Pesawat J-20 “Mighty Dragon” Guna Enjin “Setaraf” F-22 “Raptor”

Pihak China mendakwa enjin buatan tempatan, WS-10C yang melengkapi pesawat generasi kelima, halimunan China, J-20 "Mighty Dragon" adalah setaraf, jika bukan lebih baik daripada Pratt & Whitney F119-PW-100 yang digunakan oleh F-22 "Raptor."

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera China kini meningkatkan pengeluaran (produksi)  pesawat generasi kelimanya, J-20 “Mighty Dragon” sebaik sahaja selepas pesawat halimunan (stealth) itu dilengkapkan dengan enjin keluaran tempatan “WS-10C” yang dikatakan setaraf, jika bukan lebih baik daripada enjin Pratt & Whitney F119-PW-100 yang digunakan oleh pesawat F-22 “Raptor.”

Sebelum ini, usaha untuk meningkatkan pengeluaran pesawat termoden China berhadapan dengan masalah kerana ia terpaksa mendapatkan enjin daripada luar negara untuk dipasang dengan pesawat J-20 itu.

Pengeluaran pesawat J-20 itu bergantung berapa banyak enjin didapatinya daripada negara luar, dalam kes ini daripada Russia.

Sebelum menggunakan enjin tempatan WS-10C buatan syarikat tempatan, Shenyang Liming Aircraft Engine Company, pesawat J-20 itu menggunakan enjin Saturn “AL-31F” buatan Russia.

 Pemerhati tentera di China dengan bangga mendakwa bahawa enjin WS-10C yang dipanggil “Taihang” itu mempunyai keupayaan yang sama sebagaimana enjin yang digunakan oleh pesawat halimunan Amerika Syarikat, F-22 Raptor.

Enjin WS-20

 

Menurut laporan media sebelum ini, Russia agak keberatan untuk menjual lebih banyak enjin “AL-31F” yang dibangunkan oleh firma pembuat enjin negara itu, United Engine Corporation (UEC) kerana mahukan China membeli lebih banyak pesawat Sukhoi Su-35 yang dilengkapi dengan enjin yang sama.

 Menjual lebih banyak enjin AL-31F bermakna Russia tidak dapat menjual lebih banyak pesawat Sukhoi Su-35 dan sebab itulah Moscow memperlahankan penjualan enjin itu kepada China yang menggunakan enjin itu untuk melengkapkan pesawat J-20 “Mighty Dragon” itu.

Mahu tidak mahu, Beijing terpaksa membangunkan enjin jet tempatan bagi memenuhi keperluan tentera udaranya sendiri.

Hanya selepas China berjaya melengkapkan pembangunan enjin tempatannya “WS-10C”, barulah pengeluaran pesawat halimunan China itu memasuki fasa “mass production” bagi memenuhi keperluan tentera udaranya sama ada di pemerintahan selatan, utara, barat dan timur negara itu.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon” itu dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Industrial Group Co Ltd dibawah Aviation Industry Corporation of China.

Baru-baru ini, terdapat laporan mengatakan bahawa China mula mengerahkan pesawat J-20 ke kawasan pemerintahan selatannya yang merangkumi Laut China Selatan, selepas pengeluaran pesawat itu dipertingkatkan apabila ia dilengkapi enjin buatan tempatan.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon”China.

 

Sebuah pesawat J-20 telah dikesan melakukan penerbangan ujian di kilang pembuatannya di Huantianba di Chengdu.

Pesawat dengan nombor siri 61162 itu telah dikenalpasti berpengkalan di 5th Air Brigade, Southern Theatre Command (Pemerintahan Kawasan Selatan) membuktikan bahawa pesawat pejuang termoden China itu kini ditugaskan di Laut China Selatan.

Tentera China memiliki lima kawasan pemerintahan tentera dengan Southern Theatre Command bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan di selatan China dan keseluruhan Laut China Selatan yang Beijing dakwa sebagai miliknya.

Pemerhati tentera China Andreas Rupprecht berkata kepada Radio Free Asia bahawa kerahan pesawat J-20 ke Southen Theatre Command itu menunjukkan Tentera China sedang meningkatkan keupayaan tentera di Laut China Selatan dan pesawat-pesawat itu bertujuan untuk operasi-operasi kombat dan bukan latihan.

 Seorang lagi penganalisis, Collin Koh daripada S.Rajaratnam School of International Studies di Singapura pula berkata, tindakan China itu sememangnya tidak memeranjatkan kerana Southern Theatre Command itu sememangnya bertanggungjawab untuk operasi tentera di Taiwan dan Laut China Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Beijing menurutnya telah memulakan pembuatan besar-besaran pesawat J-20 dengan motif untuk melengkapkan lebih banyak skuadron tentera udaranya.

Bukan setakat pesawat pejuang J-20 itu ditempatkan di selatan China untuk tujuan operasi di Laut China Selatan tetapi Beijing turut bertindak menempatkan pesawat termodennya itu di pangkalan-pangkalannya berhampiran dengan sempadannya negara itu dengan India.

Pesawat J-20 itu dikatakan rekabentuknya menyerupai pesawat pejuang generasi ke-lima Amerika Syarikat iaitu F-22 Raptor.

Pesawat J-20 “Mighty Dragon” adalah pesawat generasi kelima yang beroperasi di dunia selepas F-22 Raptor dan F-35.

Pada ketika ini, pemerhati tentera antarabangsa menganggarkan di antara 50 hingga 60 buah pesawat J-20 telah pun beroperasi di dalam Tentera Udara China dan dengan pemasangan enjin buatan tempatan bermakna produksinya akan hanya dipertingkatkan dengan lebih banyak. — DSA

Pesawat J-20 China

 

 

featuredJ-20Mighty DragonPengeluaran