Kapal Perang Amerika Kehilangan Sebuah F/A-18E Super Hornet Ketika Cuba Elak Peluru Berpandu Houthi
Menurut kenyataan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, manuver yang agresif oleh kapal pengangkut pesawat itu ketika ia cuba mengelak bedilan peluru berpandu Houthi telah menyebabkan pesawat pejuang Super Hornet itu terjatuh ke dalam laut.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Amerika Syarikat kehilangan sebuah pesawat pejuang F/A-18 E/F Super Hornet miliknya selepas ia terjatuh daripada kapal pengangkut pesawat USS Harry S.Truman ketika ia cuba mengelak daripada terkena bedilan peluru berpandu kumpulan bersenjata Houthi.
Menurut kenyataan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat, manuver yang agresif oleh kapal pengangkut pesawat itu ketika ia cuba mengelak bedilan peluru berpandu Houthi telah menyebabkan pesawat pejuang Super Hornet itu terjatuh ke dalam laut.
Seorang krew kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu dilaporkan mengalami kecederaan ringan selepas terjun ke dalam laut.
“Pesawat F/A-18E (Super Hornet) itu sedang ditunda di dalam hangar apabila krew penunda kehilangan kawalan ke atas pesawat tersebut. Pesawat berkenaan bersama kenderaan penunda telah terjatuh ke laut.”
“Anggota tentera laut yang sedang menunda pesawat itu bertindak pantas mengelak dan menjauhkan diri sebelum pesawat tersebut terjatuh ke dalam laut. Siasatan kini sedang dijalankan,” menurut kenyataan terbabit.
Insiden ini menandakan kehilangan kedua pesawat Super Hornet dari kapal Truman dalam tempoh enam bulan, selepas kejadian terdahulu pada Disember 2024 apabila sebuah pesawat pejuang Super Hornet ditembak secara tidak sengaja oleh kapal pengiring USS Gettysburg.
Seorang pegawai tentera laut Amerika Syarikat mengesahkan kepada stesen televisyen terkenal negara itu, CNN bahawa pesawat pejuang Super Hornet dianggarkan bernilai US$60 juta (RM264 juta) yang terjatuh ke dalam laut itu telah tenggelam ke dasar laut.
Pesawat pejuang itu adalah sebahagian daripada Strike Fighter Squadron 136.
Kapal pengangkut pesawat USS Truman telah berada di Timur Tengah sejak beberapa bulan lalu dan kini terlibat secara aktif dalam operasi ketenteraan yang dipertingkatkan terhadap pemberontak Houthi yang berpangkalan di Yaman.
Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (U.S. Central Command) memaklumkan bahawa serangan udara dilancarkan setiap hari terhadap kedudukan kumpulan Houthi, membabitkan pesawat pejuang, pengebom, kapal perang dan dron.
Penempatan USS Truman di rantau itu juga telah dilanjutkan sekali sebelum ini selama kira-kira sebulan oleh Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth.
Kehadiran USS Harry S. Truman di rantau ini merupakan sebahagian daripada usaha Amerika Syarikat untuk meningkatkan kehadiran ketenteraan di Timur Tengah, termasuk penghantaran kapal induk kedua, USS Carl Vinson, bagi mengukuhkan kestabilan serantau dan melindungi laluan perkapalan di Laut Merah.
Maklumat terperinci mengenai manuver yang dilakukan oleh kapal pengangkut pesawat USS Truman bagi mengelak bedilan peluru berpandu Houthi tidak didedahkan, namun gambar dan rakaman video yang dimuat naik di laman web Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menunjukkan bahawa kapal-kapal pesawat pengangkut kelas Nimitz itu mampu melakukan menuver dalam keadaan senget ketika membelok pada kelajuan tinggi.
Super Hornet
Seorang penganalisis tentera memberitahu CNN bahawa kapal pengangkut pesawat yang cuba mengelak serangan peluru berpandu biasanya menggunakan taktik “zig-zag”.
USS Harry S. Truman (CVN-75) merupakan sebuah kapal induk berkuasa nuklear kelas Nimitz yang dioperasikan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat.
Dibina oleh syarikat Newport News Shipbuilding dan ditauliahkan pada tahun 1998, kapal ini memiliki panjang keseluruhan 333 meter dengan berat penuh melebihi 100,000 tan, menjadikannya antara aset ketenteraan terbesar dan paling berkeupayaan dalam sejarah moden.
Kapal ini memiliki dua reaktor nuklear jenis A4W yang membolehkan ia beroperasi secara berterusan tanpa perlu mengisi semula bahan api selama lebih dua dekad, serta mampu mencapai kelajuan melebihi 30 knot (sekitar 56 kilometer sejam).
USS Harry S. Truman dilengkapi dengan empat pelancar wap (steam catapult) dan empat sistem kabel pendaratan (arresting gear), yang membolehkan operasi pelancaran dan pendaratan pesawat udara secara berterusan, termasuk F/A-18E/F Super Hornet, EA-18G Growler, E-2D Hawkeye dan helikopter MH-60 Seahawk.
Ia mampu menempatkan sehingga 75 buah pesawat pelbagai jenis dan peranan, serta dianggotai lebih daripada 5,000 krew kapal dan anggota udara, menjadikannya sebuah pangkalan udara terapung yang lengkap dengan fasiliti kawalan tempur, perubatan, logistik dan kejuruteraan.
Super Hornet
Untuk sistem pertahanan diri, kapal ini dilengkapi dengan peluru berpandu RIM-116 Rolling Airframe Missile (RAM), RIM-7 Sea Sparrow, sistem senjata dekat Phalanx CIWS (Close-In Weapon System), serta sistem radar AESA dan peperangan elektronik yang canggih untuk mengesan, mengesan dan menangkis sebarang ancaman dari udara mahupun permukaan.
Sebagai salah satu tonggak utama armada laut Amerika, USS Harry S. Truman berperanan penting dalam misi gabungan bersama sekutu NATO serta operasi ketenteraan di kawasan berisiko tinggi seperti Timur Tengah, Laut Mediterranean dan Indo-Pasifik, menjadikannya simbol kehadiran strategik dan dominasi maritim Amerika Syarikat di peringkat global.