Maghribi Bakal Muncul Negara Afrika Pertama Operasi Pesawat Pejuang Gen-5, F-35

“Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat akan memuktamadkan perjanjian untuk membolehkan Maghribi memperoleh jet pejuang Lockheed Martin F-35 yang pertama dalam beberapa bulan akan datang.” -- Laporan
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Maghribi dijangka muncul sebagai negara Afrika pertama yang akan mengoperasikan pesawat pejuang generasi kelima F-35 buatan Amerika Syarikat, sekiranya rundingan perolehan pesawat pejuang itu yang dikatakan sedang berjalan sekarang membuahkan hasil.
Menurut laporan oleh media Israel “Identité Juive”, Maghribi sedang berunding untuk memperolehi 32 buah pesawat pejuang F-35.
“Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat akan memuktamadkan perjanjian untuk membolehkan Maghribi memperoleh jet pejuang Lockheed Martin F-35 yang pertama dalam beberapa bulan akan datang.”
“Ini menjadikan Maghribi satu-satunya negara di Afrika yang dilengkapi dengan armada besar sebanyak 32 pesawat pejuang halimunan generasi kelima buatan Amerika.”
Menurut pemerhati ketenteraan, pegawai-pegawai Maghribi dan Israel telah mengadakan rundingan tentang penjualan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II dari tahun 2020 hingga 2022.
F-35
Selepas pertemuan bersejarah pada November 2021 antara Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz, dan rakan sejawatnya dari Maghribi, Abdellatif Loudiyi, Maghribi mendapatkan sokongan Israel untuk mempercepatkan pembelian pesawat pejuang itu.
Keputusan Maghribi untuk memperolehi pesawat pejuang F-35 itu didorong oleh ketegangan politik yang semakin memuncak dengan Algeria dan Barisan Polisario.
Baru-baru ini, Algeria digembar-gemburkan telah muncul sebagai negara pertama telah membuat pesanan untuk mendapatkan pesawat pejuang generasi kelima buatan Russia, Su-57.
Dilaporkan bahawa Maghribi berpaling kepada Tel Aviv untuk mendapatkan bantuan dalam mempermudah perolehan pesawat canggih ini daripada tentera Amerika Syarikat.
Walaupun negara dengan majoriti penduduk beragama Islam, namun Maghribi memiliki hubungan ketenteraan yang erat dengan Israel dan Amerika Syarikat.
Pada Julai lalu, Maghribi dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan Israel untuk memperolehi dua buah satelit pengintip “Ofek” daripada syarikat Yahudi, Israel Aerospace Industries (IAI) yang dianggarkan bernilai lebih US$1 billion (RM4.4 billion).
Ofek
Beberapa bulan lalu, tentera darat Maghribi juga dilaporkan mula menerima kumpulan pertama daripada 100 buah varian terkini kereta kebal M1A2 SEPv3 daripada General Dynamics Land Systems (GDLS) .
Selain itu terdapat juga laporan mengatakan bahawa Maghribi turut memperolehi 500 buah kereta perisai Bradley daripada Amerika Syarikat bagi digunakan dalam misi-misi ketenteraan angkatan tentera negara itu.
Perolehan dan penyelenggaraan armada 32 buah pesawat pejuang F-35 sepanjang tempoh 45 tahun akan memaksa Mahghribi membelanjakan kira-kira US$17 billion (RM76 billion).
Perolehan berkepentingan strategik ini dijangka memberi impak besar terhadap keseimbangan geostrategik di rantau Mediterranean, sekaligus mengukuhkan kedudukan Maghribi sebagai kuasa tentera utama di Afrika.
Perolehan F-35 ini merupakan langkah penting dalam memodenkan tentera udara Maghribi, yang ketika ini bergantung kepada pesawat generasi ke-empat seperti F-16.
Keupayaan halimunan dan teknologi canggih F-35 akan meningkatkan kuasa deterren Maghribi, terutamanya terhadap kemungkinan pengoperasian pesawat pejuang generasi kelima  Su-57 buatan Russia oleh Algeria.
Kereta kebal Abrams M1A1 SEPv3 milik Maghribi
“Su-57”
Pesawat pejuang F-35 menjadi tumpuan utama dalam Pameran Udara Marrakech ke-7 yang berlangsung dari 30 Oktober hingga 2 November 2024 di Pangkalan Latihan Tentera Udara Diraja di Marrakech.
Acara ini dianjurkan oleh Kementerian Perindustrian dan Perdagangan serta Pentadbiran Pertahanan Negara, dengan sokongan daripada Tentera Udara Diraja Maghribi.
Salah satu detik penting dalam pameran tersebut adalah pengenalan rasmi helikopter penyerang Boeing Apache AH-64E yang pertama milik Maghribi.
Peroplehan 24 buah helikopter penyerang untuk Tentera Udara Diraja sedang giat berjalan, sekali gus mengukuhkan peranan strategik Maghribi dalam pertahanan udara. — DSA

F-35featuredMaghribiPesawat
Comments (0)
Add Comment