(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Bilakah kapal pertama LCS akan siap”?????????
Dua hari lepas, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang menyatakan bahawa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bakal menerima dua buah kapal perang Littoral Combat Ship (LCS) pada Januari dan September 2026.
Pembinaan kapal perang termoden TLDM itu katanya, telah bermula semula pada awal September selepas tertangguh selama tiga tahun melibatkan subkontraktor tempatan dan peralatan dari pengilang peralatan asli (OEM).
“Berdasarkan perancangan, kapal pertama dijangka diserahkan kepada Tentera Laut pada Januari 2026, kapal kedua pada September 2026, kapal ketiga pada Mei 2027, kapal keempat pada Januari 2028 dan kapal kelima pada September 2028,” menurut beliau sebagaimana dipetik oleh akhbar Sinar Harian.
Jika tempoh yang diberikan oleh PAT itu adalah betul, maka rakyat Malaysia perlu menunggu sekurang-kurang tiga hingga empat tahun lagi untuk melihat dua daripada enam buah kapal perang itu siap dan benar-benar berada di atas air.
Menurut Boustead Naval Shipyard (BNS), pembinaan kapal LCS yang pertama berada di tahap 50 hingga 60 peratus manakala kerja-kerja menyiapkan kapal kedua LCS pula telah sampai ke tahap 48 peratus.
Kerja-kerja pembinaan kapal LCS ketiga pula telah siap 43 peratus, kapal LCS keempat telah siap 36 peratus manakala kapal LCS kelima pula telab siap 20 peratus
Apa yang menjadi masalah adalah, tempoh yang diberikan oleh Affendi itu adalah berlainan dengan apa yang dinyatakan oleh Hishammuddin pada Ogos tentang bilakah kapal LCS yang pertama akan siap.
Pada 8 Ogos lalu, ketika dalam persidangan Dewan Negara beliau berharap kapal LCS yang pertama dapat disiapkan di dalam tempoh “setahun dua ini” untuk diserahkan kepada pengguna akhirnya, TLDM.
Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan tarikh yang tepat tentang bilakah kapal LCS yang pertama akan siap.
Ini adalah kerana katanya, Kementerian Pertahanan telah diberikan enam bulan untuk memobilisasi projek pembinaan projek pembinaan kapal-kapal LCS selaras dengan keputusan kabinet untuk menyambung semula pembinaan kapal perang itu.
“Cuma tak mampu sekarang kerana kita diberikan enam bulan selepas keputusan kabinet untuk memobilisasi usaha menghidupkan semula ini.
“Ia melibatkan engagement dengan vendor di Perancis, sektor perbankan, tetapi untuk Dewan ini saya boleh nyatakan sekurang-kurangnya dalam masa setahun dua ini saya harap bahawa kapal pertama dapat kita siapkan,” katanya di dalam persidangan Dewan Negara itu.
So, sekarang ini siapa yang bercakap benar tentang bilakah kapal LCS yang pertama akan siap?
Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.
Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.
JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE
Bagaimanapun sehingga 31 Oktober tahun lepas, kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.
Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan. — DSA
Jom!!!! follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore