India Berusaha Gagalkan Usaha Bangladesh Perolehi JF-17 “Thunder” Buatan Pakistan-China

Sebagaimana dilaporkan oleh media, kerajaan India tidak mahu Bangladesh memperolehi pesawat pejuang JF-17 yang diperbuat oleh negara-negara yang dianggap sebagai “musuhnya” iaitu Pakistan dan China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dikala Bangladesh dilaporkan bercadang memperolehi sehingga 32 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder” buatan Pakistan-China, negara jirannya India pula dikatakan tidak berpuashati dengan cadangan pembelian itu dan akan berusaha untuk “mengagalkan usaha Bangladesh itu.
Sebagaimana dilaporkan oleh media, kerajaan India tidak mahu Bangladesh memperolehi pesawat pejuang JF-17 yang diperbuat oleh negara-negara yang dianggap sebagai “musuhnya” iaitu Pakistan dan China.
New Delhi juga dilaporkan “tidak senang” dengan tindakan Dhaka berbaik-baik dengan Islamabad dan Beijing dalam sektor pertahanan.
Pesawat pejuang JF-17  itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu  Aircraft  Industry Group (CAIG) daripada China.
Ia digunakan oleh Tentera Udara Pakistan (termasuk varian terkininya Block III) dan turut dieksport ke beberapa negara lain.
Pada ketika ini, hubungan dua hala di antara Bangladesh dan negara jirannya India adalah tidak baik terutamanya selepas kejatuhan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina Ogos tahun lepas yang digulingkan berikutan demonstrasi besar-besaran di negara itu.
JF-17 “Thunder”
Demonstrasi besar-besaran penuntut di Bangladesh telah menyebabkan kejatuhan kerajaan Bangladesh pimpinan Liga Awami yang dipimpin oleh Sheikh Hasina.
Bekas Perdana Menteri Bangladesh itu telah melarikan diri ke India dan kini tinggal dalam buangan di negara jiran Bangladesh itu.
Kerajaan Bangladesh yang kini dipimpin oleh pemenang hadiah Nobel Muhamad Yunus telah beberapa kali mendesak supaya India mengektradisi Sheikh Hasina,beberapa menteri kabinetnya dan bekas pegawai kerajaan untuk diadili atas beberapa tuduhan termasuk pembunuhan tetapi tidak dilayan oleh New Delhi.
Disebabkan keengganan itu, hubungan di antara kedua-dua negara jiran itu semakin tegang.
Malah dalam laporan oleh Defence Security Asia pada Disember tahun lepas menyatakan bahawa India telah mengancam untuk menembak jatuh dron buatan Turkiye, Bayraktar TB2 milik Tentera Bangladesh sekiranya dron ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaissance)  milik negara jirannya itu terbang hampir dengan sempadan kedua-dua negara.
“Kita mempunyai kemampuan untuk menjejaki dan menembak jatuh mana-mana dron atau objek yang menceroboh ruang udara India, “ menurut pegawai berkenaan ketika ditanya tentang laporan berkenaan penerbangan dron Bayraktar TB2 milik tentera Bangladesh berhampiran sempadan kedua-dua negara itu dipercayai untuk misi Intelligence, Surveillance and Reconnaisance (ISR).
Dron Bayraktar Tb2 milik Bangladesh
Dron Bayraktar TB2 milik Bangladesh itu dipercayai berlepas daripada Pangkalan Udara negara itu Tejgaon di ibu negara, Dhaka.
Dron itu dipercayai dioperasikan oleh Tentera Darat Bangladesh ke-67 (67th Army) dan sedang melakukan misi ISR rutin.
Angkatan Tentera Bangladesh dilaporkan telah memperolehi 12 buah Medium Altitude Long Endurance (MALE) Bayraktar TB2 daripada Turkiye dengan enam daripadanya sudah pun beroperasi.
Baru-baru ini Defence Security Asia melaporkan bahawa Bangladesh telah secara “rasmi” menyatakan  minatnya terhadap pesawat pejuang buatan Pakistan dan China, JF-17 “Thunder” untuk memodenkan tentera udara negara Asia Selatan.
Semasa lawatan ke Pakistan pada 15 Januari lalu, delegasi pegawai-pegawai kanan tentera Bangladesh telah menunjukkan minat yang mendalam terhadap sistem pertahanan canggih yang dihasilkan oleh industri pertahanan Pakistan.
Delegasi pegawai-pegawai kanan tentera Bangladesh yang diketuai oleh Lt Jen SM Qamarul Hassan itu turut mengadakan pertemuan dengan panglima Tentera Udara Pakistan Air Chief Marshall Zaheer Ahmad Babar di Air Headquarters, Islamabad.
Kedua-dua pihak membincangkan usaha untuk menjalin kerjasama di antara kedua-dua angkatan tentera terutamanya melibatkan tentera udara.
Juruterbang Tentera Udara Bangladesh di dalam kokpit pesawat pejuang JF-17 “Thunder”
Menurut laporan media tempatan Pakistan itu, pegawai kanan tentera Bangladesh itu memuji kecanggihan sistem-sistem pertahanan yang dihasilkan oleh industri pertahanan Pakistan.
Lt Jen SM Qamarul Hassan itu spesifiknya telah menunjukkan minat terhadap pesawat pejuang JF-17, sehingga menimbulkan spekulasi hebat mendakwa bahawa Tentera Udara Bangladesh amat sememangnya mahu memperolehi pesawat pejuang itu.
Laporan media menyatakan bahawa ini berkemungkinan merupakan petanda pertama daripada Bangladesh tentang “minatnya” terhadap pesawat pejuang J-17.
Tentera Udara Bangladesh sememangnya memerlukan pesawat pejuang moden untuk meningkatkan kemampuannya dan mengelak daripada terus bergantung dengan pesawat-pesawat pejuang yang telah berusia ketika ini seperti F-7 dan MiG-29.
Laporan juga menyatakan bahawa usaha mendapatkan alat-alat ganti bagi pesawat pejuang MiG-29 buatan Russia disebabkan sekatan ekonomi dan ketenteraan yang dikenakan terhadap Moscow akibat konflik dengan Ukraine.
Varian terkini pesawat pejuang JF-17 iaitu Block III dilaporkan memiliki DNA pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon”.
Pesawat JF-17 pada latihan udara Anatolian Eagle 2021.
Antara kemampuan terbaru JF-17 Block III berbanding JF-17 Block 2 adalah pesawat varian termaju JF-17  Block 3 itu dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group. 
Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia.
Bagi sistem persenjataan udara-ke-udara pula, pesawat JF-17 Block 3 ini akan dilengkapi dengan dua jenis peluru berpandu iaitu PL-10 yang turut digunakan oleh pesawat termoden China, J-20 “Mighty Dragon.”
Peluru berpandu udara-ke-udara “PL-10” adalah peluru berpandu jarak dekat yang setanding dengan peluru berpandu AIM-9X buatan Amerika Syarikat.
Satu lagi peluru berpandu udara-ke-udara yang melengkapkan pesawat JF-17 Block 3 adalah “PL-15” yang memiliki jarak operasi sejauh 200km hingga 300km, memberikan kelebihan berbanding peluru berpandu udara-ke-udara dimiliki oleh pesawat-pesawat India. – DEFENCE SECURITY ASIA
BangladeshBayraktar TB2IndiaJF-17Pakistan
Comments (0)
Add Comment