Kekuatan Udara Bangladesh, Myanmar Lebih Ampuh Berbanding Malaysia?

Menurut laporan terbaharu yang diterbitkan portal Asian Community, Malaysia berada di kedudukan ke-26 di benua Asia manakala di kedudukan ke-60 di peringkat antarabangsa.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tahap kekuatan tentera udara negara Malaysia ketika ini sudah pun ‘dipintas’ oleh banyak negara yang disifatkan jauh terkebelakang daripada segi kekuatan ekonomi berbanding kita di rantau Asia.

Menurut laporan terbaharu yang diterbitkan portal Asian Community, Malaysia berada di kedudukan ke-26 di benua Asia daripada segi kekuatan tentera udaranya manakala di peringkat antarabangsa pula negara berada di tangga ke-60.

Lebih ‘mencuri’ tumpuan ramai netizen adalah apabila kekuatan tentera udara Malaysia adalah di tangga keenam daripada 10 buah negara di Asia Tenggara selepas Thailand, Indonesia, Myanmar, Vietnam, Singapura dan Filipina. Ia adalah antara yang tercorot.

Malahan, beberapa negara lain yang dianggap kurang maju dari segi status ekonominya,  berkemampuan memiliki tentera udara yang jauh lebih keupayaan berbanding Malaysia, menurut portal terbabit.

Antaranya, Afghanistan yang masih lagi bergelut dengan konflik berpanjangan dengan Taliban, yang berada di kedudukan ke-16 di peringkat Asia dan ke-37 di dunia.

Sebuah pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Bangladesh.

 

Manakala bagi Bangladesh, yang dikritik antarabangsa kerana isu penempatan pelarian Rohingya selain faktor kemiskinan penduduknya, kekuatan tentera udaranya gah di posisi ke-23 di Asia dan ke-53 di dunia yang merupakan lebih baik daripada Malaysia.

Asian Community menyenaraikan China masih unggul di benua ini dan di peringkat sejagat, diikuti India, Korea Selatan, Jepun, Pakistan, Korea Utara, Arab Saudi, Taiwan dan Thailand.

Sepuluh negara pula yang paling lemah pertahanan udaranya di Asia ialah Bhutan, disusuli Kyrgizstan, Mongolia, Nepal, Kemboja, Tajikistan, Laos, Lubnan, Turkmenistan dan Sri Lanka.

Kedudukan Malaysia yang agak sederhana itu secara tidak langsung mendedahkan kenapa pesawat tentera China mampu menceroboh ruang udara negara yang dianggap agak rapuh.

Situasi ini jauh berbeza apabila sejumlah jet China cuba ‘melintasi’ Kepulauan Natuna milik Indonesia di Laut China Selatan hampir digempur pesawat pejuang dari negara republik jiran itu.

Tentera Udara Myanmar turur menggunakan pesawat LCA JF-17 Thunder yang dibangunkan oleh China/Pakistan.

 

Portal ini merujuk data terbaharu dikeluarkan laman sesawang berprestij antarabangsa dalam perbandingan kekuatan ketenteraan, Global Firepower yang berpusat di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, jika diambil kira kesemua pesawat yang dikendalikan tentera udara, laut dan darat, kedudukan Malaysia dalam indeks tersebut ialah ke-61 di dunia daripada 147 negara.

Laman tersebut melaporkan Malaysia ketika ini hanya ada 147 pesawat termasuk 26 jet gempur, 42 helikopter, 40 kapal terbang latihan, 18 pesawat pengangkut dan 13 jet penyerang.

-DEFENCE SECURITY ASIA/UTUSAN ONLINE

Asian CommunityBangladehMalaysiaMyanmarTentera Udara