Masih Tiada Kata Putus Penjualan Eurofighter Typhoon Kepada Turkiye, Rundingan Diteruskan

Kerajaan semasa Jerman masih belum membuat sebarang keputusan untuk meluluskan penjualan pesawat Eurofighter kepada Turkiye, kata jurucakap Menteri Ekonomi dan Alam Sekitar Jerman.
Masih Tiada Kata Putus Penjualan Eurofighter Typhoon Kepada Turkiye, Rundingan Diteruskan
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Jerman menafikan bahawa ia telah bertindak menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye, sambil menegaskan bahawa keputusan sama ada mahu dijual pesawat itu kepada Ankara akan dibuat oleh kerajaan baru negara Eropah itu.
Parti-parti yang akan memerintah Jerman akan mengambilalih tampuk pemerintahan negara Eropah itu pada minggu depan, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi dan Alam Sekitar Jerman.
Jurucakap kementerian Jerman itu, Tim-Niklas Wentzel berkata, “Keputusan mengenai eksport senjata dan peralatan ketenteraan secara menyeluruh akan ditentukan oleh kerajaan baharu kelak dan bukan oleh kerajaan sementara yang sedang memerintah pada ketika ini.”
Kerajaan semasa Jerman menurut beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk meluluskan penjualan pesawat Eurofighter kepada Turkiye.
Sementara itu Kementerian Pertahanan Nasional Turkiye dalam satu kenyataan menyatakan bahawa rundingan tentang pembelian pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu dijalankan dengan kerajaan United Kingdom dan bukan Jerman.
“Rundingan berhubung penjualan pesawat Eurofighter Typhoon kepada negara kami (Turkiye) sedang dijalankan dengan pihak United Kingdom. Setakat ini, tiada sebarang perbincangan diadakan dengan Jerman.”
“Pihak berkuasa United Kingdom, yang menjadi rakan rundingan kami sejak awal proses ini, tidak pernah menyampaikan sebarang isu negatif secara rasmi kepada kami. Proses ini berjalan lancar seperti yang dirancang bersama pegawai kerajaan UK dan wakil syarikat pengeluar. Selain itu, penilaian harga berkenaan penjualan pesawat Eurofighter Typhoon masih sedang dijalankan.”
Typhoon
Eurofighter Typhoon
Menteri Pertahanan Turkiye, Yaşar Güler turut memberikan kenyataan berhubung proses perolehan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon tersebut semasa majlis resepsi pada 23 April yang diadakan di Parlimen Agung Turkiye.
“Proses ini sedang berjalan sepenuhnya. Urusan kami bukan dengan Jerman, tetapi dengan England. Kita akan lihat perkembangannya dalam tempoh terdekat. Segala-galanya berjalan seperti mana yang dimulakan dan seperti yang telah dirancang,” kata beliau.
Baru-baru ini, kerajaan Jerman dilaporkan telah menghalang penjualan kira-kira 40 buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye di atas sebab-sebab politik, hanya beberapa bulan selepas bersetuju untuk menjualnya kepada Ankara.
Menurut laporan oleh akhbar Jerman, Handelsblatt, tindakan menarik balik penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon kepada Turkiye itu dikatakan berpunca daripada tindakan Ankara menahan Datuk Bandar Istanbul Ekrem Imamoglu, penentang dan pencabar Presiden Recep Tayyep Erdogan.
İmamoğlu, calon presiden Turkiye daripada parti pembangkang, telah ditangkap pada 23 Mac atas tuduhan rasuah, yang menurut ramai pengkritik bermotifkan politik.
Penahanannya pada 19 Mac itu telah mencetuskan protes besar-besaran di seluruh Turkiye — yang terbesar sejak tahun 2013 — sekali gus meningkatkan ketegangan politik.
Eurofighter Typhoon.
Tindakan menahan Imamoglu itu turut mengundang kecaman antarabangsa, apabila kerajaan Jerman menyifatkan penangkapan tersebut sebagai satu “serangan terhadap demokrasi Turkiye.”
Bagaimanapun terdapat juga dakwaan bahawa keputusan Jerman menghalang penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu disebabkan desakan daripada dua buah negara iaitu Israel dan Greek yang tidak mahu Ankara memiliki pesawat pejuang canggih itu.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon telah dibangunkan oleh empat buah negara, Jerman, Sepanyol,Itali dan United Kingdom.
