TLDM Perlu Tambah Bilangan Kapal Selam Dimilikinya, Dua Buah “Tidak Cukup”

Dengan hanya dua buah kapal selam untuk mengawasi kawasan perairan negara yang amat luas, maka salah satu cabaran yang tidak dapat dinafikan amat kritikal melibatkan usaha untuk mencapai “hari pengoperasian (di laut) yang tinggi”.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada ketika ini, Angkatan Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya mengoperasikan dua buah kapal selam jenis “Scorpene” kelas-Perdana Menteri, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.

Dengan hanya dua buah kapal selam untuk mengawasi kawasan perairan negara yang amat luas, maka salah satu cabaran yang tidak dapat dinafikan amat kritikal melibatkan usaha untuk mencapai “hari pengoperasian (di laut) yang tinggi”, terutamanya apabila kapal-kapal selam negara itu terpaksa melalui tempoh senggaraan (maintenance) yang panjang.

Ini diakui sendiri oleh Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM itu sendiri Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir dalam wawancara bersama Sinar Harian yang disiarkan menerusi You Tube dan Facebook baru-baru ini.

“Pengoperasian dan senggaraan menjadi cabaran kepada kita yang memerlukan kita ‘tackle’ dengan hati-hati supaya supaya kita dapat mencapai hari pengoperasian kapal selam di laut yang tinggi.”

“Jadi dengan dua buah kapal selam, (adalah) agak sukar untuk kita mencapai jumlah hari pengoperasian (di laut) yang tinggi, tetapi setakat ini, Alhamdulillah dengan bantuan rakan-rakan TLDM dan kerajaan telah dapat membantu kita mencapai satu jumlah hari pengoperasian (di laut) yang boleh dikatakan amat baik.”

— Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir

Kapal selam “Scorpene” Tentera Laut Diraja Malaysia.

 

Senggaran kapal-kapal selam negara perlu dilakukan dengan strict untuk memastikan aset strategik negara itu berada di dalam keadaan terbaik ketika bertugas.

Beliau berkata, kemudahan yang disediakan oleh kerajaan di Pangkalan Kota Kinabalu, dimana kedua-dua kapal selam negara ditempatkan, dapat membantu dalam menyediakan warga kapal selam pada tahap yang baik untuk mengoeprasikan kapal selam dengan berkesan dan capai proficiency.

Sudah 12 tahun negara mengoperasi kapal selam “Scorpene” yang dibangunkan oleh firma DCN daripada Perancis dan Navantia daripada Sepanyol.

Hanya TLDM sahaja mengoperasikan kapal selam “Scorpene”di rantau ini.

Usaha TLDM untuk menambah pegangan kapal selam kepada bilangan yang ideal iaitu empat buah nampaknya terpaksa menunggu masa yang lebih lama. (mungkin kerana faktor kewangan kerajaan kerana Kementerian Pertahanan juga mempunyai senarai “shopping list” aset-aset lain yang panjang.)

Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd. Reza Mohd. Sany dalam satu temuramah dengan media tempatan April lepas berkata bahawa ia telah merangka pelan pembangunan peningkatan keupayaan pertahanan perkhidmatan itu.

Torpedo Black Shark yang melengkapi kapal selam TLDM

 

Antara aset utama yang akan diberi fokus termasuk 14 kapal jenis Littoral Mission Ship (LMS), tiga kapal Multi Role Support Ship (MRSS), 11 kapal New Generation Patrol Vessel (NGPV) dan dua kapal selam, katanya.

Dengan kenyataan itu, nyatalah bahawa tambahan dua lagi kapal selam itu akan hanya direalisasikan di dalam tempoh 10 hingga 15 tahun ini.

Sementara menunggu 10 hingga 15 tahun itu,  Angkatan Kapal Selam TLDM terpaksa “memerah otak” tentang cara-cara untuk mengoptimumkan jumlah hari pengoperasian di laut dengan dua buah kapal selam sedia ada.

Bagaimanapun dengan keadaan di Laut China Selatan yang semakin meruncing setiap hari dengan tindakan agresif Beijing dalam menuntut sebahagian besar perairan itu sebagai miliknya,  admin berharap penambahan lebih banyak kapal selam untuk TLDM dapat dipercepatkan.

Tidak perlu menunggu sehingga 10 hingga 15 tahun.

Lagipun dalam tempoh 12 tahun sejak kita meneriam dua buah kapal selam “Scorpene”, TLDM telah menimba pengalaman dan pengetahuan yang mencukupi di dalam aspek pengendalian operasi kapal selam, sekaligus  melahirkan ramai krew-krew kapal selam yang amat berkebolehan, kompeten dan profisien.

Diakui, krew-krew kapal selam kita adalah antara yang terbaik di dunia.

Masanya telah tiba untuk kita menambah bilangan kapal selam kita dan masanya adalah sekarang.

— DEFENCE SECURITY ASIA

Kapal SelamScorpeneTLDM
Comments (0)
Add Comment