Menteri Pertahanan Adakan Pertemuan Susulan Dengan Duta Kuwait Berkenaan F/A-18 KAF

Menurut posting dalam akaun FB miliknya, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pertemuan dengan Duta Kuwait ke Malaysia TYT Rashed M R Al-Saleh pada Isnin itu adalah susulan daripada lawatan kerja rasminya ke Kuwait pada awal Oktober yang lalu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengadakan pertemuan susulan dengan Duta Kuwait ke Malaysia TYT Rashed M R Al-Saleh di pejabat beliau di Kementerian Pertahanan pada Isnin (semalam).
Menurut posting dalam akaun FB miliknya, beliau berkata pertemuan pada Isnin itu adalah susulan daripada lawatan kerja rasminya ke Kuwait pada awal Oktober yang lalu.
Mohamed Khaled juga telah bertemu dengan Duta Kuwait ke Malaysia pada Julai lalu.
“Pertemuan bersama Duta Kuwait itu tadi merupakan perbincangan susulan berkenaan hasrat Malaysia memperoleh pesawat tempur milik Tentera Udara Kuwait (KAF) yang disasarkan berupaya meningkatkan keupayaan dan kesiagaan ketumbukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kita,” kata Mohamed Khaled.
Menteri Pertahanan juga berkata semasa di Kuwait, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri negara tersebut.
“Saya turut mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber yang menempatkan skuadron yang bertanggungjawab mengendalikan pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF).”
(kredit FB Mohamed Khaled)
(kredit FB Mohamed Khaled)
Turut bersama dalam kunjungan Mohamed Khaled ke Pangkalan Udara Ahmad Al-Jaber adalah Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Pada Jun lepas, pasukan teknikal TUDM telah mengadakan lawatan ke Kuwait bagi mengadakan rundingan berkaitan perolehan pesawat tempur berkenaan.
Panglima TUDM dilaporkan berkata pesawat-pesawat F/A-18D (Hornet) milik Tentera Udara Kuwait masih dalam keadaan baik dan mempunyai jam operasi yang rendah berbanding pesawat Hornet TUDM sedia ada.
Mohamed Khaled berkata, kerajaan Kuwait sebelum ini telah memberikan maklum balas yang positif tentang hasrat negara untuk memperoleh pesawat tempur jenis F/A-18C/D Legacy Hornet milik KAF tersebut.
Sebelum ini, Menteri Pertahanan menyatakan bahawa kerajaan Malaysia dan Kuwait telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk memulakan rundingan tentang perolehan pesawat-pesawat pejuang F/A-18C/D milik Tentera Udara Kuwait.
“Malaysia dan Kuwait bersetuju untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama bagi memulakan perbincangan serta rundingan bagi tujuan perolehan pesawat tempur jenis Legacy Hornet berkenaan,” kata Menteri Pertahanan.
Pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Kuwait
Malaysia merancang memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum TUDM dilengkapi dengan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA) yang baru.
Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.
Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.
Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion (RM38.73 billion) — DSA

F/A-18featuredKuwaitMohamed Khaled