Media Israel Sifatkan Latihan Tentera Mesir-China Suatu “Perkembangan Yang Membimbangkan”

Akhbar Maariv Israel mendakwa bahawa pesawat-pesawat pejuang J-10C Tentera Udara China yang terlibat dalam latihan udara bersama dengan Mesir itu telah terbang begitu hampir dengan sempadan Israel, suatu perkembangan yang "amat membimbangkan." Tindakan pesawat-pesawat pejuang China itu amat membimbangkan, menurut akhbar Israel itu.
Media Israel Sifatkan Latihan Tentera Mesir-China Suatu “Perkembangan Yang Membimbangkan”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Media-media Israel menyifatkan latihan udara bersama Eagle of Civilization 2025 yang julung-julung kali dalam sejarah diadakan di antara Tentera Udara Mesir dan Tentera Udara China sebagai satu “perkembangan yang membimbangkan” kerana ia berlangsung begitu dekat dengan sempadan negara itu.
Israel melihat latihan ketenteraan Mesir-China dinamakan “Eagles of Civilization 2025” sebagai satu perkembangan penting yang berpotensi memberi kesan kepada keselamatan serantau serta kepentingan strategiknya sendiri.
Salah satu daripada akhbar Israel itu, Maariv mendakwa bahawa pesawat-pesawat pejuang J-10C Tentera Udara China yang terlibat dalam latihan udara bersama dengan Mesir itu telah terbang begitu hampir dengan sempadan Israel.
Tindakan pesawat-pesawat pejuang China itu amat membimbangkan, menurut akhbar Israel itu.

“Laporan oleh akhbar Israel tersebut mendakwa bahawa pesawat pejuang China yang mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan (bersama dengan Tentera Udara Mesir) itu telah terbang dengan jarak yang agak dekat dengan sempadan Israel, dan menyifatkan situasi tersebut sebagai satu perkembangan yang membimbangkan.”

