(DEFENCE SECURITY ASIA) — Korea Aerospace Industries (KAI) menaruh keyakinan yang tinggi bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan membuat pilihan untuk memperoleh 18 lagi pesawat pejuang ringan FA-50M, menjadikan keseluruhan pesawat terbabit yang akan dimiliki oleh pasukan itu berjumlah 36 unit.
Pengurus Wilayah KAI untuk Asia Park Shangshin menjangkakan rundingan bagi pemerolehan kumpulan kedua 18 pesawat pejuang ringan FA-50M antara gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu dan Malaysia akan bermula pada separuh kedua 2026 dan selesai menjelang awal 2027.
“Saya rasa berkemungkinan besar (untuk Malaysia menambah tempahan 18 lagi pesawat pejuang ringan FA-50M), kerana we are track on the first batch dan saya yakin pelanggan kami (Malaysia) sangat berpuas hati dengan kontrak dilaksanakan pada ketika ini (untuk perolehan batch 1 sebanyak 18 unit).
“Sekiranya TUDM mahukan the platform yang sama seperti kumpulan pertama, jadi saya rasa pemerolehan kumpulan kedua hanyalah kesinambungan kepada kumpulan pertama,” katanya yang ditemui oleh agensi berita nasional Malaysia, Bernama pada pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini.
Pada Mei 2023, Malaysia dan KAI menandatangani kontrak bernilai hampir RM4 bilion untuk pemerolehan 18 pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20, yang kemudian dinamakan sebagai FA-50M (Malaysia).
Menurut pegawai kanan KAI, TUDM akan mendapat varian pesawat pejuang ringan dengan keupayaan lebih tinggi.
Varian FA-50M yang dibeli Malaysia adalah lebih canggih dan berkeupayaan lebih tinggi berbanding FA-50 yang dikendalikan Tentera Udara Republik Korea Selatan (ROKAF) dan negara lain termasuk di rantau ini iaitu Thailand Filipina dan Indonesia.
Pengguna lain pesawat pejuang FA-50/T-50 daripada varian terdahulu di Asia Tenggara adalah Thailand (14 buah T-50), Filipina (12 buah FA-50 dan Indonesia (22 buah T-50).
Pada masa ini, hanya TUDM dan Tentera Udara Poland memilih untuk varian terkini “Fighting Eagle” ini.
Ditanya tentang tarikh penghantaran 18 pesawat pejuang ringan FA-50M berkenaan, Park berkata pihak TUDM akan menerimanya secara berperingkat bermula pada Oktober 2026 hingga Jun 2027.
Beliau berkata varian FA-50 Malaysia akan memiliki keupayaan sama dengan FA-50 yang dibeli oleh Poland, dengan kedua-dua pasukan tentera udara berkenaan mengoperasikan varian FA-50 yang dilengkapkan dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) dan alat mengenal pasti sasaran termaju ‘Sniper’.
Poland memperolehi 48 buah pesawat FA-50 terdiri daripada kombinasi varian Block 20 dan Block 10.
Selain radar AESA “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh RTX itu (dahulunya dikenali sebagai Raytheon) dan Sniper ATP, pesawat pejuang ringan FA-50M akan diperoleh Malaysia itu juga dilengkapi prob untuk pengisian bahan api di udara “Chobham” bagi misi jarak jauh.
Selain itu pesawat FA-50 Block 20 TUDM itu juga akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.
Pesawat FA-50 Block 20 yang digunakan oleh TUDM itu juga dilaporkan bakal dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2” (military tactical data link) yang selamat, secure, bebas daripada usaha pemintasan pihak musuh dan lain-lain lagi.
Varian terkini FA-50 juga berkeupayaan untuk membawa bom berpandu tepat dan lain-lain senjata canggih.
Park turut ditanya tentang projek berprofil tinggi lain oleh KAI, iaitu KF-21 “Boramae” pesawat pejuang generasi 4.5 yang sedang dibangunkan oleh syarikat itu dan sama ada ia mampu menjadi pesawat ideal untuk TUDM, yang dirancang untuk menggantikan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) F/A-18D Hornet dan 18 Sukhoi Su-30MKM masing-masing pada 2035 dan 2040.
“Sudah tentu, saya percaya ia (Borame) akan menjadi penyelesaian optimum,” katanya sambil menambah KAI belum memulakan perbincangan rasmi dengan kerajaan Malaysia berkaitan KF-21.
Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 terbabit dianggar melibatkan kos US$6.59 bilion (RM26.36 billion).
KAI merancang untuk membekalkan 40 pesawat KF-21 Block 1 yang direka bentuk untuk misi udara-ke-udara pada 2026, disusuli 80 pesawat Block 2 untuk misi udara-ke-darat pada fasa berikutnya.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu turut dilaporkan berhasrat untuk memulakan eksport pesawat pejuang KF-21 “Borame” kepada pelanggan berminat selepas memenuhi keperluan ROKAF. — DSA