Keadaan Semulajadi Laut Bali Menyukarkan Usaha Mencari Kapal Selam, KRI Nanggala

Menurut pakar,  Laut Bali itu berkeluasan 45,000 km dengan kedalaman maksimum dasar laut itu mencecah hampir 1,600 meter (5,300 kaki).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laut Bali dimana kapal selam Indonesia “KRI Nanggala”  hilang bersama-sama 53 anak kapalnya tanpa kesan sehingga kini, memiliki banyak “curam-curam dasar laut amat ekstrim”, yang menyukarkan mana-mana usaha pencarian objek di dasar laut.

Menurut pakar,  Laut Bali itu berkeluasan 45,000 km dengan kedalaman maksimum dasar laut itu mencecah hampir 1,600 meter (5,300 kaki).

Mengikut The International Hydrographic Organisation, Laut Bali adalah sebahagian daripada Lautan Hindi.

Usaha mencari dan menyelamat KRI Nanggala itu berhadapan dengan keadaan semula jadi Laut Bali itu yang begitu sukar untuk mana-mana pasukan penyelamat.

Ini ditambah pula bekalan oksigen KRI Nanggala yang hanya mencukupi sehingga 3 pagi tadi.

Mengikut beberapa laporan media, kapal selam KRI Nanggala mungkin terdampar di “curam” (trench) dengan kedalaman di antara 2,000 hingga 3,000 kaki (600-700 meter), sekaligus menyukarkan lagi usaha mencarinya oleh pasukan-pasukan penyelamat.

Pihak berkuasa Indonesia mengatakan terdapat kemungkinan kapal selam itu “mengalami kemalangan” sehingga menyebabkan ia telah kehilangan kuasa dan “jatuh” ke dalam gaung dasar laut dengan kedalaman yang dianggarkan di antara 600 hingga 700 meter.

Jika benar ia telah jatuh di kedalaman 600 hingga 700 di dalam dasar laut, maka kemungkinan besar kapal selam itu telah “ruptures” (pecah/retak) pada bahagian badannya (hull) dan menyukarkan lagi anak-anak kapal untuk hidup, kata pakar Indonesia, Connie Rahakundini Bakrie kepada agensi berita Reuters.

Jurucakap TNI-AL Julius Widjojono berkata, kapal selam KRI Nanggala itu mampu pergi sedalam 500 meter tetapi selepas daripada tahap kedalaman itu ia boleh memusnahkan KRI Nanggala dan membunuh anak-anak kapalnya.

Di dalam kedalaman yang terlalu ekstrim itu juga bakal membuatkan peralatan khas “Deep Submergence Rescue Vehicle” (DSRV) gagal berfungsi, sekaligus tidak menjamin usaha mencari dan menyelamat kapal selam konvensional seperti KRI Nanggala akan berhasil.

Pakar dasar laut berkata, pada kedalaman yang terlalu ekstrim itu kuasa tekanan dasar laut itu sahaja boleh memecahkan badan kapal selam, apatah lagi manusia.

Tidak ada manusia yang boleh survive dalam kedalaman dasar laut yang terlalu ekstrim itu.

“Kebanyakkan sistem menyelamat (kapal selam) hanya mampu beroperasi sehingga 600 meter (1,970 kaki),”kata setiausaha Institut Kapal Selam Australia Frank Owen kepada akhbar The Guardian awal minggu lalu.

Walaupun alatan seperti DSRV itu boleh pergi lebih dalam daripada 600 meter, tetapi alatan lain pada kenderaan itu seperti pam dan sistem-sistem lain mungkin tidak dapat berfungsi di bawah kuasa tekanan dasar laut yang amat dahsyat.

Apa yang terjadi katanya, adalah kenderaan DSRV itu tidak akan mampu menjalankan tugasnya dengan berkesan.

Apapun kita mengharapkan yang terbaik pada pasukan-pasukan penyelamat dan mereka dapat menemui KRI Nanggala dan menyelamatkan kesemua anak kapalnya.

Pada ketika ini, Indonesia telah mengerahkan 21 buah kapal pelbagai agensi dalam misi SAR itu termasuk kapal selam kelas-Nagapasa, KRI Alugoro yang terlibat.

– DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

DSRVIndonesiaKRI AlugoroKRI NanggalaLaut Bali