Korea Selatan Mula Produksi Pesawat Pejuang KF-21 “Boramae” Tahun Ini

Pihak perancang tentera negara Asia Timur itu mahu memastikan pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 "Boramae" itu diproduksi secara besar-besaran pada tahun ini supaya dapat mengelak daripada terjadinya “capability gap” apabila pesawat-pesawat pejuang berusia seperti F-4E Phantom dan F-5 dibersarakan kelak.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Korea Selatan telah mengumumkan peningkatan belanjawan pertahanan sebanyak 4.2 peratus kepada US$50.2 bilion (RM225 bilion) pada tahun ini, yang turut merangkumi peruntukan memulakan produksi besar-besaran (mass production) untuk pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae.”

Pembangunan pesawat pejuang KF-21 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) adalah komponen penting dalam strategi pertahanan Korea Selatan.

Pihak perancang tentera negara Asia Timur itu mahu memastikan pesawat pejuang KF-21 itu diproduksi secara besar-besaran pada tahun ini supaya dapat mengelak daripada terjadinya “capability gap” apabila pesawat-pesawat pejuang berusia seperti F-4E Phantom dan F-5 dibersarakan kelak.

Pesawat pejuang generasi 4.5 dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan Korea Selatan, KF-21 “Boramae” telah lulus segala ujian teknikal khusus bagi membolehkan ia dibina secara besar-besaran pada tahun ini.

Agensi perolehan persenjataan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) berkata, pesawat KF-21 itu telah lulus ujian teknikal dipanggil “Provisional Combat Suitability Evaluation” bagi memulakan produksi besar-besaran itu pada tahun ini.

“Ujian itu telah meletakkan batu asas bagi membolehkan kami untuk memulakan pengeluaran pesawat secara besar-besar bermula pada tahun depan,” menurut DAPA dalam satu kenyataan beberapa bulan lepas.

KF-21 “Boramae” ketika melancarkan peluru berpandu udara-ke-udara jarak jauh “METEOR”.

 

Kelulusan itu diberi selepas pesawat pejuang itu menjalani ratusan penerbangan ujian di udara dan daratan.

 Sejak pesawat prototaip KF-21 yang pertama diperkenalkan kepada khalayak umum pada April tahun lepas, pihak berkuasa Korea Selatan telah melakukan pelbagai ujian teknikal terhadap pesawat prototaip itu.

Antara ujian-ujian teknikal yang dijalankan terhadap pesawat prototaip itu termasuklah melakukan kira-kira 200 penerbangan ujian bagi membolehkan ia memeriksa 260 buah komponen dan sistem  pesawat itu termasuk kelajuannya, jarak operasi kombat dan jarak perlepasan serta pendaratan pesawat.

KAI telah membangunkan enam buah pesawat prototaip KF-21, yang akan melakukan 2,200 penerbangan ujian sehingga tahun 2026 untuk mengesahkan lagi kemampuan teknikal pesawat itu.

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion),bertujuan untuk menggantikan pesawat-pesawat pejuang supersonik milik Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) yang telah berusia seperti F-4 Phantom dan F-5.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2030.

Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat bermula pada tahun 2028.

KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah dan bakal menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland.

Memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga bakal menggunakan FA-50 Block 20, maka ia juga disasarkan oleh KAI sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI Kang Goo-Young ketika ditemuramah oleh media tempatan di LIMA 2023 dengan jelas menyatakan bahawa pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 Boramae itu adalah “ideal fit” untuk TUDM.

Katanya, KF-21 “lebih daripada mungkin mampu”  untuk menggantikan pesawat-pesawat F/A-18D dan Sukhoi Su-30MKM yang bakal dibersarakan oleh TUDM pada 2035 dan 2040 sebagaimana yang digariskan di dalam program CAP 55 (Capability 2055).

“Saya percaya, ya, pesawat KF-21 lebih daripada mungkin mampu untuk menggantikan mereka (F/A-18D dan Su-30MKM) kerana waktu persaraan kedua-dua pesawat itu adalah hampir sama dengan waktu dimana pesawat KF-21 itu akan mula beroperasi,” kata beliau dalam temuramah itu.

Panglima TUDM dengan pesawat pejuang KF-21 “Boramae” (TUDM)

 

Dengan kombinasi FA-50 dengan KF-21, TUDM menurut beliau, akan mempunyai kemampuan sistem pertahanan udara yang amat strategik dan taktikal.

“Pesawat KF-21 adalah pesawat pejuang generasi 4.5 tetapi ia akan mempunyai platform generasi ke-5, bermakna ia bukan sahaja generasi ke-5 tetapi boleh dinaiktaraf kepada pesawat pejuang generasi ke-6 di masa depan.”

“Sebab itulah, saya percaya bahawa pesawat pejuang KF-21 adalah amat ideal untuk TUDM”, kata beliau dalam temuramah di LIMA 2023 itu.

Dengan harga per-unit pada US$65 juta (RM260 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 1) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

featuredKF-21Korea SelatanPesawatProduksi