mewujudkan “Mersing Line” itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Mengapakah perkataan “Mersing Line” atau “Garisan Mersing”  itu amat popular dikalangan pemerhati dan penganalisis pertahanan Malaysia dan Singapura. Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan “Mersing Line” itu?

Memandangkan admin dilahirkan dan dibesarkan di Johor serta berminat dengan isu-isu keselamatan dan pertahanan, maka perkataan “Mersing Line” itu sememangnya sentiasa kedengaran dan menjadi topik perbincangan dikalangan rakan-rakan.

Sama ada “Mersing Line” ini wujud atau masih relevan pada masa ini, sukar hendak dipastikan kerana ia melibatkan strategi ketenteraan dan tidak ada pihak yang “cukup gila” hendak mendedahkan tentang strategi ketenteraan tentera mereka, bertahan atau menyerang.

Kapal friget kelas-Formidable Tentera Laut Singapura.

 

“Mersing Line” ini adalah garisan hipotetikal (bayangan) yang menunjukkan sekiranya konflik bersenjata di antara Malaysia dan Singapura berlaku, tentera republik itu dikatakan akan menceroboh, mara dan menakluk sebahagian tanah Johor daripada Johor Bahru sehinggalah ke daerah Mersing di Johor untuk mewujudkan “Mersing Line” itu.

Itulah dia “Mersing Line”, tetapi apakah strategi yang diperlukan dilaksanakan oleh Singapura sekiranya ia mahu mewujudkan garisan itu.

Menurut laporan, artikel dan penulisan oleh ahli akademik , Singapura dikatakan akan menggunakan kekuatan udaranya untuk melumpuhkan TUDM dan segala aset-aset strategik penting Tentera Darat dan Tentera Laut, bagi melicinkan pergerakan masuk unit-unit armor Singapura ke Johor.

Aset-aset peperangan elektronik Singapura juga akan memainkan peranannya.

“Dilindungi” kekuatan udara Singapura dan unit-unit HIMARS-nya,  unit-unit armornya yang terdiri daripada kereta perisai Bionix, Hunter serta kereta kebal Leopard SG akan mara sehinggalah ke Mersing untuk establish “Mersing Line”.

Dua buah pesawat pejuang F-15SG Tentera Udara Republik Singapura di Pangkalan Udara Paya Lebar.

 

Pergerakan pantas ketumbukan armor tentera Singapura akan dibantu dengan “close air support” (CAS) kuasa udara tentera udara republik itu.

Selain itu, pasukan-pasukan komandonya juga akan diturunkan menggunakan helikopter Chinook untuk secure (tawan) Tambak Johor dan Linkedua bagi membolehkan kemaraan tentera Singapura ke Johor.

Tentera Udara Singapura dengan pesawat pejuang F-15, F-16 dan akan datang F-35 serta helikopter Apache, akan mewujudkan payung (umbrella) kepada pergerakan masuk tentera Singapura ke Johor untuk establish “Mersing Line” itu.

Kemaraan unit-unit armor Singapura itu akan turut diiringi oleh puluhan battalion tentera infantrinya (sebahagian besar anggota National Service) untuk mewujudkan “Mersing Line” itu.

Kemaraan tentera Singapura ini diibaratkan seperti strategi “Blitzkrieg” yang dipraktikkan oleh Tentera Jerman pada Perang Dunia Kedua.

Kapal-kapal tentera laut Singapura juga akan memastikan mana-mana kapal TLDM yang masih ada tidak menghampiri perairan Mersing.

Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen selepas melawat bateri Aster-30 di Kem Lim Chu Kang baru-baru ini. (gambar kredit Singapore Straits Times)

 

Ok, berapa lama tempoh masa yang akan diambil oleh Singapura untuk mewujudkan “Mersing Line” itu?

Netizen-netizen Singapura yang sering mendabik dada tentang kekuatan tentera mereka dan kelemahan tentera Malaysia mendakwa tentera mereka mampu mewujudkan “Mersing Line” di dalam tempoh 24 jam selepas peluru pertama dilepaskan.

Wilayah yang ditakluk oleh tentera Singapura daripada Johor Baharu dan Mersing itu dikatakan mahu dijadikan zon penampan (buffer zone) bagi mengelak sebarang serangan artileri dan roket Malaysia daripada mengenai pulau Singapura.

Dalam pemikiran “pre-emptive strike” tentera Singapura, sebarang pertempuran bersenjata hendaklah berlaku di dalam wilayah Malaysia iaitu Johor.

Tentera Singapura seboleh-bolehnya tidak mahu sebarang pertempuran berlaku di dalam wilayahnya yang kecil itu.

Sistem AN/TPQ-53 WLR (Weapon Locating Radar) milik Tentera Singapura. (gambar kredit MINDEF Singapura)

 

Disebabkan saiznya yang kecil, Singapura tidak mempunyai apa yang dikatanya sebagai “strategic depth,” berlainan dengan Malaysia.

Tentera Singapura juga tidak mahu kesilapan yang dilakukan oleh tentera British yang gagal mempertahankan pulau itu daripada ditawan oleh Jepun pada Perang Dunia Ke-Dua.

