Kapal MPMS Milik Maritim Malaysia Beri Tumpuan Pengawasan di Laut China Selatan
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menjelaskan, kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Apabila Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang sedang dibina di Turkiye itu siap pada 2027, ia akan memberi tumpuan kepada pengawasan di perairan negara di Laut China Selatan.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah menjelaskan, kapal ini dilengkapi dengan teknologi canggih dan sistem operasi moden yang mampu meningkatkan keberkesanan kawalan perairan negara.
“Apabila kapal ini siap dibina, ia akan memberi tumpuan kepada pengawasan di Laut China Selatan, terutama dalam menangani pencerobohan vesel asing, aktiviti penangkapan ikan haram, penyeludupan dan pemerdagangan manusia,”kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Kapal MPMS sepanjang 99 meter itu boleh beroperasi selama 30 hari tanpa henti dan mampu membawa 70 krew serta 30 penumpang.
Ia juga dilengkapi dengan empat bot pemintas pantas (FIC), dua dron udara tanpa pemandu (UAV), dek pendaratan helikopter, fasiliti perubatan serta pusat tahanan, kata beliau.
Terdahulu kenyataan oleh Maritim Malaysia itu menyatakan bahawa majlis menandatangani Surat Setuju Terima (SST) bagi perolehan kapal MPMS itu telah berlangsung di Desan Shipyard, Turkiye semalam.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Awang Alik bin Jeman berkata, perolehan kapal MPMS bernilai US$68.8 juta (RM302 juta) adalah langkah strategik dalam memperkukuh keselamatan perairan negara.
Majlis menandatangani SST Kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) milik Maritim Malaysia di Turkiye semalam. (kredit Maritim Malaysia)(kredit Maritim Malaysia)
Selain itu ia juga mencerminkan hubungan erat Malaysia dan Turkiye dalam sektor pertahanan dan industri pembinaan kapal.
“Kapal MPMS ini akan menjadi aset penting dalam mempertingkatkan keupayaan penguatkuasaan Maritim Malaysia.”
“Kerjasama ini membuktikan komitmen kedua-dua negara dalam menangani ancaman keselamatan maritim yang semakin kompleks, termasuk pencerobohan vesel asing dan aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya.
Selain majlis menandatangani SST ini, delegasi Malaysia turut mengadakan lawatanke ibu pejabat dan limbungan selenggara Desan Shipyard, bagi melihat keupayaan dan kemampuan syarikat berkenaan dalam pembinaan kapal.
Dengan perolehan MPMS ini, Maritim Malaysia yakin dapat meningkatkan kecekapan operasi, sekaligus memperkukuh kawalan keselamatan perairan negara bagi memastikan kedaulatan maritim Malaysia terus terpelihara.
Majlis menandatangani SST semalam itu adalah sebahagian rentetan daripada sesi pertukaran dokumen rasmi yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdoğan ketika lawatan rasmi pemimpin Turkiye itu ke Malaysia pada 11 Februari lalu.