Kerajaan Sweden Enggan Jual Pesawat Pejuang “Gripen” Kepada Filipina? Kenapa…

Kerajaan Sweden enggan memberikan lesen eksport kepada syarikat Saab Group bagi membolehkannya menjual pesawat pejuang "Gripen" kepada Filipina, dengan alasan rekod buruk hak asasi manusia Presiden Duterte.

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter

 

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Usaha kerajaan Filipina untuk memperolehi kira-kira 12 buah pesawat pejuang JAS 39D “Gripen” keluaran syarikat Saab Group daripada Sweden mungkin tidak kesampaian kerana rekod buruk hak asasi manusia presidennya Rodrigo Duterte.

Menurut akhbar Sweden “Aftonbladet”, selepas beberapa kali Jawatankuasa Kawalan Eksport (Export Control Council) negara itu bermesyuarat ia telah memutuskan untuk tidak memberikan lesen eksport kepada Saab Group yang akan membolehkan syarikat itu mengeksport pesawat pejuang JAS 39D kepada Filipina.

Keengganan jawatankuasa itu meluluskan lesen eksport kepada syarikat Saab Group untuk menjual pesawat Gripen kepada Filipina itu dipercayai berkait-rapat dengan rekod buruk Presiden Rodrigo Duterte terutamanya berkenaan operasi anti-dadah oleh pihak berkuasa negara itu sehingga mengakibatkan ribuan penduduk negara itu terkorban.

Menurut pihak-pihak bukan kerajaan di Filipina, bilangan korban akibat operasi anti-dadah yang dilancarkan oleh Duterte ketika beliau mula-mula menjadi presiden negara itu adalah di antara 5,000 hingga 20,000 termasuk kanak-kanak dan wanita sehingga kini.

Operasi-operasi anti dadah oleh Presiden Duterte itu menerima kecaman hebat daripada masyarkat dunia yang mendakwa ia amat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

 

Selain itu, pihak berkuasa Sweden juga melahirkan kebimbangan sekiranya pesawat-pesawat Gripen yang dijualnya kepada Filipina itu akan digunakan untuk menangani masalah keselamatan di selatan Filipina.

Pada ketika ini, hanya Tentera Udara Thailand menggunakan pesawat pejuang Gripen di rantau Asia Tenggara.

Jika Saab Group gagal mendapatkan lesen eksport bagi membolehkannya menjual pesawat Gripen itu kepada Filipina, maka ia akan membuka peluang yang luas kepada syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Syarikat pertahanan Uncle Sam itu menawarkan kepada Filipina untuk menjual 12-14 buah pesawat pejuang F-16 Block 70/72 kepada tentera udara negara Asia Tenggara itu.

Malah Jabatan Negara Amerika Syarikat telah pun mengumumkan pada Jun lepas bahawa Filipina berpotensi untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang terbabit beserta dengan peralatan dan sistem-sistemnya.

Walaupun Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengumumkan potensi penjualan itu, tetapi ia tidak bermakna Manila telah bersetuju untuk membelinya.

Pakej penjualan senjata yang ditawarkan oleh Lockheed Martin kepada Filipina itu melibatkan perolehan diantara 12 hingga 14 buah pesawat F-16 Block 70/72 itu bernilai US$2.4 bilion (RM9.6 bilion).

Selain di antara 12-14 pesawat F-16, Amerika Syarikat juga menawarkan penjualan 24 buah peluru berpandu udara-ke-udara “AMRAAM,” 24 buah peluru berpandu AIM-9X Block II Sidewinder, 12 buah peluru berpandu anti-kapal “Harpoon Block II”, bom, GPS dan kit untuk panduan laser serta lain-lain peralatan sokongan.

Pesawat-pesawat pejuang “Gripen” Tentera Udara Thailand melakukan Elephant Walk.

 

Bagaimanapun, sehari selepas pengumuman oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat itu, Menteri Pertahanan Filipina Delfin Lorezana dalam reaksi balas berkata, harga yang ditawarkan untuk pesawat-pesawat F-16 serta persenjataanya adalah “terlalu mahal.”

Beliau berkata, Filipina sedang menimbang pesawat-pesawat pejuang yang lain termasuk JAS 39D “Gripen.”

Disebabkan harganya yang lebih kompetitif, pesawat pejuang keluaran syarikat Saab Group itu dijangka menjadi pilihan utama kepada kerajaan Filipina bagi membolehkan tentera udara negara itu memperolehi pesawat pejuang MRCA yang pertama.

Pada ketika ini, Tentera Udara Filipina memiliki 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) dan Super Tucanos untuk tujuan operasi COIN (Counter Insurgency).

Filipina amat memerlukan pesawat pejuang MRCA untuk menangani pencerobohan oleh China di kawasan Laut China Selatan.

Presiden Duterte dipercayai mahu menyelesaikan proses pembelian pesawat MRCA untuk Tentera Udara Filipina sebelum beliau meninggalkan jawatannya pada tahun depan selepas enam tahun memegang jawatan tertinggi Filipina itu.

Dibawah perlembagaan negara itu, pemimpin Filipina berusia 76 tahun perlu meninggalkan jawatannya pada tahun depan selepas berkhidmat selama enam tahun sebagai presiden.

Presiden Filipina hanya dibenarkan berkhidmat sekali untuk tempoh satu penggal selama enam tahun.

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

 

DuterteFilipinaJAS 39D GripenSaab Group
Comments (2)
Add Comment