Akhbar Israel itu turut melaporkan bahawa latihan ketenteraan di antara Mesir dan Israel berkenaan melibatkan sebilangan besar pesawat canggih dan dilaksanakan ketika ketegangan serantau semakin memuncak.
Selain itu, penganalisis turut berpandangan bahawa kerjasama ketenteraan Mesir yang semakin erat dengan China—termasuk kemungkinan pembelian sistem persenjataan canggih buatan negara itu—mampu mengubah keseimbangan kuasa di rantau ini dan mencabar kelebihan ketenteraan kualitatif yang dimiliki Israel.
Mesir
Pesawat-pesawat pejuang MiG-29 Mesir dan J-10C China
Akhbar Maariv Israel itu menekankan bahawa perkembangan terkini melibatkan latihan tentera bersama Mesir-China itu berlaku seiring dengan kebimbangan Israel yang semakin meningkat terhadap penempatan aset-aset ketenteraan Kaherah di Semenanjung Sinai baru-baru ini.
Penganalisis ketenteraan Israel turut berpandangan bahawa tindakan ini berkemungkinan melanggar perjanjian damai antara Mesir dan Israel.
Laporan itu menyatakan bahawa hubungan antara Kaherah dan  Tel Aviv dilihat semakin tegang sejak tercetusnya perang di Gaza, berikutan kebimbangan Mesir mengenai kemungkinan penduduk Gaza dipindahkan ke Sinai dan kesan keselamatan yang mungkin timbul di sempadan.
Pada Mac lalu, sebelum bersara Ketua Staf Angkatan Tentera Israel (IDF) Lt Jeneral Herzi Halevi telah menyuarakan “rasa bimbang” yang turut dikongsi bersama oleh komuniti pertahanan dan keselamatan Israel tentang kekuatan tentera Mesir dan saiz angkatan tenteranya yang besar.
Bercakap dalam temuramah dengan media negara itu, Channel 14, Halevi berkata apa yang dimiliki oleh Angkatan Tentera Mesir pada ketika ini adalah “amat membimbangkan.”
“Kami sangat bimbang mengenai perkara ini (kekuatan Angkatan Tentera Israel). Mesir memiliki sebuah angkatan tentera yang besar, dilengkapi dengan sistem tempur yang canggih, pesawat, kapal selam, kapal perang, dan kereta kebal moden, serta sejumlah besar pasukan infantry,” katanya.
Pesawat-pesawat KJ-500 dan Y-20 milik China
Latihan udara Eagle of Civilization 2025 yang sedang berlangsung pada ketika ini telah menyaksikan Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) menghantar pesawat pejuang J-10C, pesawat tangki udara YU-20 dan pesawat amaran awal KJ-500 untuk menyertai latihan ketenteraan itu yang diadakan pertama dalam sejarah.
Ini juga adalah kali pertama China menghantar pesawat amaran awalnya KJ-500 untuk terlibat dalam latihan udara bersama di luar negara.
Sebagaimana diumumkan oleh Kementerian Pertahanan China beberapa hari lalu, latihan udara bersama itu dinamakan “Eagle of Civilization 2025”, yang telah berlangsung bermula pertengahan bulan ini sehingga awal bulan hadapan di Pangkalan Udara Wadi Abu Rish di Mesir.
Kementerian Pertahanan China menggambarkan latihan itu sebagai usaha untuk “menggalakkan kerjasama praktikal serta memperkukuh persahabatan dan saling kepercayaan,” menandakan detik penting dalam perkembangan hubungan dua hala antara Beijing dan Kaherah.
“Ini merupakan latihan ketenteraan bersama yang pertama antara kedua-dua negara, dan ia amat penting dalam usaha menggalakkan kerjasama pragmatik serta memperkukuh persahabatan dan kepercayaan bersama.”
Bercakap kepada Global Times, seorang pakar ketenteraan China berkata, pesawat-pesawat pejuang yang dihantar ke Mesir itu merupakan aset utama dalam keupayaan tempur negara itu dan beroperasi secara bersepadu sebagai satu pasukan gabungan.
Pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Mesir dan J-10C Tentera Udara China
Saluran ketenteraan China Central Television (CCTV) berkata, hari pertama latihan bersama tentera udara China-Mesir itu telah bermula pada pagi Sabtu di sebuah pangkalan udara di Mesir, dengan China menghantar pesawat pejuang, pesawat amaran awal, pesawat tangki dan helikopter untuk menyertai latihan tersebut.
Gambar-gambar yang dikeluarkan oleh CCTV menunjukkan Tentera Udara PLA menghantar peswat pejuang J-10C dan J-10S, pesawat tangki bersaiz besar YU-20 serta pesawat amaran awal KJ-500 untuk menyertai latihan tersebut, manakala pihak Mesir pula menggunakan pesawat pejuang MiG-29.
Pesawat-pesawat ini merupakan antara aset tempur utama Tentera Udara PLA yang paling penting.

“Pesawat-pesawat beroperasi secara saling melengkapi dalam satu sistem yang tersusun, di mana YU-20 menyediakan pengisian minyak di udara kepada J-10C sekali gus meningkatkan jarak operasi pesawat itu secara ketara, manakala KJ-500 pula membentuk sistem maklumat bersepadu yang padat dan berkeupayaan tinggi,” menurut Ketua Editor sebuah majalah berkaitan aeroangkasa China, Wang Ya’nan yang memberitahu Global Times.

Wang Ya’nan berkata, penganjuran latihan ketenteraan bersama oleh China dengan negara-negara sahabat merupakan amalan biasa bagi mengukuhkan kepercayaan dan kerjasama ketenteraan dua hala.
Beliau turut menyatakan bahawa latihan ini memberi peluang yang baik kepada Tentera Udara Mesir, yang kini sedang berusaha menaik taraf kelengkapan pertahanannya, untuk menilai keupayaan peralatan canggih buatan China serta mempertimbangkan kemungkinan perolehan pada masa hadapan.

Sebelum ini laporan-laporan media pertahanan antarabangsa menyatakan bahawa Tentera Udara Mesir menunjukkan minat yang mendalam untuk memperolehi pesawat pejuang J-10CE buatan China, yang dilengkapi dengan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh (Beyond Visual Range) PL-15.
Tentera Udara Mesir dilaporkan berminat untuk memperolehi sehingga 40 buah pesawat pejuang J-10CE buatan China itu.
Pesawat pejuang J-10CE merupakan varian eksport kepada pesawat pejuang J-10C “Vigorous Dragon” yang dibangunkan oleh dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation untuk Tentera Udara China.
— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaEagle of CivilizationEgyptIsraelJ-10C
Comments (0)
Add Comment