“Kita Punya Cukup Bukti,” – SPRM Tentang Skandal Rasuah Kapal Tempur LCS

“Kita telah menyiapkan penyiasatan terhadap bahagian tertentu kes itu dan mencadangkan pendakwaan terhadap saspek,” kata ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) percaya ia telah mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka yang terlibat dengan skandal rasuah projek pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) untuk TLDM, apabila siasatan telah siap.

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki memberitahu akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Star  tentang tindakan yang bakal diambil oleh SPRM telah pun dikemukakan kepada jabatan perundangannya.

Antara saspek adalah bekas pegawai kanan syarikat terbabit.

“Kita telah menyiapkan penyiasatan terhadap bahagian tertentu kes itu dan mencadangkan pendakwaan terhadap saspek,” katanya sebagaimana dipetik oleh akhbar berkenaan.

Dakwaan akan dikemukakan selepas perbincangan dengan pasukan perundangan SPRM selesai, katanya.

“Kita percaya sebahagian daripada transaksi berlaku di Singapura. Wang telah disalurkan kepada beberapa akaun bank milik individu di republik berkenaan,” kata beliau kepada akhbar berkenaan.

Pegawai SPRM telah dihantar ke Singapura, di antara beberapa lokasi luar negara untuk mengumpul maklumat untuk menjayakan siasatan.

Menurut akhbar The Star lagi, pihak SPRM sedang memburu seorang pegawai kanan syarikat yang terlibat dengan projek pembinaan LCS itu kerana dipercayai melakukan pecah amanah.

“Kita percaya sejumlah besar wang telah dipindah keluar tanpa kebenaran oleh pihak Lembaga pengarah syarikat berkenaan,” menurut Azam.

Walaupun tidak mendedahkan jumlah wang berkenaan, akhbar terbabit memetik Azam sebagai berkata bahawa pegawai kanan syarikat itu telah memindahkan RM24 juta tanpa kebenaran daripada lembaga pengarah syarikat itu.

Pada Januari lepas, SPRM telah menahan dua orang Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat yang terbabit dalam kontrak perolehan enam buah kapal Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) bernilai RM9 bilion.

Mereka yang berusia 79 dan 49 tahun ditahan selepas hadir bagi membantu siasatan di Ibu Pejabat SPRM, lewat petang semalam.

Jurucakap SPRM, berkata kedua-dua mereka ditahan kerana disyaki melakukan penyelewengan dan menerima rasuah menerusi pembayaran yang dibuat kepada tiga syarikat di luar negara.

“Seorang daripada mereka juga disyaki menerima rasuah daripada sub-kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan projek itu,” katanya.

Menurut akhbar Berita Harian Online, ia difahamkan dengan penahanan itu SPRM menemui petunjuk baharu untuk terus melakukan siasatan terhadap kontrak perolehan enam kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang dilaksanakan oleh Boustead Naval Shipyard.

Siasatan tertumpu kepada kesalahan di bawah seksyen 16 Akta SPRM 2009 dan seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Gambar salah sebuah kapal LCS. (kredit BNS)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun ini kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. 

Pada April lepas,  mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memutuskan dengan sebulat suara untuk meneruskan pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship milik Tentera Laut Diraja Malaysia  bernilai RM9 billion yang telah terbengkalai selama 43 bulan. — DSA

featuredKapalRasuahSPRMTLDM
Comments (0)
Add Comment