Melihat Lebih Dekat Kapal Selam Negara, KD Tunku Abdul Rahman Di LIMA ’23

Defence Security Asia pernah menulis artikel tentang bagaimana Angkatan Kapal Selam TLDM telah menerima banyak tawaran dan permohonan daripada tentera-tentera laut negara asing untuk mengadakan latihan dengan kapal-kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri milik negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pengunjung ke segmen maritim Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA ’23) bermula Selasa ini sehingga 27 Mei, berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat kapal selam pertama milik negara, KD Tunku Abdul Rahman.

Kehadiran KD Tunku Abdul Rahman pada LIMA ’23 itu disahkan oleh Kementerian Pertahanan menerusi kenyataan media sosialnya hari ini.

Kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada jenis “Scorpene” yang dibangunkan oleh syarikat Naval Group (dahulu dikenali sebagai DCN), itu merupakan kapal selam diesel-elektrik penyerang berkeupayaan tinggi.

KD Tunku Abdul Rahman dan helikopter Fennec (TLDM.)

 

Hanya Malaysia menggunakan kapal selam Scorpene di Asia Tenggara.

Ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 2009, KD Tunku Abdul Rahman dan sebuah lagi kapal selam milik negara, KD Tun Abdul Razak daripada jenis yang sama berkemampuan membawa peluru berpandu lancaran kapal selam Exocet SM39, torpedo Black Shark dan periuk api.

Malaysia menandatangani perjanjian perolehan dua buah kapal selam Scorpene bernilai lebih daripada Euro 1 bilion pada 2002.

Keupayaaan kapal selam Scorpene milik TLDM dan kemahiran krew kapal selam negara sememangnya diperakui oleh negara-negara luar.

Defence Security Asia pernah menulis artikel mengenai bagaimana Angkatan Kapal Selam TLDM telah menerima banyak tawaran dan permohonan daripada tentera-tentera laut negara asing yang mahu mengadakan latihan dengan kapal-kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri milik negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

KD Tun Razak (paling dekat) dengan HMAS Collins. (RMN Subs)

 

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM pada ketika itu, Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir pernah berkata dalam satu temuramah dengan media tempatan bahawa  tawaran daripada negara-negara luar untuk mengadakan latihan bersama dengan dua buah kapal selam negara itu berkemungkinan kerana mereka “teruja” untuk berlatih dengan kapal selam “Scorpene” dimiliki oleh TLDM.

Ini kerana katanya, tidak banyak negara di dunia memiliki dan mengoperasi kapal selam “Scorpene”.

Hanya empat buah negara di seluruh dunia mengoperasi kapal selam “Scorpene” yang dibina oleh firma Naval Group.

Selain Malaysia, tentera laut negara lain yang menggunakan kapal selam Scorpene adalah India, Brazil dan Chile.

“Dalam tempoh 12 tahun operasi kapal selam ini, terdapat banyak tawaran yang diterima (oleh TLDM) daripada negara-negara luar, permohonan untuk menghantar kapal selam mereka ke perairan negara kita dan melaksanakan latihan dengan kapal selam kita.”

Gambar pelancaran peluru berpandu SM-39 oleh kapal selam TLDM beberapa tahun lepas. (gambar fail)

 

“Kita sedia maklum bahawa kapal selam Scorpene ini tidak banyak di dalam dunia, hanya empat buah negara yang mengoperasikannya dan dirantau kita hanya Malaysia (mengoperasikannya). Jadi mereka begitu excited untuk melaksanakan latihan (kapal selam) dengan kita,” kata Mohd Razib dalam wawancara bersama sebuah akhbar tempatan yang disiarkan menerusi You Tube dan Facebook.

Sementara itu kenyataan daripada Kementerian Pertahanan hari ini juga menyatakan bahawa sebanyak 17 kapal TLDM yang lain akan turut bersama-sama mengambil bahagian di segmen maritim LIMA’ 23 pada kali ini.

Kapal-kapal itu adalah KD Mahawangsa, KD Lekiu, KD Perak, KD Gagah Samudera, KD Keris, KD Mahamiru, KD Todak, KD Teguh Samudera, KD Selangor, KD Sri Indera Sakti, KD Laksamana Hang Nadim, KD Terengganu, KD Lekir, KD Rencong, KD Serang, KD Perkasa dan MV Mega Bakti.

“Kontinjen TLDM kali ini merupakan kontinjen terbesar mewakili Malaysia yang keseluruhannya membariskan 23 buah kapal pelbagai kelas.”

“Selain TLDM, agensi lain dalam negara yang turut terlibat adalah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (KM Bagan Datuk, KM Pekan, KM Arau, KM Marlin dan KM Perwira) Jabatan Laut Negara (MV Discovery dan Polaris) serta Polis Marin (PT2),” menurut kenyataan.

Kesan bedilan daripada torpedo Black Shark yang dilancar oleh kapal selam TLDM.

 

Selain itu, segmen maritim LIMA’ 23 turut melibatkan 14 buah kapal dari 12 negara luar iaitu Amerika Syarikat (USS Mobile), China (CNS Zhanjiang), India (INS Karavatti) , Italy (ITS Francesco Morosini), Japan (JS Kumano), Pakistan (PNS Shah Jahan), South Korea (ROKS No Jeok Bong), Singapore (RSS Steadfast), Brunei (KDB Darulehsan), Indonesia (KRI Golok, KRI Halasan, KRI Kerambit), Thailand (HTMS Prachuap Khiri Khan) dan Vietnam (VPNS 20).

Kawad Senyap (TLDM) dan demonstrasi bot kecil (Pasukan Khas) akan turut dipersembahkan di jeti kepada pelawat yang hadir. Manakala, helikopter milik TLDM iaitu Super Lyynx turut akan dipamerkan secara statik di sana.

Segmen maritim LIMA’ 23 akan dibuka kepada pelawat awam bermula 23 Mei hingga 27 Mei secara percuma. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

featuredKapal SelamNaval GroupScorpeneTLDMTunku Abdul Rahman
Comments (0)
Add Comment