Siapa “Di Belakang” Waris Kesultanan Sulu? Adakah Babit “State Actors”?

Banyak pihak termasuk admin sendiri tertanya-tanya, di mana waris-waris Kesultanan Sulu ini memperolehi sumber kewangan yang besar untuk memulakan prosiding perundangan di Eropah bagi membuat tuntutan terhadap kerajaan Malaysia. Siapa "pembiaya" kumpulan ini?

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebagaimana yang diketahui kos guaman di Malaysia adalah mahal, apatah di benua Eropah di mana kosnya berlipat-kali ganda dan boleh mencecah jutaan ringgit terutama  membabitkan kes-kes yang berprofil tinggi melibatkan tindakan perundangan terhadap sesebuah kerajaan berdaulat.

Sebab itulah, banyak pihak termasuk admin sendiri yang tertanya-tanya, di mana waris-waris kesultanan Sulu ini memperolehi sumber kewangan yang besar untuk memulakan prosiding perundangan di Eropah bagi membuat tuntutan terhadap kerajaan Malaysia.

Bukan sahaja mereka memerlukan sumber kewangan yang kukuh untuk memulakan proses perundangan itu, tetapi juga untuk meneruskannya tindakan perundangan buat suatu tempoh yang panjang untuk “menyusahkan” kerajaan Malaysia.

Selain persoalan tentang sumber kewangan, admin juga mengesyaki waris-waris Kesultanan Sulu ini mendapat bantuan nasihat perundangan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, yang bertindak sebagai “perancang utama” kepada kumpulan waris Kesultanan Sulu ini.

Kemungkinan besarnya adalah perancang utama inilah yang menanggung segala kos perundangan oleh waris Kesultanan Sulu ini, selain bertindak sebagai pihak yang menasihati segala gerakan mereka ketika berhadapan dengan kerajaan Malaysia.

Dan “perancang utama” kepada waris Kesultanan Sulu ini semestinya adalah individu atau kumpulan yang mempunyai “deep pocket” untuk membiayai kegiatan mereka yang menggelar diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu.

Adakah “perancang utama” ini terdiri daripada “state actors” iaitu mereka yang mempunyai hubung kait dengan kerajaan-kerajaan tertentu, sama di Asia Tenggara mahupun Eropah?

Semua persoalan ini memerlukan jawapan dan badan-badan perisikan serta agensi kerajaan Malaysia perlu melibatgandakan usaha mereka untuk mengumpul segala maklumat dalam mengenaplasti siapakah “perancang utama” di belakang waris-waris Kesultanan Sulu ini.

Pada Mac lepas, bekas Ketua Menteri Sabah Yong Teck Lee juga telah meminta kerajaan supaya menyiasat siapa membayar kos guaman untuk waris Sultan Sulu yang membuat tuntutan di mahkamah timbang tara antarabangsa sehingga berjaya mendapat anugerah bernilai RM62.5 bilion.

Beliau mendakwa keluarga Kiram yang juga waris Sultan Sulu tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan usaha undang-undang antarabangsa seperti itu yang kosnya menelan belanja berjuta ringgit.

“Siapakah yang membayar yuran guaman dan kos kes timbang tara yang dilakukan kepada Sepanyol dan Perancis?.

“Seperti yang diketahui oleh setiap peguam, yuran dan kos guaman di Eropah boleh menelan belanja berjuta-juta ringgit.

“Siapa yang membayar yuran dan kos itu?. Keluarga Kiram tidak mempunyai sumber kewangan untuk melaksanakan usaha undang-undang antarabangsa sedemikian.

“Oleh itu, saya menggesa kerajaan Malaysia untuk menyiasat siapa yang membayar bil pihak yang menuntut.

“Apabila kita mengetahui identiti pembayar yuran dan kos guaman, kita akan mempunyai identiti pesalah yang mendorong keturunan Kiram yang miskin untuk meneruskan tuntutan Sabah mereka,” katanya.

Menurutnya, apa yang membimbangkan berita mengenai penganugerahan RM62.5 bilion itu akan mendorong beberapa elemen keturunan Kesultanan Kiram yang sudah tidak berfungsi untuk mencetuskan gangguan di Sabah.

Katanya, pendatang asing tanpa izin dari Filipina juga akan merasakan mereka sah untuk kekal di Sabah, justeru menyukarkan pihak berkuasa Malaysia menghantar mereka pulang.

Pada masa sama, beliau mendakwa tarikan wang RM62.5 bilion itu akan memburukkan lagi konflik dalam kalangan lebih daripada 50 penuntut Sultan Sulu yang mendakwa sebagai waris keluarga Kiram.

Sementara itu, Jabatan Peguam Negara dalam satu kenyataan ringkas yang dipetik oleh portal Free Malaysia Today berkata, ia akan “melihat” tentang dakwaan bahawa waris kesultanan Sulu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia – telah merampas dua anak syarikat Petronas yang diperbadankan di Luxembourg.

Menurut laporan Financial Times yang berpangkalan di London, peguam pihak yang menuntut itu telah merampas Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, yang dilaporkan bernilai AS$2 bilion (RM8 bilion).

Peguam berkata bailif di Luxembourg merampas syarikat induk bagi pihak pelanggan mereka pada Isnin.

Dalam satu kenyataan lewat malam semalam, Petronas menyatakan bahawa kedua-dua anak syarikatnya,  Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) S.à r.l. dan Petronas South Caucasus S.à r.l. telah melupuskan segala aset mereka di Republik Azerbaijan.

Lapangan Gas Shah Deniz, Azerbaijan

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Ia berkata, segala hasil daripada perlupusan telah pun dikembalikan dengan sewajarnya.

Syarikat minyak dan gas negara itu menganggap tindakan yang diambil terhadapnya sebagai tidak berasas dan akan terus mempertahankan kedudukan Petronas dari segi undang-undang dalam hal ini.

Seorang peguam, Haniff Khatri Abdullah di dalam laporan FMT itu mendesak Jabatan Peguam Negara supaya memberikan penjelasan dengan segera tentang dakwaan itu dan sebab ia berlaku. — DSA

 

featuredKerajaanMalaysiaWaris Sulu
Comments (0)
Add Comment