Apabila Jepun berjaya menguasai Johor, maka kejatuhan Singapura itu sudah boleh dijangka.

Satu lagi sebab mengapa Singapura memikirkan tentang keperluan untuk mewujudkan “Mersing Line” adalah untuk melindungi kemudahan-kemudahan bekalan airnya seperti Empangan Linggiu dan beberapa kawasan lain di Kota Tinggi.

Air adalah sumber asli yang amat penting bagi kelangsungan hidup penduduk Singapura, yang tidak mempunyai bekalan air yang mencukupi.

Malah, jika berlakunya konflik bersenjata di antara Malaysia dan Singapura, kemungkinan terbesar adalah disebabkan oleh air.

Mereka takut sekiranya terdapat cubaan oleh pihak-pihak di Malaysia yang mahu memutuskan bekalan air ke Singapura dan sudah beberapa kali menyatakan secara terbuka bahawa ia sanggup berperang untuk mengelakkan perkara itu daripada berlaku.

Air adalah nyawa bagi Singapura.

Apabila Singapura berjaya menakluk sebahagian besar Johor menerusi “Mersing Line”, mereka akan menggunakan meja rundingan pula untuk mencapai matlamat seterusnya iaitu menandatangani terma-terma perjanjian damai yang akan jelas memihak kepada republik itu.

Singapura tidak akan takluk Johor selama-lamanya kerana daripada segi politik ia tidak berbaloi, ia tidak mahu kehilangan “any goodwill di segi politik” daripada masyarakat antarabangsa.

Ia sudah semestinya tidak mahu menjadi seperti Israel, yang menjadi “pariah state” dimata masyarakat antarabangsa kerana masih menjajah Palestin.

Republik itu tidak mahu digelar sebagai tentera penakluk dan sudah semestinya mahukan pertikaiannya dengan Malaysia diselesaikan di meja rundingan dengan terma-terma yang akan menguntungkannya dalam jangkamasa panjang.

Akibat kita kalah kepada Singapura dalam konflik dan dipaksa menandatangani perjanjian damai yang berat sebelah untuk memastikan kita dapat balik Johor, maka kita terpaksa berada di bawah telunjuk Singapura selama-lamanya.

Mungkin, Singapura akan mendapat bekalan air yang tidak putus-putus daripada Johor dengan kos yang amat murah dan tiada lagi kenyataan untuk merobohkan Tambak Johor.

Tetapi benarkah Malaysia dan Singapura pernah hampir berperang sebelum ini, sebagaimana didakwa sebelum ini oleh mereka yang berada di kedua-dua belah tambak.

SPH Primus Tentera Darat Singapura

 

Admin dimaklumkan pada 1990-1991, hubungan Malaysia Singapura berada dalam keadaan yang genting apabila negara dan Indonesia mengadakan latihan Malindo Darsasa 3AB yang melibatkan penerjunan ribuan askar payung terjung kedua-dua negara pada 9 Ogos iaitu ulangtahun ke-26 Hari Kebangsaan republik itu.

Drop Zone (DZ) askar-askar payung terjun itu hanya 18km daripada sempadan Singapura.

Latihan Malindo Darsasa itu telah menyebabkan Singapura melakukan Open Mobilisation puluhan ribu anggota tentera kerahan tenaga (National Service) Singapura, menunjukkan kegentingan situasi pada ketika itu.

Pada 1998, keadaan juga genting akibat isu KIK di Tanjung Pagar, Singapura sehingga menyebabkan Singapura activate Open Mobilisation kerahan tenaga secara dua bulan berturut-turut.

Open Mobilisation ini juga disusuli dengan Silent Mobilisation unit-unit yang lebih sensitive.

Ada blog republik itu mengatakan tentera NS Singapura sudah bersedia dengan senjata mengelilingi stesen KTMB di Tanjung Pagar pada ketika itu, manakala periuk api diletakkan di sempadan Singapura dan Malaysia.

Pesawat F-16 Singapura di salah sebuah pangkalan udara negara itu.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Oklah, panjang cerita mengenai “Mersing Line”, yang merupakan suatu perkara hipotetikal setakat ini.

Ianya adalah berdasarkan scenario sebelah pihak sahaja, iaitu Singapura manakala kita tidak pasti reaksi dan respons daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia apabila berhadapan dengan usaha pihak Singapura untuk mewujudkan “Mersing Line”.

Kita pasti ATM sudah semestinya memiliki sesuatu strategi ampuh untuk memastikan Singapura gagal melaksanakan usaha untuk mewujudkan “Mersing Line” itu.

Cuma kita ni pandai menyimpan rahsia, tetapi admin pasti ATM sememangnya sudah bersedia sekiranya berlaku konflik di antara kedua negara jiran.

Walau apapun kita berharap hubungan antara Malaysia dan Singapura sentiasa baik dan sebarang pertikaian  dapat diselesaikan di meja rundingan.

Tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan di meja rundingan.  — DSA

featuredGarisanHipotetikalMersing LineTentera