Kapal Selam Type 218SG S’pura Pastikan Laluan Perdagangan Bebas Dari Ancaman

Keselamatan laluan-laluan perdagangan (Sea Lines Of Communication) itu adalah amat penting untuk survival Singapura, supaya ia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai hab perdagangan maritim di rantau Asia Pasifik dan kemakmurannya.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun Singapura hanya sebuah negara pulau yang kecil dan amat bergantung kepada perdagangan, tetapi ia tidak menghalang republik itu untuk berbelanja besar terhadap sektor pertahanan.

Republik di selatan Johor itu mengeluarkan belanja yang besar setiap tahun, terutamanya untuk memastikan ia berkemampuan menjamin keselamatan laluan-laluan perdagangan yang penting untuk survivalbilitinya,  sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan.

Keselamatan laluan-laluan perdagangan (Sea Lines Of Communication) itu adalah amat penting untuk survival Singapura, supaya ia mampu mengekalkan kedudukannya sebagai hab perdagangan maritim di rantau Asia Pasifik dan kemakmurannya.

Laluan-laluan perdagangan itu perlu selamat daripada segala ancaman.

Aset-aset pertahanan Singapura bersedia untuk dikerah jauh daripada republik itu dan sekiranya perlu, mesti bersedia untuk “mengangkat senjata” dalam memastikan laluan maritim itu sentiasa selamat untuk dilayari oleh kapal-kapal komersial.

Sebab itulah negara pulau itu “tidak berfikir dua kali” untuk mengeluarkan belanja besar bagi ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya.

Tahun ini, Angkatan Tentera Singapura diperuntukkan sebanyak S$17.98 bilion (RM59.29 bilion), yang merupakan peningkatan berbanding S$16.36 bilion (RM53.94 bilion) peruntukan pertahanan yang diterimanya tahun lepas.

Kapal selam adalah antara aset penting Singapura dalam memastikan laluan-laluan perdagangan kekal bebas dan selamat untuk dilayari.

Beberapa bulan lepas, Parlimen Singapura buat pertama kalinya telah diberitahu bahawa republik itu telah berbelanja sebanyak US$1.8 bilion (RM7.2 bilion) untuk membeli empat buah kapal selam buatan Jerman.

Pada Disember tahun lepas, Tentera Laut Singapura telah melancarkan dua buah lagi kapal selam kelas-Invincible Type 218SG yang dibina oleh syarikat Thyssenkrupp Marine Systems (TKMS).

Dinamakan “Impeccable” dan “Illustrious”, ia adalah kapal selam kedua dan ketiga daripada empat buah kapal selam Type 218SG yang dibina oleh TKMS untuk Tentera Laut Singapura.

Kapal selam kelas-Invincible Type 218SG yang pertama dinamakan “Invicible” telah dilancarkan pada 2019.

Ketiga-ketiga kapal selam kelas-Invincible Type 218SG milik Tentera Laut Singapura dijangka diserahkan kepada republik itu tahun 2023 manakala kapal selam keempat dinamakan “Inimitable” masih di dalam pembinaan di Kiel, Jerman.

Walaupun keempat-empat kapal selam Type 218SG Singapura itu dibina di Jerman oleh syarikat Jerman, tetapi spesifikasinya adalah mengikut acuan republik itu sendiri.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong yang hadir di Kiel Disember tahun lepas itu untuk menyaksikan pelancaran kedua-dua kapal selam Type 218SG milik republik itu berkata, sebagai sebuah negara maritim,kapal selam dimiliki tentera lautnya membantu negara itu dalam memastikan laluan perdagangannya bebas untuk kemudahan keluar masuk barangan.

Singapura menurutnya, amat bergantung kepada kebebasan keluar masuk barang bagi memastikan kemakmuran dan survival republik itu.

Dengan berat kira-kira 2,200 tan, kapal selam kelas-Invicible Type 218SG Singapura itu boleh beroperasi 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam sedia ada dimiliki oleh republik itu, selain dilengkapi dengan sistem persenjataan dan sensor yang jauh lebih baik.  

Kemasukan empat buah kapal selam terbaru itu bakal melonjakkan lagi kemampuan bawah laut Tentera Laut Singapura ke tahap yang lebih tinggi, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai yang diperolehinya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.

Kapal selam Singapura ini memiliki lapan corong torpedo yang bukan sahaja boleh melancarkan torpedo berkaliber 533mm tetapi juga peluru berpandu anti kapal.

Ia juga akan dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP) menggunakan teknologi Fuel Cell yang membolehkan kapal selam itu menyelam 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang lain.

Sistem kombatnya pula direkabentuk oleh Atlas Elektronik dan ST Elektronics. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKapal SelamKielTKMSType 218SG
Comments (0)
Add Comment