Mengapa Thailand Pilih Kapal Selam China?

(DEFENCE SECURITY ASIA)Sebagaimana yang kita ketahui, Thailand telah menjadikan Malaysia dan kapal selam “Scorpene” kita sebagai sasaran mereka, dalam usaha terdesak untuk memastikan rakyat negara itu terus menyokong pembelian kapal selam untuk tentera lautnya.

Mengapa Thailand yang selama ini kita anggap sebagai negara sahabat berbuat demikian? menjadikan kita sebagai “musuh” mereka hanya semata-mata untuk memenuhi hasratnya untuk memiliki kapal selam.

Tak ada alasan lain lagikah untuk mewajarkan pembelian kapal selam mereka selain menjadikan Malaysia sebagai “punching bag”?

Thailand menandatangani perjanjian dengan China untuk membeli dua buah kapal selam buatan negara Komunis itu pada 2017 dengan nilai mencecah US$820 juta.

Thailand membeli tiga buah kapal selam daripada China. (gambar internet)

Bagaimanapun, Beijing yang amat berbangga dengan keputusan Bangkok membeli kapal selam buatannya, telah menghadiahkan kapal selam ketiga kepada Thailand secara percuma. Gratis.

Dalam persaingan untuk mendapatkan kontrak membekalkan kapal selam kepada tentera laut Thailand, China telah berjaya menewaskan negara-negara lain termasuk Perancis yang menawarkan kapal selam Scorpene, sebagaimana yang digunakan oleh Malaysia, Jerman (Type 209), Russia (Kilo) dan Korea Selatan (DW-1400T).

Kejayaan China mengalahkan beberapa negara Barat dalam persaingan untuk membekalkan kapal selam kepada Thailand adalah sesuatu yang amat membanggakan bagi industri pertahanan negara Komunis itu.

Membekalkan senjata kepada negara yang dianggap sebagai sekutu Amerika Syarikat, amatlah membanggakan China. Satu kepuasan.

Pilihan Thailand adalah kapal selam penyerang kelas Yuan “S26T” yang dibina oleh syarikat China Shipbuilding Industry Corporation (CSIC), yang memiliki limbungan di Wuhan.

Pada 2019, majlis permulaan pembinaan (keel laying) kapal selam pertama Thailand itu pun bermula, dengan tempoh selama lima diperlukan untuk menyiapkan kapal selam pertama.

So, Thailand bakal memperolehi kapal selam yang pertamanya pada 2024 manakala kapal selam kedua dan ketiga dijangka diterima selepas itu.

Mengapa Bangkok memilih kapal selam buatan China untuk tentera lautnya? Apakah ia lebih baik berbanding Scorpene Tentera Laut Diraja Malaysia yang menjadi igauan ngeri kepada kepimpinan tentera laut Thailand.

Menurut tentera laut Thailand, ada beberapa sebab mengapa ia memilih kapal selam China. Antaranya adalah:

*keampuhan sistem Air Independent Propulsion (AIP) buatan China, dengan sistem itu telah beroperasi dengan jayanya dengan kapal selam Type 038A dan Type 039B. Sistem AIP itu membolehkan kapal selam China menyelam selama 21 hari tanpa perlu naik ke permukaan.

*variasi sistem persenjataan yang mampu dibawanya seperti torpedo, periuk api dan peluru berpandu anti kapal dan anti sasaran darat.

Torpedo yang akan digunakan oleh kapal selam Thailand. (gambar internet)

*sistem kapsul untuk menyelamat anak-anak kapal ketika kecemasan.

Thailand akan membayar pembelian kapal selam itu menerusi 17 bayaran ansuran bagi memastikan kedudukan kewangan negara itu tidak terjejas.

Selain itu, China juga menjanjikan bekalan alat ganti berterusan selama lapan tahun dan latihan kepada krew kapal selam Thailand selama tiga tahun.

Thailand juga percaya terhadap kemampuan industry dan teknologi kapal selam China kerana negara Komunis itu mengoperasikan kira-kira 50 buah kapal selam penyerang (SSK) seperti kelas “Yuan” tanpa berhadapan dengan sebarang insiden yang serius.

Bagaimanapun bagi admin, alasan utama mengapa Thailand memilih kapal selam China adalah kerana politik.

Ini adalah kerana Thailand yang diperintah oleh segerombolan jeneral-jeneral tentera diketuai Prayut Chan-o-cha yang kini menjadi Perdana Menteri, berhadapan dengan sekatan ekonomi dari Amerika Syarikat dan negara Barat lain selepas merampas kuasa dari pimpinan awam.

Sebab itulah, Thailand yang dikenali sebagai sekutu Amerika Syarikat beralih kepada China untuk mendapatkan bekalan senjatanya.

Bukan sahaja kapal selam, tetapi Bangkok telah membeli pelbagai peralatan lain daripada kereta perisai, kereta kebal, kapal perang dan pelbagai alatan lain.

Thailand juga merupakan salah satu negara yang bergantung kuat kepada pelaburan dan duit  daripada syarikat-syarikat China untuk menjana ekonominya.

Setiap tahun jutaan pelancong China mengunjungi Thailand  sebagai destinasi pelancongan, menjayakan industri pelancongan negara Asia Tenggara itu.

Pelancong-pelancong China sedang bergembira di Bangkok. (gambar internet)

Industri pelancongan Thailand adalah satu satu “foreign exchange earner” terpenting Thailand, memberikan sehingga 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada negara Asia Tenggara itu.

So, membodek China dan Xi Jinping dengan membeli peralatan-peralatan tentera keluaran syarikat pertahanan negara Komunis itu adalah amat dialu-alukan dalam memastikan hubungan diplomatik antara Beijing-China sentiasa erat.

Sedikit demi sedikit Thailand rebah ke pangkuan China.

— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaKapal SelamKelas YuanMalaysiaThailand