Kapal Pengangkut Pesawat, USS Theodore Roosevelt Sedang Menuju Ke Laut China Selatan

Turut sama mengiringi kapal pengangkut pesawat itu adalah kapal destroyer kelas Arleigh-Burke USS Russel (DDG-59) dan kapal cruiser kelas Ticonderoga USS Bunker Hill (CG-59).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, USS Theodore Roosevelt (CVN-71) kini dipercayai dalam perjalanan ke Laut China Selatan, selepas dikesan berada di Selat Melaka dan Singapura hari ini.

Turut sama mengiringi kapal pengangkut pesawat itu adalah kapal destroyer kelas Arleigh-Burke USS Russel (DDG-59) dan kapal cruiser kelas Ticonderoga USS Bunker Hill (CG-59).

Kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dikesan belayar di Selat Melaka menuju ke perairan Singapura awal hari ini. (kredit @n_morse9927

 

Kemungkinan besar, kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan kapal-kapal pengiringnya itu sedang dalam perjalanan ke Jepun atau ke Guam.

Bagaimanapun, sebelum ke Jepun atau ke Guam, USS Theodore Roosevelt dan kapal-kapal pengiringnya admin jangkakan akan singgah dan “park” selama beberapa hari di Laut China Selatan untuk “latihan”.

Awal hari ini, kapal destroyer kelas-Murasame JS Ariake turut dikesan belayar meninggalkan Singapura untuk menuju ke Laut China Selatan.

Dua tiga hari lepas, sebuah lagi kapal destroyer kelas-Murasame Tentera Laut Jepun JS Akebono singgah di Pelabuhan Klang.

Ia hanya berada di Pelabuhan Klang hanya sehari dan telah pun meninggalkan negara ini. Tak pasti destinasi kapal perang Jepun itu selepas Malaysia.

Adakah JS Akebono dan JS Ariake akan bergabung dengan USS Theodore Roosevelt serta kapal-kapal pengiringnnya di Laut China Selatan? Well, kita akan tahu dalam beberapa hari ini.

Jikalau benar kapal-kapal perang Jepun dan Amerika Syarikat ini bergabung di Laut China Selatan, maka bolehlah dijangkakan suasana akan menjadi “panas” kerana China sudah pasti tidak akan menyenangi tindakan itu.

Kapal destroyer kelas-Murasame Tentera Laut Jepun JS Ariake dikesan berada di perairan Singapura awal hari ini, juga dipercayai menuju ke Laut China Selatan. (kredit @n_morse9927

 

Ketika berada di perairan yang penting ini, sudah pasti akan berlaku pelayaran-pelayaran FONOP sama ada oleh kapal-kapal pengiring Amerika Syarikat atau Jepun di pulau-pulau buatan manusia yang diduduki secara haram oleh China di Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel.

Setiap kali pelayaran-pelayaran FONOP dilakukan, tahap ketegangan suasana di Laut China Selatan akan meningkat dengan mendadak kerana Beijing menganggap pelayaran itu suatu provokasi oleh Amerika Syarikat kerana ia dianggap “menceroboh” kedaulatan wilayah China.

Satu lagi persoalan adalah, adakah Amerika Syarikat mengerahkan USS Theodore Roosevelt dan kapal pengiringnya ke Laut China Selatan sebagai menyahut “panggilan pertolongan” daripada Filipina yang bimbang akan kehadiran kira-kira 200 buah bot militia maritim China di Julian Felipe Reef, yang berada dalam perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE).

Menteri Pertahanan Filipina Delfin Lorezana hari ini mengatakan bahawa China mempunyai perancangan untuk menduduki secara haram lebih banyak kawasan di Laut China Selatan.

Kapal JMSDF “JS Akebono” tiba di Pelabuhan Klang beberapa hari lepas. (gambar TLDM)

 

Adakah Manila telah menghantar “SOS” kepada Amerika Syarikat dan sebagai respons Washington mengerah kapal-kapal perangnya ke Laut China Selatan?

Admin juga ada melaporkan tentang kehadiran tiga buah kapal serang laju Type 022 Houbei di Mischief Reef (Panganiban Reef) yang didakwa Filipina sebagai miliknya tetapi diduduki secara haram oleh China.

Adakah semua ini berkaitan? Menarik kan…

Kira-kira seminggu yang lepas, USS Theodore Roosevelt dan kapal-kapal pengiringnya berada di Lautan Hindi untuk latihan bersama dipanggil “Joint Force Maritime Exercise” dengan kapal tentera laut India iaitu friget INS Shivalik dan pesawat-pesawat tentera laut negara itu.

Ketika di Lautan Hindi, USS Theodore Roosevelt dan kapal-kapal pengiringnya turut menerima bekalan bahan api (replenishment) daripada kapal bekalan Tentera Laut Australia, HMAS Sirius.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Amerika SyarikatJepunLaut China SelatanUSS Theodore Roosevelt