Lima Buah Kapal Selam Type 218SG Singapura, Paling Moden dan Berkeupayaan Di Rantau?

Memandangkan Singapura terletak di dua laluan perdagangan terpenting dunia iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan, maka kapal-kapal selam miliknya itu akan memastikan laluan perdagangan dunia sentiasa "open for business" untuk terus digunakan bukan sahaja untuk republik itu tetapi juga rakan-rakan dagangnya di seluruh dunia.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini media Jerman telah mendedahkan bahawa jiran selatan kita, Singapura telah menambah perolehan sebuah lagi kapal selam Type 218SG  yang dibangunkan oleh  Thyssenkrupp Marine Systems Shipyard (TKMS), menjadikan keseluruhan kapal selam Type 218SG yang bakal dioperasikan oleh tentera lautnya kepada lima buah.

Kapal selam Type 218SG tentera laut republik itu yang pertama itu telah pun dinamakan “RSS Invincible”, dan bagi penganalisis kapal selam serantau, kapal selam terbaru milik Singapura itu  merupakan aset bawah permukaan air yang  paling moden, paling besar daripada segi saiznya dan berkeupayaan di Asia Tenggara.

Rekabentuk kapal selam terbaru Singapura  yang direkabentuk khusus untuk republik  itu dikatakan hampir sama dengan kapal selam Dolphin-2 Tentera Laut Israel (berkemungkinan sistem sensor dan lain juga adalah sama).

Dengan berat kira-kira 2,200 tan, kapal selam terbaru Singapura itu, “RSS Invincible” boleh beroperasi 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang kini dimiliki oleh republik itu, selain dilengkapi dengan sistem persenjataan dan sensor yang jauh lebih baik.

Pada ketika ini, kapal selam RSS Invincible yang telah pun dilancarkan pada 2019, kini sedang menjalani ujiannya di laut sebelum diserahkan secara rasmi kepada Tentera Laut Singapura pada tahun ini, menjadikannya kapal selam Type 218SG yang pertama diterimanya daripada lima dipesan.

Kapal selam terbaru Singapura,”RSS Invincible” di Limbungan kapal di Kiel, Jerman.

 

Tiga lagi kapal selam terbaru Singapura daripada jenis Type 218SG iaitu Impeccable, Illustrious dan Inimitable iaitu “adik-adik” kepada RSS Invincible juga sedang dibina di Limbungan Kapal TKMS di Kiel, Jerman pada ketika ini.

Kapal selam kelima Type 218SG yang diperolehi Singapura pada hari-hari akhir pemerintah Canselor Jerman Angela Merkel belum lagi dinamakan atau dimaklumkan tentang tarikh penghantarannya kepada republik.

Ketiga-tiga kapal selam Singapura, selepas RSS Invincible itu dijangka memasuki perkhidmatan tentera laut Singapura bermula pada tahun 2024-2025 dan seterusnya,.

Kemasukan RSS Invincible dan “tiga beradiknya yang lain” bakal melonjakkan kemampuan bawah permukaan Tentera Laut Singapura ke tahap yang lebih tinggi, yang selama ini mempertaruhkan kapal-kapal selam terpakai yang diperolehinya iaitu daripada kelas-Archer dan kelas-Challenger.

Tidak dapat dinafikan angkatan kapal selam Singapura dengan kemasukkan RSS Invincible dan empat adik-beradiknya yang lain adalah yang paling ampuh dan berkeupayaan di rantau ini.

Menteri Pertahanannya Dr Ng Eng Hen dilaporkan berkata bahawa memandangkan tentera-tentera laut India, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia sedang berusaha untuk membesarkan lagi angkatan kapal selamnya, maka, tindakan Singapura memperolehi empat buah kapal selam Type 218SG (kini lima buah) daripada Jerman adalah “langkah yang tepat.”

Myanmar sebagaimana dilaporkan oleh admin semalam juga telah mempunyai dua buah kapal selam, walaupun ianya “dihadiahkan” oleh China dan India.

Katanya, memandangkan Singapura terletak di dua laluan perdagangan terpenting dunia iaitu Selat Melaka dan Laut China Selatan, maka kapal-kapal selam miliknya itu akan memastikan laluan perdagangan dunia itu terus boleh digunakan bukan sahaja untuk republik itu tetapi juga seluruh dunia.

Daripada kenyataan Menteri Pertahanan Singapura itu, kita dapat meneka bahawa kapal-kapal selam terbaru Singapura itu akan menjadikan Laut China Selatan dan Selat Melaka sebagai “their playground” di mana mereka akan beroperasi untuk memastikan Sea Line of Communication (SLOC) itu sentiasa “open for business.”

Doktrin pertahanan Singapura sentiasa menitikberatkan laluan maritim perdagangan kerana ia adalah faktor yang teramat penting bagi survivabiliti-nya sebaga sebuah negara yang bergantung kepada kelicinan perdagangan dunia dan tenteranya akan sentiasa laluan maritim perdagangan itu bebas daripada segala ancaman.

Kapal selam “Dolphin” Tentera Laut Israel

Satu lagi yang menarik tentang kapal selam Type 218SG Tentera Laut Singapura ini adalah ia direkabentuk khas untuk membolehkan ia beroperasi dengan penuh berkesan di laut-laut yang cetek dan sibuk dengan kapal-kapal komersial, sebagaimana yang terdapat di perairan di sekitar rantau Asia Tenggara yang sememangnya sibuk dengan laluan maritim perdagangan.

“Antara ciri-ciri utama rekabentuk kapal selam terbaru Singapura ini adalah kemampuannya untuk melaksanakan misi pasukan khas,” menurut pakar kapal selam, H I Sutton di dalam portal berita pertahanan, Navalnews.com

Beliau merujuk kepada sistem Horizontal Multi Purpose Airlock yang boleh melancarkan torpedo, penyelam dan pasukan-pasukan khusus (komando) kerana antara tugasnya utama yang digariskannya bakal dilaksanakan oleh kapal selam itu adalah menangani ancaman kumpulan-kumpulan pengganas.

Kapal selam Singapura itu juga dikatanya mempunyai opsyen untuk dilengkapkan dengan Vertical  Multi Purpose Airlock bagi melancarkan peluru berpandu secara menegak, dengan ada penganalisis mengatakan Singapura sedang mempersiapkan tentera lautnya untuk mengoperasikan peluru berpandu kruis “Tomahawk” sekiranya diperlukan.

Walaupun begitu, buat masa ini kapal-kapal selam terbaru Singapura itu berkemungkinan besar akan dilengkapkan dengan peluru berpandu “Harpoon.”

Kesemua kapal selam terbaru Singapura itu mempunyai berat 2,000-2,200 tan (apabila di bawah permukaan) dan kelajuan 15 knot.

Ia memiliki panjang 70 meter dan lebar lebih 6 meter.

Kapal selam Singapura ini memiliki lapan corong torpedo yang bukan sahaja boleh melancarkan torpedo berkaliber 533mm tetapi juga peluru berpandu anti kapal.

Ia juga akan dilengkapi dengan Air Independent Propulsion (AIP) menggunakan teknologi Fuel Cell yang membolehkan kapal selam itu menyelam 50 peratus lebih lama berbanding kapal-kapal selam yang lain.

Sistem kombatnya pula direkabentuk oleh Atlas Elektronik dan ST Elektronics.

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

featuredKapal SelamSingapuraTKMSType 218SG