Menteri Dalam Negeri Indonesia Nafi Keluarkan Kenyataan Tentang South Ledge. Betul Ke?

Wisma Putra telah memberikan reaksi terhadap laporan Defence Security Asia tentang kenyataan Menteri Dalam Negeri Indonesia berkenaan pemilikan South Ledge. Apa yang mengejutkan adalah kenyataan Wisma Putra mengatakan Bapak Tito "tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai South Ledge". Di dalam artikel, admin sertakan screenshot kenyataan Bapak Tito itu sebagaimana dilaporkan oleh portal-portal Indonesia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Luar Negeri atau Wisma Putra telah pun mengeluarkan satu kenyataan malam ini memberikan reaksi terhadap artikel Defence Security Asia bertajuk “Indonesia Dakwa Tubir Selatan (South Ledge), Karang Singa Miliknya. M’sia Bagaimana?” yang disiarkan dua hari lepas.

Apa yang menarik di dalam kenyataan oleh Wisma Putra itu adalah ia telah mengesahkan dengan dengan pihak Indonesia yang mengatakan bahawa Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai South Ledge (Tubir Selatan/Karang Selatan) sebagaimana dilaporkan oleh DSA.

“Kementerian (Luar) telah mengesahkan perkara itu dengan pihak Indonesia. Kementerian dimaklumkan bahawa Menteri Dalam Negeri Indonesia tidak membuat sebarang kenyataan menuntut kedaulatan terhadap Tubir Selatan seperti yang dilaporkan,” kata Wisma Putra di dalam kenyataan itu.

Menteri Dalam Negeri Indonesia tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai South Ledge?

Ingin dijelaskan bahawa laporan Defence Security Asia dua hari lepas itu adalah memetik laporan online portal terkenal Indonesia news.detik.com yang telah secara jelas melaporkan secara  kenyataan oleh Menteri Dalam Negeri Indonesia itu.

Kenyataan Wisma Putra malam ini.

 

“Kami ke Kepri tujuan nomor satu adalah untuk melihat dua karang penting iaitu Karang Singa dan Karang Selatan (South Ledge/Tubir Selatan). Mengapa? Karena letaknya di Selat Melaka dan masuk wilayah territorial kita,” jelas Tito dalam keterangan tertulis, Minggu (16/1/2022).

Itu adalah kenyataan oleh Bapak Tito sebagaimana dilaporkan oleh detik.com dan pihak  Defence Security Asia turut menyertakan beberapa screenshot laporan asal oleh portal berita Indonesia itu di bawah.

Pihak Defence Security Asia terpaksa menyertakan screenshot laporan asal daripada portal detik.com itu kerana sejurus selepas pihak Wisma Putra mengeluarkan kenyataan malam ini, laporan asal detik.com itu telah diubah dengan memadamkan nama “Karang Selatan” (South Ledge) dalam laporan asal dan hanya meninggalkan nama “Karang Singa.”

Artikel asal oleh news.detik.com

 

Artikel oleh news.detik.com telah diubah dengan memadamkan “Karang Selatan” dan hanya mengekalkan “Karang Singa.”

 

Tujuan pemadaman nama “Karang Selatan” daripada laporan asal itu berkemungkinan untuk mengiyakan kenyataan oleh pihak Indonesia bahawa Bapak Tito Karnavian “tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan tentang South Ledge itu”.

Pihak Defence Security Asia mempunyai bukti dalam bentuk screenshot artikel asal detik.com mengenai kenyataan oleh Bapak Tito Karnavian mengenai South Ledge bahawa terumbu karang itu adalah milik Indonesia.

Selain screenshot artikel asal detik.com, pihak Defence Security Asia turut menyertakan screenshot daripada beberapa media lain seperti Kompas.Com, BATAMTODAY.COM dan detikperistiwa.com yang mengesahkan tentang kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri Indonesia itu.

Artikel oleh Kompas.com

 

Pihak Defence Security Asia menggunakan screenshot kerana terdapat kemungkinan laporan-laporan asal mengenai kenyataan Bapak Tito itu telah diubah dengan memadamkan perkataan “Karang Selatan” sebagaimana yang berlaku pada artikel pada detik.com itu.

Mungkin ada pihak di Jakarta yang “panas” akibat daripada artikel oleh Defence Security Asia dua hari lepas.

Well,jika di Indonesia mereka menyanjung tinggi kedaulatan negara mereka…kami di Defence Security Asia juga mempunyai perasaan yang sama.

BATAMTODAY.COM

 

Ok berbalik mengenai kenyataan media yang dikeluarkan oleh Wisma Putra malam ini, ia turut memetik penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 mengenai Kes Berkenaan Kedaulatan ke atas Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge) atau dipanggil Karang Selatan oleh Indonesia.

“Mengenai isu kedaulatan ke atas Tubir Selatan, penghakiman berbunyi “… Tubir Selatan terletak di dalam perairan wilayah yang bertindih yang dijana tanah besar Malaysia, Pedra Branca/Pulau Batu Puteh dan Middle Rocks…” dan “.…kedaulatan terhadap Tubir Selatan, permukaan yang muncul ketika air surut, kepunyaan negara di perairan wilayah di mana ia berada.”

Berikutan Penghakiman ICJ, Malaysia dan Singapura telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Antara Malaysia-Singapura bagi melaksanakan Penghakiman ICJ ke atas Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (MSJTC).

“Di bawah MSJTC, Malaysia kekal komited menyelesaikan isu sempadan maritim yang tertunggak antara kedua-dua negara dan akan memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia dilindungi,” kata kenyataan itu,sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional,Bernama.

Dalam isu kedaulatan Tubir Selatan (South Ledge), ia hanya membabitkan Malaysia dan Singapura yang akan memutuskannya. — DSA

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

 

featuredSouth LedgeTito KarnavianWisma Putra