Korea Selatan Tambah Lagi 36 Helikopter AH-64E “Apache”, Keseluruhannya 72 Buah

Penambahan helikopter AH-64E "Apache" adalah untuk menangani ancaman armor di Semenanjung Korea.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Angkatan Tentera Korea Selatan telah memutuskan untuk membeli sebanyak 36 buah helikopter penyerang AH-64E Apache, bagi menambah 36 helikopter penyerang buatan Amerika Syarikat itu yang berada di dalam pegangannya ketika ini.

Pembelian terbaharu itu membawa keseluruhan helikopter Apache yang bakal dimilikinya sebanyak 72 buah.

Korea Selatan membeli 36 buah helikopter penyerang Apache pada 2013 bagi memberikannya kemampuan untuk menangani ancaman armor dari udara.

Penambahan bilangan Apache menerusi pembelian 36 buah itu adalah untuk meningkatkan lagi kemampuannya bagi menangani ancaman armor, merujuk ancaman terutamanya yang datang daripada Korea Utara. Korea Selatan telah meningkatkan helikopter Apache yang dibelinya pada 2013 itu kepada versi terbaru “v6.” Boeing yang membina helikopter Apache, dikatakan menawarkan untuk memasang helikopter penyerang itu di Korea Selatan.

Helikopter AH-1S Cobra

Menurut laporan daripada portal Bizhankook.com, dengan 72 buah helikopter Apache didalam pegangannya, Korea Selatan akan menamatkan perkhidmatan AH-1S Cobra yang turut digunakan oleh angkatan tenteranya.

Pada ketika ini Korea Selatan mengoperasikan dua battalion helikopter penyerang AH-64E.

Ia menandatangani perjanjian pada 2013 untuk membeli 36 helikopter Apache bernilai US$1.6 bilion di bawah program Foreign Military Sales (FMS).

Helikopter AH-64E adalah versi terkini helikopter penyerang itu yang dilengkapi dengan sistem komunikasi, navigasi, sensor dan persenjataan terkini, selain, sistem “Modernized Target Acquisition Designation” yang memberikan maklumat tidak kira pada siang, malam dan dalam semua keadaan cuaca.

Sistem Fire Control Radar juga telah dipertingkatkan untuk beroperasi pada suasana maritime.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

AH-1S CobraAH-64EBoeingKorea Selatan