KF-21 “Boramae” Mula Dibina Secara Besar-Besaran Tahun Depan

Ujian teknikal itu yang dipanggil "Provisional Combat Suitability Evaluation” adalah bagi membolehkan pihak-pihak yang membangunkan sistem persenjataan pesawat KF-21 "Boramae untuk mendapatkan peruntukan,  lama sebelum ia memenuhi segala keperluan kombat di dalam usaha mempercepatkan proses pembinaan secara besar-besaran pesawat itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang generasi 4.5 dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Korea Selatan, KF-21 “Boramae” telah lulus ujian teknikal khusus bagi membolehkan ia dibina secara besar-besaran bermula pada tahun depan.

Agensi perolehan persenjataan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) berkata, pesawat KF-21 itu telah lulus ujian teknikal dipanggil “Provisional Combat Suitability Evaluation” yang diadakan pada minggu lepas.

Kelulusan itu diberi berdasarkan kepada ratuskan penerbangan ujian di udara dan daratan yang dilakukan oleh pesawat pejuang itu sepanjang dua tahun lepas.

Pesawat KF-21 dengan empat butir peluru berpandu udara-ke-udara “Meteor” BVR ketika melakukan penerbangan sulung tahun lepas.

 

“Ujian itu telah meletakkan batu asas bagi membolehkan kami untuk memulakan pengeluaran pesawat secara besar-besar bermula pada tahun depan,” menurut DAPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.

Ujian teknikal itu telah diperkenalkan bagi membolehkan pihak-pihak yang membangunkan sistem persenjataan KF-21 untuk mendapatkan peruntukan,  jauh sebelum ia memenuhi segala keperluan kombat di dalam usaha mempercepatkan proses pembinaan secara besar-besar pesawat itu.

Sejak pesawat prototaip KF-21 yang pertama diperkenalkan kepada khalayak umum pada April tahun ini, pihak berkuasa Korea Selatan telah melakukan pelbagai ujian teknikal kepada pesawat prototaip itu.

Antara ujian-ujian teknikal yang dijalankan terhadap pesawat prototaip itu termasuklah melakukan kira-kira 200 penerbangan ujian bagi membolehkan ia memeriksa 260 buah komponen dan sistem  pesawat itu termasuk kelajuannya, jarak operasi kombat dan jarak perlepasan serta pendaratan pesawat.

Syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) telah membangunkan enam buah pesawat prototaip KF-21, yang akan melakukan 2,200 penerbangan ujian sehingga tahun 2026 untuk mengesahkan lagi kemampuan teknikal pesawat itu.

Varian dua tempat duduk KF-21

 

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2030.

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat bermula pada tahun 2028.

KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland.

Memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bakal menggunakan FA-50 Block 20, maka ia juga disasarkan oleh KAI sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21.

 Dengan harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BoramaefeaturedKAIKF-21Ujian Teknikal