Kapal Pengangkut Pesawat USS Abraham Lincoln (CVN 72) Kini di Malaysia

Carrier Strike Group Abraham Lincoln itu terdiri daripada kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln (CVN 72), kakitangan Carrier Strike Group (CSG) 3 dan Destroyer Squadron (DESRON) 21, Carrier Air Wing (CVW) 9, serta destroyer peluru berpandu kelas-Arleigh Burke USS Frank E. Petersen Jr. (DDG 121), USS Spruance (DDG 111), dan USS Michael Murphy (DDG 112) di bawah Destroyer Squadron 21.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal pengangkut pesawat kelas-Nimitz Tentera Laut Amerika Syarikat USS Abraham Lincoln (CVN 72) melakukan persinggahan di Pelabuhan Klang hari ini untuk kunjungan pertamanya ke Malaysia sejak 2012,  bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kuala Lumpur dan Washington.
“Lawatan bersejarah ini menunjukkan kepentingan Malaysia kepada Amerika Syarikat,” kata Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan, sebagaimana dipetik oleh portal Defense Visual Information Distribution Service (DVIDS), yang merupakan agensi dibawah Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat.
“Ia menyerlahkan komitmen bersama terhadap kestabilan serantau dan kedaulatan Malaysia, di samping menyediakan peluang berharga untuk kolaborasi antara angkatan tentera laut serta pemimpin utama kedua-dua negara.”
Sebelum tiba di Pelabuhan Klang, USS Abraham Lincoln telah menerima kunjungan kehormat daripada pegawai serta media Malaysia untuk lawatan kapal, pemerhatian operasi penerbangan, dan sesi interaksi bersama anggota tentera laut Amerika Syarikat.
Semasa berada di Pelabuhan Klang, kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu turut menjadi tuan rumah kepada pemimpin-pemimpin Malaysia bagi lawatan eksklusif, yang akan terus memperkukuh hubungan dua hala di antara Kuala Lumpur dan Washington.
(kredit gambar FB TLDM)
(kredit gambar FB TLDM)
“Lawatan kami ke Kuala Lumpur adalah penting bagi Tentera Laut Amerika Syarikat. Ini adalah kunjungan pertama kapal pengangkut pesawat (itu ke Malaysia) dalam tempoh 12 tahun,” kata Laksamana Muda Adan Cruz, komander Carrier Strike Group (CSG) 3.
“Saya amat menghargai peluang untuk memperkukuh kerjasama Amerika Syarikat dan Malaysia serta memberikan peluang kepada anggota tentera laut dan marin kami untuk merasai keunikan Kuala Lumpur.”
Lebih 4,200 anggota tentera laut dan marin di atas USS Abraham Lincoln akan menikmati budaya dan sejarah negara ini.
Sepanjang berada di Malaysia, krew kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat itu berpeluang melawat kawasan-kawasan tempatan melalui lawatan serta melibatkan diri dalam projek hubungan komuniti (COMREL), termasuk aktiviti sukarelawan di dapur makanan, rumah warga emas, dan rumah kanak-kanak.
“Bagi pihak krew USS Abraham Lincoln, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pelabuhan Klang dan Kuala Lumpur atas sambutan hangat dan penuh semangat terhadap kedatangan kami,” kata Kapten Pete Riebe, pegawai memerintah USS Abraham Lincoln (CVN 72).
 “Kami berharap dapat meluangkan masa untuk menerokai sejarah dan budaya Malaysia yang kaya serta berinteraksi dengan komuniti tempatan sepanjang lawatan ini. Kami juga berbesar hati menerima kunjungan pemimpin Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan kerajaan Malaysia ke atas kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln di Pelabuhan Klang.”
(kredit gambar FB TLDM)
(kredit X Platform)
Carrier Strike Group Abraham Lincoln itu terdiri daripada kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln (CVN 72), kakitangan Carrier Strike Group (CSG) 3 dan Destroyer Squadron (DESRON) 21, Carrier Air Wing (CVW) 9, serta destroyer peluru berpandu kelas-Arleigh Burke USS Frank E. Petersen Jr. (DDG 121), USS Spruance (DDG 111), dan USS Michael Murphy (DDG 112) di bawah Destroyer Squadron 21.
Kapal destroyer peluru berpandu kelas-Arleigh Burke USS Frank E. Petersen Jr. mengadakan lawatan pelabuhan ke Singapura, manakala USS Spruance (DDG 111) dan USS Michael Murphy (DDG 112) berlabuh di Thailand, menunjukkan fleksibiliti semula jadi kumpulan penyerang kapal pengangkut pesawat itu.
Kapal pemusnah peluru berpandu kelas-Arleigh Burke, USS O’Kane (DDG 77) dan USS Stockdale (DDG 106), kekal dikerahkan di kawasan operasi Armada Ke-5 bagi menyokong operasi keselamatan maritim global.
CVW-9 terdiri daripada sembilan skuadron pesawat dengan lebih 70 pesawat di atas kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln, termasuk dua skuadron helikopter MH-60R dan MH-60S Seahawk, tiga skuadron pesawat pejuang F/A-18E/F Super Hornet, satu skuadron pesawat peperangan elektronik EA-18G Growler, satu skuadron pesawat pejuang generasi kelima F-35C Lightning II Kor Marin, skuadron pesawat amaran awal udara E-2D Advanced Hawkeye, dan pesawat logistik C-2 Greyhound.
Carrier Strike Group Abraham Lincoln sedang menjalankan operasi rutin di kawasan operasi Armada Ke-7 Amerika Syarikat, armada terbesar Tentera Laut Amerika Syarikat yang sentiasa berinteraksi dan beroperasi bersama sekutu dan rakan kongsi bagi mengekalkan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka. — DSA

featuredMalaysiaPelabuhan KlangUSS Abraham Lincoln
Comments (0)
Add Comment