Sistem Peluru Berpandu Anti-Kereta Kebal “KARAOK” Jadi Pilihan

Sumber industri mengesahkan kepada Defence Security Asia bahawa Lembaga Perolehan Angkatan Tentera Malaysia yang bermesyuarat minggu lepas berkemungkinan memutuskan untuk memperolehi sistem anti-kereta kebal “Fire and Forget” (Tembak dan Lupa) buatan Turkiye itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sistem peluru berpandu jarak dekat anti-kereta kebal “ KARAOK” dibangunkan oleh syarikat pertahanan terkenal Turkiye, ROKETSAN, disahkan menjadi pilihan Tentera Darat Malaysia untuk menggantikan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak dekat “Metis-M” buatan Russia yang digunakan sebelum ini.

Sistem man-portable “KARAOK” ini dikatakan hampir menyamai sistem peluru berpandu anti-kereta kebal “Javelin” buatan Amerika Syarikat.

Sumber industri mengesahkan kepada Defence Security Asia bahawa Lembaga Perolehan Angkatan Tentera Malaysia yang bermesyuarat minggu lepas berkemungkinan memutuskan untuk memperolehi sistem anti-kereta kebal “Fire and Forget” (Tembak dan Lupa) buatan Turkiye itu.

Ia juga secara tidak langsung mengesahkan laporan sebelum ini tentang pemilihan “KARAOK” itu untuk memenuhi keperluan Tentera Darat Malaysia.

Sumber Defence Security Asia juga menyatakan bahawa disebabkan peruntukan kewangan yang terhad, maka bilangan pelancar dan peluru berpandu yang akan diperolehi untuk fasa perolehan pertama adalah terhad.

Fasa pertama perolehan “KARAOK” hanya 18 unit pelancar, dengan perolehan setiap pelancar disusuli dengan perolehan enam butir peluru berpandu sistem itu.

Mengenai spesifikasi teknikal peluru berpandu anti-kereta kebal keluaran ROKETSAN itu, “KARAOK” adalah adalah sistem mudah alih (portable) yang berkesan untuk digunakan pada waktu siang dan malam dengan kelengkapan Imaging Infrared Seeker.

Ia mempunyai kaliber 125mm dan berkeupayaan membedil sasaran sejauh 2.5km secara “Fire and Forget.”

Berat keseluruhan sistem itu adalah 16kg.

 

Peluru berpandu anti-kereta kebal buatan syarikat Turkiye itu menggunaakan kaedah serangan secara langsung (direct attack) atau serangan bahagian atas (Top Attack) kereta kebal yang mempunyai ketebalan armor paling tipis.

Kaedah “Top Attack” itu memastikan “KARAOK” berkemampuan memusnahkan hampir kesemua kereta kebal utama yang beroperasi pada ketika ini.

Peluru berpandu sistem “KARAOK” itu dilengkapi dengan kepala peledak “armour piercing tandem.”  

Selain Tentera Darat Malaysia, sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak dekat “KARAOK” turut digunakan oleh Angkatan Tentera Turkiye.

Minat syarikat ROKETSAN untuk membekalkan sistem peluru berpandu anti-kereta kebal jarak dekat “KARAOK” kepada Angkatan Tentera Malaysia telah pun disuarakannya kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang melawat Turkiye pada tahun lepas.

Pada pertemuan dengan wartawan Malaysia itu, pegawai kanan ROKETSAN juga menyatakan minat gergasi pertahanan Turkiye itu untuk membekalkan peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Peluang ROKETSAN untuk membekalkan peluru berpandu anti-kapal “ATMACA” kepada TLDM berkemungkinan besar akan tercapai sekiranya TLDM memilih Turkiye sebagai pembekal kapal-kapal Littoral Mission Ship (LMS) Batch 2 yang bakal dimilikinya tidak lama lagi. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKARAOKPeluru berpanduRoketsanTurkiye
Comments (0)
Add Comment