Kapal Perisik Terbaharu China Liaowang-1 Mula Ujian Pelayaran di Laut

Kapal perisik terbaharu China yang dilengkapi dengan pelbagai sistem radar dan peralatan elektronik itu dibina khusus untuk menjalankan pemantauan terhadap pergerakan satelit, pelancaran roket serta ujian peluru berpandu.
Kapal Perisik Terbaharu China Liaowang-1 Mula Ujian Pelayaran di Laut
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal perisik terbaharu Tentera Laut China (People’s Liberation Army Navy, PLAN) yang dikenali, Liaowang-1 seberat 30,000 tan telah memulakan ujian pelayaran laut.
Kapal perisik terbaharu China yang dilengkapi dengan pelbagai sistem radar dan peralatan elektronik itu dibina khusus untuk menjalankan pemantauan terhadap pergerakan satelit, pelancaran roket serta ujian peluru berpandu.

Kapal perisik Liaowang-1 akan berfungsi sebagai pusat arahan bergerak di lautan terutamanya bagi kawasan-kawasan yang tidak dapat diliputi oleh sistem radar di darat, sekali gus meningkatkan keupayaan China untuk mengesan dan bertindak terhadap satelit serta peluru berpandu di luar kawasan perairannya.

Beberapa gambar yang memaparkan ujian pelayaran atau penugasan kapal perisik baharu China ini telah tersebar di platform media-media sosial China.
Kapal ini dijangka akan menggantikan kapal kelas Yuan Wang milik China yang telah berkhidmat sejak tahun 1977.
Nama kapal tersebut, Liaowang-1, membawa maksud “Pemerhati-1” dalam bahasa Inggeris.
Ia direka bentuk dan dibina oleh China State Shipbuilding Corporation (CSSC), sebuah konglomerat milik kerajaan yang bertanggungjawab ke atas sebahagian besar industri pembinaan kapal negara itu, termasuk kapal perang, kapal penyelidikan dan kapal-kapal khas.
Liaowang-1
Kapal perisik terbarau China Liaowang-1
Kapal ini dilengkapi dengan sekurang-kurangnya lima kubah (radome) radar yang dapat dilihat jelas, terdiri daripada gabungan radar jarak dekat dan jarak jauh.
Ia turut mempunyai beberapa antena berkeupayaan tinggi untuk komunikasi dan pemantauan yang lebih tepat.
Liaowang-1 telah diperkenalkan secara rasmi pada penghujung tahun 2023 dan sejak itu telah menarik perhatian penganalisis ketenteraan antarabangsa.
Walaupun secara rasmi diklasifikasikan sebagai “kapal pengawasan”, peranannya sebenarnya jauh lebih kompleks.
Kerumitan ini berpunca daripada penggunaan pelbagai sistem penderia canggih, radar, serta antena radio dan satelit yang dipasang di atas kapal, termasuk struktur radome yang menyerupai reka bentuk kapal perisikan isyarat (SIGINT) milik Amerika Syarikat.
Tentera Laut China (PLAN) melihat Liaowang-1 sebagai pusat arahan bergerak yang mampu memantau peluru berpandu, kapal angkasa dan satelit.
Liaowang-1
Berbeza dengan stesen pemantauan di darat yang terhad oleh bentuk muka bumi dan lengkungan bumi, kapal ini boleh digerakkan ke mana-mana lokasi di lautan luas.
Keupayaan ini membolehkan PLAN memantau laluan pelancaran, orbit satelit serta pergerakan peluru berpandu secara masa nyata.
Pergerakan kapal ini memberi kelebihan strategik kepada China, lebih-lebih lagi apabila sistem berpangkalan di angkasa kini menjadi elemen penting dalam peperangan moden.
Selain berfungsi sebagai pusat pemantauan satelit, kapal ini juga berupaya bertindak sebagai sistem pertahanan udara bagi mengesan dan memintas ancaman satelit serta peluru berpandu yang berpotensi.
Liaowang-1 dilaporkan mempunyai berat melebihi 30,000 tan, iaitu hampir 50 peratus lebih berat berbanding kapal kelas Yuan Wang seperti Yuan Wang 7 yang seberat kira-kira 21,000 tan.
Kapal baharu ini memiliki panjang 734 kaki (224 meter) dan lebar 104 kaki (32 meter).
Dengan saiz dan kapasiti yang lebih besar, kapal ini dijangka mampu beroperasi dalam tempoh yang lebih lama serta meliputi jarak operasi yang lebih jauh.
Selain itu, Liaowang-1 ini turut dilengkapi dengan tapak pendaratan helikopter yang sesuai untuk helikopter bersaiz sederhana, membolehkan ia mengendalikan operasi helikopter jenis Z-9 atau Z-20.
Minotaur-1
Tentera Laut China (PLAN) telah mengerahkan kapal perisik terbarunya untuk memulakan ujian pelayaran pada ketika Amerika Syarikat sedang giat memperkukuh kehadirannya di angkasa dengan pelancaran satelit perisikan baharu.
Pada 16 April lalu, Tentera Udara Amerika Syarikat telah melancarkan roket Minotaur dari California, yang merupakan pelancaran pertama roket itu dalam tempoh hampir 14 tahun.
Roket empat peringkat Minotaur 4 itu membawa misi NROL-174 untuk Pejabat Perisikan Kebangsaan (National Reconnaissance Office), dengan matlamat utama meletakkan satelit perisikan Amerika di orbit.
Difahamkan, menjelang akhir tahun 2025, pihak tentera Amerika menjangkakan sebanyak 160 satelit akan berada di orbit, dengan sebahagian besarnya berperanan membentuk jaringan sambungan global merentasi pelbagai wilayah.
— DEFENCE SECURITY ASIA

ChinaKapal PerisikLiaowang-1
Comments (0)
Add Comment