Peningkatan “Kemasukan” Kapal China Di Perairan Negara Sejak 2013 -TLDM

Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, aset-aset TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa memantau kehadiran kapal-kapal asing tersebut dan apa yang dilakukan oleh mereka.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mendapati bahawa sejak tahun 2013 lagi terdapatnya peningkatan kemasukan kapal-kapal asing terutamanya daripada China ke perairan milik negara di Laut China Selatan. 

Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, aset-aset TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa memantau kehadiran kapal-kapal asing tersebut dan apa yang dilakukan oleh mereka.

Pihak TLDM katanya, sentiasa memantau keadaan terkini di Laut China Selatan dan menyifatkan kehadiran kapal-kapal asing itu sebagai “masih terkawal.”

“Jikalau kita ingat, beberapa tahun kebelakangan ini, memang ada peningkatan aktiviti (kemasukan kapal asing), sejak 2013 lagi kemasukan kapal pengawal pantai daripada China, tetapi kita sentiasa pantau situasi itu dan ia masih lagi terkawal,” kata beliau.

Kapal-kapal TLDM sentiasa melakukan rondaan di kawasan perairan negara di Laut China Selatan.

 

Kapal Pengawal Pantai China.

“Saya tidak perlu menghuraikan dengan lebih panjang lagi (pelaksanaan pengoperasian) tetapi TLDM bersama-sama TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia)  sentiasa memantau sebab ia melibatkan pengawasan udara sekali dan kita melaporkan kepada pihak yang tertentu berkaitan kehadiran unsur ( kapal) asing ini,” katanya.

Timbalan Panglima TLDM Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob

Aset-aset milik TLDM menurut Timbalan Panglima TLDM, digerakkan bagi mengenal pasti kemasukan kapal-kapal asing ke perairan negara, melaporkan dan menyalurkan maklumat tertentu kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Upacara Penamaan dan Pentauliahan KD Panglima Garang di Pangkalan TLDM, Lumut.

Abdul Rahman dipercayai merujuk kepada kehadiran sebuah kapal penyelidik China, “Da Yang Hao” yang dilaporkan menceroboh kawasan perairan pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia sejak 24 September yang lalu.

Pencerobohan kapal penyelidik China sambil diiringi oleh dua buah kapal pengawal pantai negara itu ke dalam perairan Malaysia berlaku pada hari yang sama pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Amerika Syarikat mengadakan latihan bersama di Selat Melaka.

Pesawat-pesawat TUDM mengadakan latihan PASSEX dengan pesawat B-52 Stratofortress Tentera Udara Amerika Syarikat Pasifik (US PACAF) baru-baru ini. Gambar kredit TUDM

 

Pada 24 Sept itu, pesawat-pesawat TUDM telah melaksanakan latihan bersama sebuah pesawat pengebom B-52 “Stratofortress” di Selat Melaka.

Pesawat-pesawat TUDM yang terlibat dalam latihan PASSEX B-52 itu adalah F/A-18D Hornet, Sukhoi Su-30MKM dan Hawk 208.

Sejak daripada 2013, China mula mengerah kapal-kapal pengawal pantainya serta Tentera Laut China untuk menceroboh perairan EEZ negara terutamanya di sekitar kawasan Beting Patinggi Ali dan James Shoal yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Tahun lepas, Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2018 Siri 3 mendedahkan bahawa kapal-kapal Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLAN) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.

Sebanyak 72 pencerobohan dilakukan oleh kapal-kapal CCG manakala 17 lagi oleh kapal-kapal PLAN.

Ketua Audit Negara juga mengambil maklum kerajaan China tidak menghiraukan nota bantahan berhubung pencerobohan itu.

“Sebanyak lima nota bantahan diplomatik telah dikeluarkan bagi pencerobohan perairan Malaysia di kawasan Laut China Selatan kepada negara China susulan 29 laporan yang dilaporkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sepanjang tahun 2018 hingga 2019.”

Laporan Ketua Audit Negara (KAN) 2018 Siri 3  

Laporan itu berpendapat isu pencerobohan China merupakan perkara serius terhadap kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM).

Malaysia kekal mempertahankan kehadirannya di Beting Patinggi Ali atau dikenali sebagai Luconia Shoals, yang terletak kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri, Sarawak dan kira-kira 2,000km dari tanah besar China.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Beting Patinggi AliLaut China SelatanTLDM
Comments (0)
Add Comment