Penjualan mana-mana pesawat pejuang Eurofighter Typhoon memerlukan kelulusan daripada keempat-empat buah negara yang membangunkan dan membinanya.
Tindakan kerajaan Jerman itu telah menggagalkan perancangan lebih besar Turkiye untuk memperoleh 40 pesawat pejuang Eurofighter Typhoon — merangkumi 20 unit Tranche 1 dari United Kingdom dan 20 lagi model Tranche 4 yang lebih canggih — sebagai sebahagian daripada usaha untuk memodenkan angkatan tentera udaranya
Pada Mac lalu, Kementerian Pertahanan United Kingdom dilaporkan telah mengemukakan dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang itu kepada Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye.
Eurofighter Typhoon
Kementerian Pertahanan Kebangsaan Turkiye dilaporkan sedang mengkaji dokumen tawaran penjualan pesawat pejuang Eurofighter Typhoon yang dikemukakan oleh Kementerian Pertahanan United Kingdom itu, menurut laporan oleh media-media Turkiye yang memetik sumber.
“Kami sebelum ini mengumumkan bahawa satu dokumen rasmi telah disediakan berkaitan perolehan 40 pesawat Eurofighter Typhoon bagi memenuhi keperluan operasi tentera udara kami. Dokumen tersebut telah dihantar kepada Kementerian Pertahanan United Kingdom dan pengeluar (pesawat pejuang) berkaitan, dengan jangkaan menerima tawaran balas,” menurut sumber oleh media Turkiye itu..
“Tawaran yang dinantikan kini telah diterima oleh kementerian kami, dan proses penilaian sedang berlangsung.”
Pada Disember tahun lepas, dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon milik Royal Air Force (RAF) telah mendarat di Pangkalan Udara Murted, Ankara, ibu negara Türkiye, untuk pemeriksaan oleh pegawai Turkiye.
Kehadiran kedua-dua buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu di Ankara menandakan kemajuan di dalam usaha Turkiye untuk memperolehi pesawat itu yang berhadapan dengan “masalah” penentangan daripada kerajaan Jerman terhadap perolehan itu sebelum ini.
Dan pada Sept tahun lepas,  Ketua Staf Am Angkatan Tentera Turkiye Jeneral Metin Gurak telah melawat United Kingdom dan dalam lawatan itu beliau turut mengunjungi Pangkalan Udara Royal Air Force RAF) Coningsby yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang Eurofighter Typhoon.
Pada akhir 2024, usaha Türkiye untuk memperoleh pesawat pejuang Eurofighter Typhoon memperolehi  momentum yang signifikan selepas Jerman memberi kebenaran kepada konsortium syarikat pembuat pesawat itu untuk menjualnya kepada Turkiye.
Sejak beberapa tahun lepas, Turkiye telah menyatakan minatnya untuk memperolehi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu untuk meningkatkan lagi kemampuan tentera udaranya selepas ia dikeluarkan daripada program F-35, tetapi hasratnya itu telah dihalang oleh Jerman.
Eurofighter Typhoon
Ankara dikeluarkan daripada program perolehan pesawat pejuang generasi kelima, F-35 selepas ia meneruskan hasratnya untuk memperolehi sistem pertahanan udara jarak jauh S-400 “Triumf” buatan Russia.
Turkiye sepatutnya memperolehi sejumlah 100 buah pesawat pejuang F-35 sebelum Ankara “ditendang keluar” daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 itu akibat membeli sistem pertahanan udara S-400 Triumf.
Turkiye mahu memperolehi varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon iaitu “Tranche 4.”
Dilengkapi dengan radar AESA “CAPTOR E”, Eurofighter Typhoon Tranche 4 dikatakan adalah varian pesawat pejuang termoden Eropah yang boleh berkhidmat sehingga ke tahun 2060. 
Jerman dikatakan telah memesan 38  buah pesawat pejuang Typhoon Tranche 4. 
Turkiye mahu memperolehi 40 buah varian terkini pesawat pejuang Eurofighter Typhoon untuk melengkapkan lagi Tentera Udaranya yang kini terus bergantung kepada pesawat-pesawat pejuang F-16 yang telah berusia.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Eurofighter TyphoonJermanTurkiyeUnited Kingdom
Comments (0)
Add Comment