Kenderaan HMAV 4×4 “Tarantula” Penuhi Spesifikasi Teknikal Tentera Darat – Menteri Pertahanan
Kenderaan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) 4x4 “Tarantula” memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan oleh pihak Tentera Darat Malaysia, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kenderaan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) 4×4 “Tarantula” memenuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan oleh pihak Tentera Darat Malaysia, menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam jawapan lisan semasa persidangan Dewan Rakyat semalam.
Selain itu, syarikat pembuat kenderaan itu MILDEF Technologies Sdn Bhd juga didapati berupaya membekalkan “Tarantula” sebagai produk buatan tempatan dan mempunyai kemudahan pembuatan kenderaan.
“Berpandukan protokol ujian bagi sesebuah kenderaan perisai, pihak Tentera Darat mendapati bahawa kenderaan berperisai Tarantula 4×4 yang ditawarkan telah memenuhi dan mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.”
“Syarikat juga dirumuskan berupaya membekalkan kenderaan ini sebagai produk buatan tempatan dan mempunyai fasiliti pembuatan kenderaan,” menurut Menteri Pertahanan dalam jawapan lisannya kepada soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Ikmal yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan telah meminta Menteri Pertahanan menyatakan keputusan ujian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) ke atas kenderaan “Tarantula” buatan MILDEF itu.
Menurut Mohamed Khaled lagi, kenderaan HMAV 4×4 “Tarantula” telah melalui beberapa proses uji nilai bagi menepati kehendak dan keperluan Operasi Tentera Darat Malaysia.
“Proses penilaian telah dilaksanakan oleh pasukan yang dilantik dari Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) bersama-sama Tentera Darat yang meliputi ujian seperti berikut: a) Uji Nilai Keupayaan Kenderaan dalam persekitaran pengoperasian muka bumi Malaysia pada awal tahun 2021.”
“b) Penilaian keupayaan syarikat pada Februari 2023; c) Ujian Balastik Tembakan (ballistic test) dilaksanakan di The Defence Technology Institute, Bangkok, Thailand pada Julai 2023; dan Ujian Balastik Letupan (Mine/Underbelly Test) dilaksanakan di Council for Scientific and Industrial Research, Pretoria, Afrika Selatan pada Oktober 2023,” kata Menteri Pertahanan.
Kenderaan perisai HMAV “Tarantula” oleh MILDEF itu boleh dilengkapi dengan Remote Control Weapon System (RCWS) 12.7mm, Anti-Tank Guided Weapon (ATGW), Multiple Grenade Launcher (MGL) dan lain-lain sebagaimana dikehendaki oleh pelanggan.
Bagaimanapun, spesifikasi akhir kenderaan akhir itu adalah mengikut kehendak pelangggannya.
Kenderaan perisai itu dilengkapi dengan perlindungan perisai bawahan Stanag 4569 Level 2B dan perlindungan perisai badan Stanag 4569 Level 2 untuk melindungi krew di dalam kenderaan tersebut.
Nisbah kuasa dan berat untuk MILDEF HMAV4x4 adalah 24 kuasa kuda/tan.
Menurut laporan sebelum ini, kenderaan HMAV 4×4 “Tarantula” seberat 14 tan itu dihasilkan MILDEF dalam tempoh empat tahun penyelidikan dan pembangunan yang menelan belanja RM16 juta.
Menggunakan enjin turbo diesel 6.6-liter 6-selinder sebaris dari Caterpillar, Tarantula mampu beroperasi dari suhu serendah -21 darjah Celsius hingga 49 darjah Celsius.
Kenderaan itu juga mempunyai kadar perlindungan perisai daripada peluru, balistik, bom tangan dan periuk api. — DSA