Kim Jong Un Dedah Saetbyol-4, Ciplak Dari Dron Altitud Tinggi Global Hawk Amerika Syarikat
Menurut laporan media rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA), pemimpin negara itu, Kim Jong Un, secara peribadi telah melakukan pemeriksaan terhadap UAV altitud tinggi Saetbyol-4 itu, selain turut meneliti dron yang didakwanya dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas didedahkan pada 2023, Korea Utara kali ini telah secara terbuka memperkenalkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) altitud tinggi dinamakan Saetbyol-4, yang rekabentuknya hampir menyamai menyerupai pesawat tanpa pemandu keluaran Amerika Syarikat, RQ-4B Global Hawk.
Menurut laporan media rasmi Korea Utara, Korean Central News Agency (KCNA), pemimpin negara itu, Kim Jong Un, secara peribadi telah melakukan pemeriksaan terhadap UAV altitud tinggi Saetbyol-4 itu, selain turut meneliti dron yang didakwanya dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini.
Selain itu, Pyongyang juga buat pertama kalinya turut memperkenalkan pesawat amaran awal dan kawalan udara (AEW&C), yang membolehkan negara itu mengurus operasi udara dan darat secara serentak dalam masa nyata.
Saetbyol-4 telah dipertontonkan kepada orang-orang kenamaan termasuk Menteri Pertahanan Russia pada ketika itu Sergei Shoigu pada pameran senjata dan pertahanan yang diadakan di ibu negara Pyongyang pada 2023.
Kehadiran Saetbyol-4 pada pameran pertahanan Korea Utara pada 2023 itu telah menarik perhatian ramai pemerhati pertahanan serantau, bukan sahaja kerana rekabentuknya yang menyamai Global Hawk tetapi juga potensi pesawat tanpa pemandu itu dalam aspek Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).
Dengan reka bentuk sayap beraspek tinggi, ekor berbentuk ‘V’ serta kemampuan operasi jarak jauh, Pyongyang memberi isyarat jelas bahawa ia kini menyertai kelompok elit negara-negara yang memiliki keupayaan dron strategik.
Saetbyol-4, yang bermaksud ‘Bintang Pagi-4’, merupakan satu pencapaian besar bagi sebuah negara yang dikenakan sekatan antarabangsa yang ketat.
Saetbyol-4 buatan Korea UtaraDron RQ-4B Global Hawk buatan Amerika Syarikat
Dengan lebar sayap dilaporkan hampir 35 meter serta reka bentuk sayap dipasang tinggi dan ekor berbentuk ‘V’, dron berkenaan menyerupai ciri-ciri aerodinamik dron buatan Amerika Syarikat, Northrop Grumman RQ-4 Global Hawk.
Media rasmi Korea Utara KCNA turut menerbitkan gambar-gambar pesawat amaran awal milik negara itu serta melaporkan bahawa pemimpin negara itu, Kim telah menaiki pesawat berkenaan sambil memberi arahan kepada pegawai tentera.
Pesawat amaran awal lazimnya digunakan untuk mengesan kehadiran pesawat, kapal perang, kenderaan serta peluru berpandu musuh yang mendekati wilayahnya, sekaligus membolehkan angkatan tentera negara itu melancarkan tindakan serangan balas.
Pada September tahun lalu, laporan media menyebut Korea Utara telah mencapai kemajuan dalam usaha mengubahsuai sebuah pesawat pengangkut buatan Russia untuk dijadikan pesawat amaran awal pertamanya.
Badan pemikir Britain, International Institute for Strategic Studies (IISS), sebelum ini melaporkan bahawa kerja-kerja pengubahsuaian sedang dilakukan oleh Korea Utara terhadap salah sebuah daripada tiga pesawat Ilyushin IL-76 Candid yang dibekalkan Russia kepada Pyongyang pada awal 1990-an di Lapangan Terbang Antarabangsa Pyongyang Sunan.
Pesawat amaran awal Korea Utara
Pada awal Mac lalu, imej satelit menunjukkan bahawa Korea Utara hampir selesai melaksanakan kerja pengubahsuaian terhadap pesawat berkenaan.
Terdapat laporan mendapat pesawat amaran awal Korea Utara ini lebih banyak dipengaruhi teknologi dari China dan Israel berbanding daripada Russia.
Pemerhati pertahanan menyatakan bahawa cara kubah radar (radome) pada pesawat amaran awal Korea Utara itu dicat menunjukkan ia menggunakan sistem radar jenis tetap (fixed radar), menyerupai kaedah yang digunakan pada pesawat Shaanxi KJ-2000 buatan China yang dibangunkan pada era 1990-an dengan kerjasama Russia dan Israel di bawah nama A-50AI (atau A-50I).
Kerangka pesawat tersebut adalah berdasarkan pesawat Il-76 buatan Russia, manakala Israel membekalkan radar EL/M-205 Phalcon AESA yang mempunyai tiga antena bagi liputan penuh 360 darjah.
Dalam pada itu, pesawat A-50 buatan Russia dan variannya pula menggunakan sistem radar jenis Shmel yang berputar.
Keadaan dalaman pesawat amaran awal Korea Utara
Sementara itu KCNA dalam laporannya juga berkata ketika pemeriksaan itu, Kim dilaporkan telah membuat penilaian penting mengenai keberkesanan ketenteraan serta nilai strategik dron peninjau yang telah dinaiktaraf prestasinya serta dron berani mati yang dilengkapi dengan teknologi AI terkini.
“Ujian itu membuktikan kemampuan inovatif dron peninjau strategik jenis baru yang mempunyai keupayaan pengesanan bagi menjejak serta memantau pelbagai sasaran strategik dan pergerakan tentera musuh di darat mahupun di laut,” menurut laporan oleh media rasmi Korea Utara itu.
KCNA turut melaporkan bahawa Kim menegaskan pesawat tanpa pemandu dan teknologi AI harus diberi keutamaan tertinggi.