Turkiye Mohon Kebenaran Amerika Bina Enjin F-110 GE-129 Untuk Pesawat “KAAN”

Turkiye bercadang mengggunakan enjin F-110 GE-129 pada kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang generasi kelima, “KAAN” yang sedang dibangunkannya ketika ini, sebelum menggantikannya dengan enjin keluaran sendiri.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagai langkah sementara sebelum ia berkemampuan membina enjin pesawat pejuangnya sendiri, Turkiye dilaporkan telah meminta kebenaran daripada Amerika Syarikat untuk membina secara berlesen di dalam negara enjin F-110 GE-129 keluaran syarikat General Electric (GE).

Turkiye bercadang mengggunakan enjin F-110 GE-129 pada kumpulan pertama pesawat-pesawat pejuang generasi kelima, “KAAN” yang sedang dibangunkannya ketika ini, sebelum menggantikannya dengan enjin keluaran sendiri.

Sebagaimana dilaporkan oleh agensi berita Bloomberg, enjin F-110 GE-129 merupakan versi dua enjin (twin engine-version) enjin F-110 yang digunakan oleh pesawat pejuang F-15 manakala versi enjin F-110 GE-110 pula digunakan oleh pesawat pejuang F-16 yang turut dioperasikan oleh Tentera Udara Turkiye.

Ini bermakna kemungkinan besar kumpulan pertama pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” keluaran Turkiye itu akan menggunakan enjin yang sama seperti digunakan oleh pesawat pejuang F-15.

Tidak pasti sehingga kini, sama ada permintaan Turkiye untuk membina secara berlesen enjin F-110 GE-129 itu akan “dilayan” oleh Amerika Syarikat, disebabkan hubungan diplomatik yang tegang di antara kedua-dua negara anggota NATO itu.

Ini kerana permohonan Turkiye untuk membeli 40 buah pesawat pejuang F-16 Block 70 dan 80 kit pemodenan pesawat F-16 yang dianggarkan bernilai US$20 bilion (RM80 bilion) masih tidak “dilayan” oleh Washington.

Enjin F-110 GE-129

 

Usaha Turkiye membeli pesawat-pesawat F-16 itu berhadapan dengan syarat demi syarat oleh anggota Kongres dan pentadbiran Amerika Syarikat.

Terbaru Washington mahu Turkiye memberikan kebenaran kepada Sweden untuk menjadi anggota NATO sebelum ia meluluskan permohonannya untuk membeli pesawat-pesawat pejuang F-16 dan juga kit permodenan pesawat pejuang itu

Permohonan kepada Amerika Syarikat untuk membina secara berlesen enjin F-110 GE-129 di dalam Turkiye itu menyusuli perjanjian di antara TUSAS Engine Industries (TEI) dengan GE Aerospace yang ditandatangani beberapa bulan lepas.

TEI merupakan antara pembuat komponen terbesar enjin F110 yang dibinanya secara berlesen bagi kira-kira 250 buah pesawat pejuang F-16 yang dioperasikan oleh tentera udaranya pada ketika ini.

Tentera Udara Turkiye adalah diantara negara pengguna pesawat pejuang F-16 terbesar di dunia.

Enjin F-110 GE-129 turut digunakan oleh pesawat pejuang F-15

 

TEI merupakan syarikat yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Turkish Aerospace Industries (TAI) dan GE Aerospace serta beberapa pihak tempatan yang lain bagi memastikan negara Mediterranean itu mampu berdikari bagi menghasilkan enjin sama ada untuk pesawat atau peluru berpandu.

Selain membina secara berlesen enjin GE-110, syarikat TEI itu juga membina secara berlesen enjin-enjin yang digunakan oleh helikopter T-70 (varian tempatan untuk helikopter S-70) dan enjin LHTEC yang digunakan oleh helikopter penyerang T129 ATAK dibangunkan oleh TAI.

Kini syarikat TEI sedang membangunkan enjin turbofan paling berkuasa pernah dihasilkannya iaitu TEI-TF10000 yang merupakan varian enjin turbofan terdahulu iaitu TEI-TF6000.

Enjin turbofan TEI-TF10000 yang diperkenalkan untuk memberikan 10,000 pound kuasa tujahan.

“KAAN”

 

Enjin TEI-TF10000 direkabentuk untuk digunakan oleh pesawat pejuang tanpa pemandu “Kizilelma” yang dibangunkan oleh syarikat pembuat dron terkenal negara itu, Baykar Technology dan beroperasi daripada kapal perang terbesar negara itu, TCG Anadolu.

Enjin TEI-TF10000 itu adalah asas kepada pembangunan enjin buatan tempatan yang bakal melengkapkan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, KAAN. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

EnjinfeaturedKAANTurkiye
Comments (0)
Add Comment