India Hampir Muktamadkan Perolehan Radar Jarak Jauh “Voronezh” Buatan Russia

Sistem radar  jarak jauh berkuasa tinggi "Voronezh" buatan Russia itu direka untuk mengesan dan menjejaki peluru berpandu ballistik, pesawat kombat dan objek di angkasa lepas daripada jarak sejauh 8,000km.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — India dilaporkan hampir untuk memuktamadkan perjanjian kerjasama  pertahanan bernilai US$4 bilion (RM17.8 billion) dengan Rusia untuk memperoleh sistem radar jarak jauh dinamakan “Voronezh”.
Sistem radar  jarak jauh berkuasa tinggi buatan Russia itu direka untuk mengesan dan menjejaki peluru berpandu ballistik, pesawat kombat dan objek di angkasa lepas daripada jarak sejauh 8,000km.
Radar Voronezh itu dikatakan akan memberi keupayaan kepada India untuk mengesan ancaman dari jarak jauh, sekali gus meningkatkan keselamatan dan keupayaan pertahanannya.
Radar berkuasa tinggi itu diibaratkan sebagai “mata tajam di langit” yang mampu memantau dan memberi amaran awal terhadap sebarang bahaya terhadap India, sekaligus menjadikannya langkah penting untuk memperkukuhkan keselamatan negara itu.
Media-media turut menyatakan bahawa India bakal memperkuatkan lagi sistem pertahanannya menerusi perolehan sistem radar amaran awal ‘Voronezh’ daripada Rusia, yang membantunya dalam mengesan potensi serangan peluru berpandu balistik, dan lain-lain ancaman
Sistem radar jarak jauh yang dibangunkan oleh syarikat Almaz-Antey itu dilaporkan akan dipasang di Chitradurga, sebuah bandar di Karnataka.
Kompleks radar “Voronezh” Russia
Menurut penganalisis ketenteraan Russia Alexander Mikhailov , sistem radar jarak jauh Voronezh ini akan menjadi elemen penting dalam pengesanan ancaman peluru berpandu ballistic.
Dalam kenyataannya kepada media Rusia, Sputnik, beliau menjelaskan bahawa sistem ini bekerjasama dengan satelit Russia untuk mengenal pasti pelancaran peluru berpandu balistik dengan pantas.
Apabila satelit mengesan pelancaran peluru berpandu, ia akan menghantar amaran kepada radar Voronezh.
 Radar ini kemudian akan mengesahkan sama ada ancaman itu benar atau tidak.
 Menurut Alexander Mikhailov, tugas utama sistem radar jaraj jauh itu adalah memastikan kewujudan ancaman sebenar, seperti pelancaran peluru berpandu balistik antara benua secara besar-besaran.
 Selain itu, ia turut menyediakan maklumat penting untuk membantu memintas peluru berpandu jika diperlukan.
Secara mudahnya, sistem ini bertindak sebagai lapisan pertahanan kedua yang memastikan pengesanan ancaman secara pantas dan tepat.
Sistem radar Voronezh merupakan komponen penting dalam infrastruktur amaran awal dan pertahanan peluru berpandu ballistik Rusia.
Ia mampu mengenal pasti dan menjejaki pelbagai jenis ancaman, termasuk peluru berpandu ballistik dan pesawat pejuang pada jarak sehingga 8,000 kilometer.

Diperkenalkan pada tahun 2009 dan mula beroperasi sejak 2012, radar ini ditempatkan secara strategik di seluruh Rusia untuk memberikan liputan menyeluruh terhadap potensi ancaman peluru berpandu ballistik daripada musuh-mushnya.
Radar ini menggunakan teknologi phased array, yang membolehkan pancaran radar dikawal secara elektronik dengan pantas.
Ini menjadikannya lebih cekap dan kurang bergantung pada komponen mekanikal berbanding sistem terdahulu.
Terdapat beberapa varian radar jarak Voronezh yang sedang beroperasi pada ketika ini seperti: (Voronezh-M), (Voronezh-DM) dan (Voronezh-CM), selain beberapa varian lain yang menggabungkan pelbagai julat gelombang.
Radar Voronezh yang berbeza ini boleh berfungsi secara serentak sebagai sebahagian daripada Sistem Amaran Awal Serangan Peluru Berpandu yang bersepadu, untuk menghasilkan gambaran radar yang menyeluruh tentang potensi ancaman peluru berpandu dan aktiviti di angkasa.
Radar ini sangat penting untuk memberi amaran awal terhadap ancaman peluru berpandu ballistik dan telah ditempatkan pada lokasi yang strategik bagi mengoptimumkan keupayaan pengesanan terhadap pelbagai ancaman. — DSA

featuredIndiaRussiaVoronezh
Comments (0)
Add Comment