(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam keadaan kelam-kabut dan berhadapan dengan malapetaka, krew kapal selam Indonesia, KRI Nanggala cuba menggunakan “Submarine Escape Suit” dalam usaha untuk menyelamatkan diri tetapi usaha terakhir mereka menemui kegagalan.
Perkara itu didedahkan oleh Ketua Staf Angkatan Laut Laksamana Yudo Margono yang turut menunjukkan gambar submarine escape suit MK11 yang berjaya dirakam oleh kenderaan ROV MV Swift Rescue pada bangkai kapal selam itu di kedalaman 838 meter di dasar laut.
“Kemungkinan belum sempat pakai, kondisinya sudah darurat ”
“Mungkin nggak sempat makai, atau saat makai goyang, sehingga lepas dari kotaknya. Ini yang diambil oleh ROV MV Swift Rescue,” kata beliau lagi.
Menurut Yudo lagi, submarine escape suit itu sememangnya diletakkan di dalam kotak dan beliau percaya krew KRI Nanggala bertindak mengeluarkan peralatan itu dengan niat untuk menggunakannya selari dengan malapetaka yang menimpa kapal selam mereka.
“Seharusnya ini tersimpan di kotak. Dipakai ketika terjadi kedaruratan. Karena ini (escape suit) terlepas, berarti sempat di situ terjadi kedaruratan.”
“Kemungkinan belum sempat makainya,” kata beliau.
Submarine Escape Immersion Equipment (SEIE) ini memang direka untuk membantu krew kapal selam untuk menyelamatkan diri daripada kapal selam yang sedang berhadapan dengan masalah sehingga di kedalaman 600 kaki (183 meter).
Ia membantu mereka mengapungkan diri ke permukaan pada kadar 2-3 meter sesaat selepas meloloskan diri daripada kapal yang bermasalah itu serta melindungi tubuh mereka daripada bahaya Hypothermia sementara menunggu bantuan.
Escape suit yang diperbuat oleh syarikat British, RFD Beaufort Ltd juga bertindak sebagai single-seat liferaft serta dilengkapi dengan inner thermal liner.
Semalam, Tentera Nasional Indonesia (TNI) telah membuat kesimpulan bahawa kesemua 53 orang krew kapal selam KRI Nanggala-402 telah meninggal dunia berdasarkan “bukti-bukti autentik” menunjukkan ke arah itu.
“KRI Rigel telah melakukan pemindaian secara lebih akurat di lokasi tersebut menggunakan multibeam sonar dan magnetometer,” kata Panglima TNI Marsekal Hadi Tjahjanto dalam sidang media hari ini.
Bangkai kapal selam yang ditemui itu didapati terdampar pada kedalaman 838 meter dan “pecah” kepada tiga bahagian yang besar.
Badan kapal selam itu didapati remuk dipercayai akibat kuasa tekanan dasar laut yang amat kuat.
Penemuan itu menamatkan pencarian yang bermula Rabu lepas apabila KRI Nanggala gagal melapor diri ketika terlibat dalam satu latihan penembakan torpedo di dasar perairan utara Bali.