“Look Turkiye” Kapal LMS Batch II Semakin Menjadi Kenyataan

Sumber telah pun memaklumkan kepada Defence Security Asia beberapa bulan lepas bahawa kontrak kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II berkemungkinan akan pergi pada syarikat perkapalan Turkiye disebabkan kemampuan negara ini dalam pembinaan kapal-kapal perang serta komitmen kerajaan/Kementerian Pertahanan untuk melihat masalah pembinaan kapal LCS tidak berulang.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Nampaknya maklumat yang diterima oleh Defence Security Asia beberapa bulan lepas mengatakan bahawa kontrak pembinaan tiga buah kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch II Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal diberikan kepada syarikat perkapalan Turkiye,  semakin menjadi kenyataan.

Ini berdasarkan kepada kenyataan Menteri Pertahanan Datuk Seri Utama Mohamad Hasan di Parlimen hari ini.

Menurutnya beliau akan ke Turkiye dalam tempoh terdekat ini bertujuan mengadakan rundingan dengan kerajaan negara serta agensi pertahanannya berkaitan perolehan kapal-kapal LMS Batch II untuk kegunaan TLDM.

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II yang pertama daripada lapan buah keseluruhan itu akan dilakukan menggunakan kaedah Government-to-Government (G-to-G) bagi mengelak sebarang kelewatan dalam pembinaannya, sebagaimana yang berlaku dalam program pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship (LCS). 

“Saya diarahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)  untuk pergi ke Turkiye. Untuk berunding dengan rakan sejawatan saya dan juga agensi pertahanan negara di sana untuk kita mendaftarkan minat kita terhadap perolehan kapal-kapal LMS itu.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan

 

“Dan kita lihat bagaimana perundingan ini boleh kita segerakan, supaya perolehan kapal-kapal LMS Batch II dibuat secara telus yang mungkin,

“Kita tidak akan menggunakan pihak ketiga tetapi urusan antara kerajaan dengan kerajaan,” katanya, sambil menambah bahawa apa yang penting adalah kaedah G-to-G itu dapat memastikan TLDM memperolehi kapal-kapal perang terbabit dalam keadaan yang baik dan tepat pada masanya.

Perolehan tiga buah kapal LMS Batch II itu akan dilakukan dengan cara yang paling telus, bagi memastikan TLDM memperolehi aset yang diperlukan supaya dapat memastikan kedaulatan dan keselamatan maritime negara.

Mohamad Hasan juga berkata kapal-kapal LMS Batch II akan dilengkapi dengan keupayaan kombatan iaitu peluru berpandu kapal-ke-kapal dan peluru berpandu pertahanan udara, berbanding empat buah kapal LMS Batch I buat China yang diperolehi sebelum ini.

Tiga daripada empat kapal LMS Batch 1 milik TLDM yang dibina oleh syarikat China, CSOC.

 

“Kapal-kapal LMS Batch II akan lebih besar dan lebih berat serta dilengkapi keupayaan combatan ship-to-ship missile dan surface to air missile,” kata beliau.

Sebelum ini, Mohamad Hasan dilaporkan berkata bahawa perolehan tiga buah kapal LMS Batch II itu adalah bagi menampung “lompong keupayaan” yang dihadapi oleh TLDM akibat kelewatan pembinaan kapal-kapal Littoral Combat Ship.

Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata sebelum ini bahawa perolehan kapal-kapal LMS Batch II itu dikategorikan sebagai “projek kritikal dan perlu diberikan keutamaan yang tinggi.”

Untuk program kapal LMS Batch II ini, apa yang dapat kita lihat adalah minat daripada syarikat-syarikat pembuat kapal daripada Turkiye adalah amat tinggi.

Turkiye memiliki banyak syarikat pembuat kapal tentera laut yang berwibawa dan berpengalaman luas dan adalah tidak memeranjatkan jika ia sedang melihat dengan penuh minat program perolehan kapal-kapal LMS Batch II oleh Malaysia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

featuredLMS Batch IITLDMTok MatTurkiye
Comments (0)
Add Comment