Malaysia Ditawar Pusat Pemasangan Akhir Pesawat Pejuang FA-50. Menarik.

Tawaran untuk mewujudkan kemudahan pemasangan akhir (final assembly line) bagi pesawat FA-50 di Malaysia itu adalah amat menarik kerana kerana ia adalah kemudahan seumpama yang pertama di negara ini, selain membolehkan kita mengambil peluang daripada populariti pesawat itu di seluruh dunia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang kita tahu, syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) menerusi pesawat pejuang ringannya, FA-50 merupakan salah satu pembida untuk tender Kementerian Pertahanan bagi perolehan 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Untuk itu, KAI telah menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn Bhd yang juga merupakan rakan perunding bagi syarikat Korea Selatan itu untuk program “Industrial Collaboration Program” (ICP).

Bercakap kepada Defence Security Asia, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Kemalak  Systems Mej (B) Mohd Iswandi Mohd Sharif berkata,  program ICP yang ditawarkan oleh KAI sekiranya ia berjaya memenangi tender bagi pesawat FLIT/LCA TUDM adalah amat menyeluruh dan mampu melonjakkan keupayaan teknologi tempatan.

Tawaran oleh KAI itu juga akan mencetuskan kesan berganda (multiplier effect) kepada industri-industri dan syarikat teknologi lain di Malaysia.

Malaysia secara keseluruhannya akan menerima kesan yang positif daripada program kerjasama teknologi yang ditawarkan oleh KAI dan rakan teknologi tempatannya, Kemalak Systems.

Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

 

“Bagi program ICP itu, antara tawaran utama daripada KAI sekiranya Malaysia dan TUDM memilih syarikat Korea Selatan itu sebagai pemenang tender FLIT/LCA, maka ia menawarkan untuk mewujudkan ‘final assembly line’ bagi pesawat FA-50 di Malaysia.”

“Buat pertama kali, Malaysia akan memiliki kemudahan pemasangan akhir pesawat pejuang. Kemalak Systems telah mencadangkan kepada KAI untuk mewujudkan kemudahan pemasangan akhir pesawat FA-50 itu di Malaysia dan KAI telah bersetuju dan menyertakannya di dalam tawaran mereka kepada Kementerian Pertahanan,” kata Mohd Iswandi.

KAI telah bersetuju untuk melabur (invest) dalam usaha mewujudkan kemudahan pemasangan akhir pesawat FA-50 di Malaysia itu, tetapi keputusan akhir terletak di tangan kerajaan.

Usaha menwujudkan kemudahan pemasangan pesawat FA-50 di Malaysia ia adalah sesuatu yang “besar” dan kesan positifnya daripada kewujudan kemudahan itu akan turut dirasai oleh industri-industri lain di Malaysia.

“Secara keseluruhannya, kewujudan pusat pemasangan pesawat FA-50 di Malaysia akan memberikan kesan positif kepada negara keseluruhannya dan usaha Malaysia untuk menguasai teknologi tinggi terutamanya yang berkait dengan penerbangan,” kata Mohd Iswandi.

Selain mewujudkan peluang pekerjaan di dalam teknologi tinggi untuk anak-anak tempatan, pusat pemasangan itu juga akan memastikan Malaysia muncul sebagai pemain utama di dalam industri pemasangan pesawat pesawat pejuang.

Beliau juga berkata, pihaknya bersama-sama KAI telah pun mengenalpasti beberapa lokasi kemudahan pemasangan pesawat FA-50, dengan Kuantan antara lokasi yang dalam kajian mereka.

Kemudahan pesawat FA-50 di Malaysia juga adalah langkah yang tepat kerana kos di Malaysia adalah rendah berbanding di Korea Selatan, sekaligus merendahkan lagi kos per-unit bagi pesawat pejuang ringan itu dan menjadikannya lebih kompetitif di mata pelanggan.

Sebagaimana yang kita, beberapa negara lain di rantau ini turut menggunakan pesawat FA-50 termasuk Thailand, Filipina dan Indonesia (T-50i).

Kemudahan pemasangan pesawat FA-50 di Malaysia itu boleh juga memasang pesawat itu untuk negara-negara lain sekiranya terdapat pesanan untuk memperolehinya.

Mohd Iswandi juga berkata, selain pusat pemasangan akhir pesawat FA-50 itu, syarikat KAI juga menawarkan untuk mewujudkan pusat Maintenance, Refurbishment and Overhaul (MRO) untuk pengguna pesawat itu.

Sebagaimana pusat pemasangan akhir FA-50, pusat MRO untuk pesawat itu di Malaysia boleh menjadi pusat penyelenggaran sehenti untuk pengguna-pengguna pesawat itu Asia Tenggara dan negara-negara lain.

Kewujudkan pusat pemasangan akhir FA-50 dan MRO bagi pesawat pejuang ringan buatan KAI di Malaysia akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai pemain utama di dalam industri penerbangan (aviation) antarabangsa dan memastikan rakyat tempatan mampu menguasai teknologi tinggi.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

   

FA-50featuredKemalakKorea Aerospace IndustriesTUDM
Comments (0)
Add Comment