Kini China Hantar Pula Kapal Penyelidiknya Lakukan Penyelidikan Haram Dalam Perairan ZEE Malaysia

Selepas tiga buah kapal pengawal pantai China dikesan berada di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) berhampiran lokasi pembangunan minyak dan gas milik negara, Beijing kini menghantar pula kapal penyelidiknya, Ke Xue San Hao untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan haram berhampiran Terumbu Ubi (Ardasier Bank) yang jelas berada dalam perairan ZEE Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal penyelidik/survei milik China, Ke Xue San Hao dikesan melakukan kerja-kerja penyelidik haram berhampiran Terumbu Ubi (Ardasier Bank) yang terletak di dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan.
Terumbu Ubi itu terletak kira-kira 150 Batu Nautika daripada Kota Kinabalu, yang jelas berada di dalam perairan ZEE Malaysia sebagaimana ditetapkan oleh United Nations Conventions on the Law of the Sea (UNCLOS).
Menurut pemerhati maritim antarabangsa, Ray Powell menerusi ciapannya di dalam platform X hari ini, kehadiran kapal penyelidik China itu telah menarik perhatian kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Sundang dan KD Selangor serta sebuah kapal milik Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim), KM Arau.
Kapal-kapal TLDM dan Maritim Malaysia berkekemungkinan sedang melakukan “shadow” terhadap kapal penyelidik China itu.
Powell adalah bekas kolonel Tentera Udara Amerika Syarikat dan adalah ketua Projek Myoushu di Gordian Knot Center for National Security Innovation, Universiti Stanford.
Kapal penyelidik China, Ke Xue San Hao dikesan berada dalam kawasan perairan ZEE Malaysia berhampiran Terumbu Ubi. (kredit Ray Powell)
Kapal penyelidik Ke Xue San Hao itu juga berkemungkinan besar turut diiringi oleh kapal-kapal pengawal pantai China, namun Powell tidak menyatakan kehadiran kapal-kapal pengawal pantai China itu dalam ciapannya itu.
Kapal penyelidik milik China itu memasuki perairan ZEE Malaysia untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan berkaitan sumber-sumber asli dasar laut termasuk minyak dan gas, selepas melakukan kerja-kerja yang sama di perairan ZEE Vietnam dan Filipina.
Ketika berada di perairan ZEE Filipina, kapal penyelidik China itu telah diberikan “kawalan” oleh kapal pengawal pantai negara itu yang dikenali dengan panggilan “The Monster” kerana saiznya yang besar, mencecah berat 12,000 tan.
Kapal penyelidik Ke Xue San Hao itu dibina pada tahun 2006 dan direkabentuk oleh Marine Design and Research Institute of China serta dibina oleh Wuchang Shipbuilding Industry Co.
Kapal penyelidik milik China Institute Oceanology itu dilengkapi dengan teknologi canggih yang membolehkannya melakukan kajian marin yang menyeluruh.
Hanya beberapa hari lalu, Powell menerusi ciapannya menerusi platform X turut mengesan kehadiran  tiga buah kapal pengawal pantai China di kawasan perairan ZEE milik Malaysia di Laut China Selatan.
Tiga buah kapal Malaysia “shadow” kapal penyelidik China itu. (kredit Ray Powell)
 Ketiga-tiga buah kapal pengawal pantai China itu yang dikesan berada di dalam perairan ZEE Malaysia di Laut China Selatan itu dikenalpasti CCG 5403, CCG 5102 dan CCG 5402.
Aplikasi penjejakan kapal menunjukkan kapal-kapal pengawal pantai China CCG 5403 dan CCG 5102 dipercayai berada berhampiran dengan kawasan pembangunan gas Kasawari yang sedang diusahakan oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas di Blok 316 yang jelas berada di dalam kawasan perairan ZEE milik Malaysia.
Petronas Carigali, anak syarikat penuh Petronas merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkan dan adalah operator Lapangan Gas Kasawari itu yang dianggarkan bernilai berbillion-billion ringgit.
Ditemui pada Novermber 2011, Lapangan Gas Kasawari di Blok SK316 di luar pantai Sarawak dalam Laut China Selatan itu dianggar menyimpan sebanyak tiga trillion kaki padu (Trillion Cubic Feet –TCF) sumber gas asli yang boleh diekstrak, diproses dan dikomersial.
Penemuan Lapangan Gas Kasawari oleh Petronas itu hanya mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai antara negara pengeksport gas asli dibekukan (Liquified Natural Gas – LNG) terbesar dunia. 
Kapal LMS TLDM, KD Sundang
KD Selangor
KM Arau
Lapangan gas mega itu bakal menghasilkan sehingga 900 juta kaki padu gas setiap hari dan 3.5 juta tong kondensat setiap hari.
Gas yang diekstrak daripada Lapangan Gas Kasawari itu akan dihantar menggunakan paip untuk diproses di Kompleks LNG Petronas di Bintulu, Sarawak.
Kehadiran kapal-kapal pengawal pantai dan penyelidik China di dalam perairan ZEE Malaysia itu berlaku ketika tersebar kandungan nota diplomatik dihantar Kementerian Luar negara itu kepada Kedutaan Malaysia di Beijing bertarikh 18 Feb yang menuntut Malaysia supaya menghentikan serta-merta semua aktiviti penggalian minyak di perairan yang kaya dengan sumber itu di Sarawak.
Nota diplomatic tersebut membantah penerokaan minyak dan gas oleh Malaysia di Beting Raja Jarum dan Beting Patinggi Ali (dirujuk sebagai Beikang Ansha dan Nankang Ansha dalam nota diplomatik China tersebut), yang merupakan terumbu sebahagian daripada Kepulauan Spratly dan didakwa oleh Malaysia sebagai sebahagian daripada zon ekonomi eksklusifnya.
China mendakwa aktiviti penerokaan Malaysia itu merupakan tindakan unilateral yang melanggar hak China ke atas kawasan tersebut, dan melanggar Deklarasi tentang Tata Laku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) serta Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
China mendakwa mempunyai hak ke atas sebahagian besar Laut China Selatan melalui apa yang dikenali sebagai “Nine Dash Line”, termasuk Kepulauan Spratly.
Terumbu Ubi (Ardasier Bank)
Walaupun menyatakan “ketidakpuasan hati yang kuat” terhadap penerokaan minyak dan gas oleh Malaysia, nota tersebut juga mengundang Malaysia untuk berdialog dan bekerjasama.
Ditanya tentang nota diplomatik China itu,  Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas bahawa Malaysia akan meneruskan penerokaan minyak di dalam kawasan wilayahnya walaupun terdapat permintaan China untuk menghentikan serta-merta aktiviti cari gali minyak dan gas di perairan Sarawak itu.
“China adalah rakan kita, tetapi kita perlu beroperasi di dalam kawasan perairan kita untuk memastikan kita mendapat manfaat, termasuk penggerudian dalam kawasan wilayah negara.
“(Walaupun) Beijing hantar bantahan sebab dia rasa tu kawasan dia, kita terpaksa teruskan (aktiviti) sebab ini soal survival ekonomi negara kita,” kata Perdana Menteri kepada wartawan Malaysia dalam sidang media pada hari terakhir lawatan kerja ke Russia beberapa hari lalu. — DSA
ChinafeaturedMalaysiaTerumbu UbiZEE
Comments (0)
Add Comment