(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Jerman (Bundeswehr) mendedahkan angkatan tentera negara itu hanya mampu bertahan selama tiga jam sekiranya berhadapan dengan peperangan pada masa terdekat ini.
“Sebelum ini, Angkatan Tentera Jerman (Bundeswehr) boleh bertahan selama tiga hari, Bagaimanapun kini, ia hanya mampu bertahan tiga jam, “ kata pegawai kanan tentera Jerman itu, Kolonel Ralf Thiele kepada penerbitan “Focus Online.”
Menurutnya, kedudukan angkatan tentera negara itu semakin buruk sejak dua tahun lepas dan angkatan tentera Jerman perlu dipersalahkan kerana tindakan mereka melengah-lengahkan usaha permodenannya.
“Ketika tercetus konflik di Ukraine, Angkatan Tentera Jerman sudah pun mengalami masalah kekurangan anggota dan keadaannya pada ketika ini adalah semakin buruk,” kata beliau dan menambah sistem persenjataan dimiliki tentera itu tidak mampu bertahan lama sekiranya diserang.
Untuk menangani permasalahan meruncing Angkatan Tentera Jerman, Canselor negara itu Olaf Scholz telah mengumumkan penubuhan tabung khas sebanyak Euro 100 bilion (RM511 bilion) untuk menaiktaraf kelengkapan persenjataan Bundeswehr.
Usaha-usaha peningkatan kemampuan Angkatan Tentera Jerman itu antaranya melibatkan pembelian sistem persenjataan baru, peluru dan pelbagai lagi.
Bagaimanapun pakar-pakar Jerman menyatakan bahawa tiada perubahan besar dialami oleh Angkatan Tentera Jerman itu pada masa ini.
Pada Mac lalu, Menteri Pertahanan Jerman Boris Pistorius bertindak memecat Ketua Pejabat Persekutuan Bagi Teknologi Pertahanan dan Perolehan Gabriele Korb selepas beliau gagal menyelesaikan permasalahan perolehan persenjataan dan peralatan pertahanan,
Sejak bermulanya konflik di antara Ukraine dan Russia pada Februari 2022, jumlah bantuan kewangan diberikan oleh Jerman telah melebihi Euro 25 bilion (RM128 bilion) meliputi bantuan kemanusiaan, kewangan dan ketenteraan.
Kerajaan Jerman bercadang menyumbang Euro 8 Bilion (RM41 bilion) untuk membantu Ukraine pada tahun depan.
Sehingga 31 Mei 2023, Angkatan Tentera Jerman memiliki 181, 596 anggota tentera aktif, meletakkannya ditangga ke-30 sebagai angkatan tentera terbesar di dunia dan kedua terbesar di Kesatuan Eropah dibelakang Perancis.
Menurut Persuruhjaya Parlimen bagi Angkatan Tentera Jerman Eva Hoegl, kekurangan daripada segi persenjataan dan peralatan yang dialami oleh Angkatan Tentera Jerman pada ketika ini adalah lebih buruk berbanding sebelum pencerobohan Russia terhadap Ukraine.
“Angkatan Tentera Jerman memiliki terlalu sedikit dan ia semakin sedikit sejak konflik Russia-Ukraine berlaku, “ kata beliau. — DSA