Kerajaan Pajak 28 Helikopter Dalam Kontrak Bernilai RM16 Bilion Untuk 15 Tahun

Bercakap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pajakan helikopter-helikopter itu melibatkan kontrak bernilai RM16.5 billion untuk tempoh selama 15 tahun.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi-agensi keselamatan negara yang lain akan mengoperasi 28 buah helikopter menerusi kaedah pajakan.
Bercakap pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025, di Dewan Rakyat pada Khamis lalu, beliau berkata, perolehan secara pajakan helikopter-helikopter itu melibatkan kontrak bernilai RM16.5 billion untuk tempoh 15 tahun.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jenis helikopter yang dipajak oleh kerajaan mahupun syarikat yang terlibat dalam kontrak pajakan itu.
“Perolehan secara pajakan aset ini merupakan kali pertama dibuat dan dilaksanakan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) JPM. Perolehan ini melibatkan kontrak bernilai RM16.546 billion untuk tempoh sewaan selama 15 tahun.”
“Ia melibatkan 28 buah helikopter dan akan memberikan manafaat bukan sahaja pada ATM tetapi juga kepada agensi-agensi keselamatan negara yang lain,” kata beliau.
Leonardo AW149
Menurut Menteri Pertahanan, di bawah kontrak pajakan itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menerima dua buah helikopter manakala Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan menjadi penerima terbesar dengan 12 buah helikopter.
Sementara itu Polis Diraja Malaysia akan menerima tujuh buah helikopter, empat buah bagi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat akan menerima dua buah helikopter dan Jabatan Perdana Menteri akan menerima sebuah helikopter.
Mohamed Khaled berkata, tujuan utama kontrak sewaan melibatkan 28 buah helikopter itu adalah untuk memenuhi keperluan agensi pengguna, menjalankan operasi udara harian dan misi misi tertentu selain peperangan.
Mengenai kos kontrak pajakan 28 buah helikopter itu yang mencecah RM16 billion untuk tempoh selama 15 tahun, beliau menyifatkan kos itu adalah “amat wajar”.
“Kerajaan berpandangan bahawa kos tersebut adalah wajar kerana ia merangkumi pembekalan helikopter, pelindungan insuran, perkhidmatan Maintenance, Repair and Overhaul (MRO), termasuk alat alat gantian dan simpanan, kursus dan latihan serta penyelenggaran luar pangkalan,” kata beliau.
Melalui kaedah pajakan itu kata Menteri Pertahanan, isu utama yang akan diatasi adalah ketersediaan dan kesiapsiagaan pesawat helikopter sedia ada.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Pihak syarikat katanya, perlu memastikan tahap ketersediaan dan kesiapsiagaan helikopter yang dibekalkan adalah pada tahap minimum — 85 peratus dan agensi-agensi (keselamatan negara) mendapat jaminan jam penerbangan mengikut keperluan masing-masing.
“Melalui konsep pajakan ini maka ia bermakna pihak end-user seperti ATM dan perkhidmatan di dalamnya tidak perlu memberikan kontrak MRO atau pun membeli spare parts dan sebagainya.”
“Semua dikendalikan oleh syarikat yang melakukan pajakan ini dan pajakan ini adalah pajakan To-Own bermakna selepas 15 tahun, kerajaan diberikan pilihan untuk membeli kesemua 28 helikopter itu pada harga nominal RM1 sahaja. “
Menteri Pertahanan menjelaskan bahawa selepas 15 tahun nilai setiap helikopter itu adalah dianggarkan antara RM30 juta hingga RM50 juta bagi setiap unit tetapi kerajaan ditawarkan hanya RM1 untuk membelinya.
Bulan lepas, Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dilaporkan berkata oleh media-media tempatan bahawa perkhidmatan itu akan menerima helikopter AW149 buatan syarikat Leonardo secara sewaan-beli dan pihaknya tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan terhadapnya.
Katanya, helikopter Leonardo AW149 yang bakal menggantikan Nuri atau Sikorsky S-61 bagi kegunaan TUDM adalah varian ketenteraan dan mematuhi spesifikasi yang digariskan oleh Angkatan Tentera (ATM).
Helikopter EC725 digunakan TUDM
Spesifikasi helikopter AW149 yang bakal diterima pihak TUDM katanya, adalah berbeza sama sekali dengan helikopter daripada jenis sama untuk kegunaan awam.
Menurutnya, helikopter tersebut cukup sesuai untuk melaksanakan tiga penugasan utama iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) serta utiliti.
“Jika kita memilih untuk mendapatkan helikopter jenis lain, kita mungkin perlu berbelanja lebih. Lagi pun kos operasi Leonardo AW149 ini juga mungkin lebih rendah daripada helikopter jenis lain.
“Jadi pertimbangan sewajarnya telah dibuat dalam hal ini dan di pihak TUDM, kami tiada isu dengannnya,” kata beliau.
Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dilaporkan berkata bahawa rancangan perolehan helikopter baru untuk TUDM bagi menggantikan Nuri melibatkan perolehan sebanyak 24 buah helikopter dilaksanakan secara berfasa dan kaedah pajakan.
“Fasa 1 libatkan 12 unit helikopter (untuk varian) Combat Search And Rescue (CSAR) berkeupayaan utiliti dan Fasa 2 adalah 12 buah lagi helikopter,” katanya katanya semasa sidang media selepas menghadiri Perbarisan Hari ATM ke-91 di Kem Segenting, Port Dickson bulan lepas. — DSA

 
AW149featuredHelikopterMohamed Khaled