Israel Tamatkan Khidmat MIM-104 Patriot, Ganti Sistem Pertahanan Udara Tempatan

Mengambilalih tempat sistem pertahanan udara Patriot yang ditamatkan khidmatnya oleh Israel selepas 40 tahun itu adalah sistem-sistem pertahanan udara yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan tempatan negara Yahudi itu seperti Iron Dome, Arrow dan David Sling.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas menggunakannya selama 40 tahun untuk mempertahankan ruang udaranya, Israel akan menamatkan perkhidmatan sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot (dipanggil Yahlom oleh Israel) dan menggantikannya dengan sistem-sistem pertahanan udara buatan tempatan.

Mengambilalih tempat sistem pertahanan udara Patriot yang ditamatkan khidmatnya oleh Israel selepas 40 tahun itu adalah sistem-sistem pertahanan udara yang dibangunkan sendiri oleh industri pertahanan tempatan negara Yahudi itu seperti Iron Dome, Arrow dan David Sling.

Ketika serangan 300 buah peluru berpandu ballistik dan dron berani mati Iran terhadap Israel beberapa minggu lepas, majoriti daripada sistem pertahanan udara yang digunakan untuk mempertahankan negara Yahudi itu adalah sistem pertahanan udara buatan tempatan.

Israel mengoperasikan sistem pertahanan udara yang berlapis (multi-layered) dengan sistem pertahanan udara Iron Dome menangani ancaman darat dekat, manakala untuk ancaman jarak sederhana dan peluru berpandu ballistik, Tel Aviv bergantung kepada sistem pertahanan udara David Sling dan Arrow.

Kesemua sistem pertahanan udara Israel itu, Iron Dome, David Sling dan Arrow dibangunkan secara bersama oleh Israel dan Amerika Syarikat.

Apa akan jadi kepada sistem-sistem pertahanan udara Patriot yang telah ditamatkan perkhidmatannya oleh Israel.

Sebarang penjualan atau pemindahan sistem pertahanan udara Patriot kepada pihak ketiga memerlukan kelulusan pihak Amerika Syarikat.

Banyak pihak menjangkakan sistem-sistem pertahanan udara Patriot milik Israel itu akan dijual semula kepada Amerika Syarikat yang berkemungkinan besar akan “mendermakannya” kepada Ukraine untuk digunakannya bagi menangani ancaman peluru berpandu atau pesawat kombat Russia.

Ukraine sememangnya amat memerlukan sistem pertahanan udara Patriot untuk mempertahankan bandar-bandar dan aset-aset kritikal tenteranya daripada serangan Russia.

Walaupun kemungkinan sistem-sistem pertahanan udara Patriot milik Israel itu akan dipindahkan kepada Ukraine, namun Tel Aviv dipercayai akan melakukannya dengan berhati-hati supaya ia tidak membuatkan Russia marah.

Israel memerlukan kerjasama Russia terutamanya dalam usahanya untuk menangani perluasan pengaruh Iran di negara-negara tetangganya seperti di Lubnan, Syria dan Iraq.

Sistem pertahanan udara “Iron Dome”

 

Sebelum ini, Israel diketahui telah menolak permintaan daripada Ukraine untuk dibekalkan dengan sistem pertahanan udara jarak dekat, Iron Dome kerana kebimbangan sistem itu akan jatuh ke tangan Iran menerusi Russia.

Oleh kerana itulah, permintaan Kiev untuk mendapatkan Iron Dome tidak pernah dilayan oleh Israel.

Sistem pertahanan udara Patriot mula dioperasikan oleh Israel pada tahun 1991 semasa Perang Teluk untuk menangani ancaman Presiden Saddam Hussein yang mahu menyerang Israel menggunakan  peluru-peluru  berpandu Scud.

Sistem pertahanan udara Patriot milik Israel itu telah dinaiktaraf pada 2012 dan buat kali pertama pada 2014 ia dilaporkan telah berjaya menembak jatuh sebuah dron yang dilancarkan oleh kumpulan pejuang di Semenanjung Gaza.

Sejak daripada 2014 itu, sistem pertahanan udara Patriot yang dioperasikan oleh Israel telah menembak jatuh 19 buah sasaran sama ada roket, dron dan lain-lain lagi termasuk pesawat pejuang Su-24 buatan Russia milik Tentera Udara Syria pada tahun 2018.

“David Sling”
“Arrow”

 

Sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot terdiri daripada enam komponen iaitu peluru berpandu itu sendiri, sistem pelancar, radar, stesen kawalan, unit kuasa dan antenna frekuensi tinggi.

Sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot menggunakan peluru berpandu PAC-2  itu boleh memusnahkan sasaran udara termasuk peluru berpandu ballistik sejauh 160km manakala jika ia menggunakan peluru berpandu PAC-3 pula boleh membedil sasaran sejauh 40km.

Center for Strategic and International Studies (CSIS) menganggarkan setiap bateri sistem pertahanan udara MIM-104 Patriot bernilai US$1.1 bilion (RM4.95 bilion).

Setiap sebuah peluru berpandu sistem pertahanan udara Patriot itu dianggarkan bernilai US$4.1 juta (RM18.45 juta). — DSA

AmerikafeaturedIsraelPatriot
Comments (1)
Add Comment