Hyundai Heavy Industries Lancar Kapal Korvet Tentera Laut Filipina “BRP Miguel Malvar”

Kapal korvet BRP Miguel Malvar milik Tentera Laut Filipina merupakan kapal perang permukaan yang canggih dengan panjang keseluruhannya mencecah 118 meter dengan kelajuan kruis 15 knot atau 28 knot sejam dan berupaya beroperasi sejauh 4,500 Batu Nautika (8,300km).

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat Hyundai Heavy Industries (HHI) hari ini melancarkan kapal korvet “BRP Miguel Malvar” yang dibina untuk Tentera Laut Filipina di limbungan kapalnya di Ulsan, Korea Selatan dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan tentera laut kedua-dua negara.

Turut meyaksikan pelancarannya adalah setiausaha pertahanan Filipina Gilberto C. Teodoro.

Kapal korvet BRP Miguel Malvar milik Tentera Laut Filipina merupakan kapal perang permukaan yang canggih dengan panjang keseluruhannya mencecah 118 meter dengan kelajuan kruis 15 knot atau 28 knot sejam dan berupaya beroperasi sejauh 4,500 Batu Nautika (8,300km).

Kapal korvet itu turut dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan termasuk peluru berpandu anti-kapal, Vertical Launch System (VLS) dan radar AESA (Active Electonically Scanned Array) 3D serta sistem penderiannya yang lain bagi membolehkan kapal perang terbaru Filipina itu mengesan pelbagai sasaran musuh secara serentak.

Kapal friget Tentera Laut Filipina yang dibina oleh HHI itu dinamakan BRP Miguel Malvar sempena nama pejuang kemerdekannya Jeneral Miguel Malvar .

Kapal korvet Filipina BRP Miguel Malvar. (credit Yonhap)

 

Ia akan menjalani pelbagai ujian di pelabuhan dan lautan sebelum diserahkan kepada Tentera Laut Filipina pada tahun 2025, manakala kapal korvet kedua yang dijangka dilancarkan pada akhir tahun ini sebelum diserahkan juga pada tahun depan.

Kapal korvet kedua yang dibina oleh HHI untuk Tentera Laut Filipina dilaporkan akan dinamakan BRP Diego Silang.

Kedua-dua kapal korvet Tentera Laut Filipina bernilai USD$550 juta (RM2.6 billion) yang dibina oleh HHI daripada Korea Selatan itu dibina mengikut rekabentuk HDC-3100 dan berkemampuan melaksanakan misi peperangan tiga dimensi iaitu permukaan, bawah permukaan dan udara.

Kapal korvet Tentera Laut Filipina itu akan dilengkapi dengan 16 Vertical Launch System (VLS), lapan butir peluru berpandu anti-kapal, 35mm (close-in weapon system)  dan meriam 76mm.

Laporan media di Filipina sebelum ini mengatakan bahawa kedua-dua buah kapal korvet Tentera Laut Filipina itu akan menggunakan peluru berpandu anti –udara VL Mica manakala bagi untuk anti-kapal pula ia akan menggunakan C-Star yang dibangunkan oleh syarikat LIG Next serta turut digunakan oleh kedua-dua buah kapal friget negara itu.

Kapal friget Tentera Laut Filipina BRP Jose Rizal.
Kapal friget Tentera Laut Filipina “BRP Antonio Luna”

 

Pada 2020 dan 2021, syarikat HHI juga telah menyerahkan dua buah kapal friget kelas-Jose Rizal kepada Tentera Laut Filipina dan sedang beroperasi dengan baik pada ketika ini.

Kerajaan Filipina dalam usaha memodenkan tentera lautnya telah melancarkan AFP Modernization Program, di mana ia telah memesan dengan syarikat pembuat kapal Korea Selatan itu sebanyak 10 buah kapal perang.

10 buah kapal perang yang dipesannya itu terdiri daripada dua buah kapal friget (dipesan pada 2016), dua buah kapal korvet (dipesan pada 2021) dan enam buah kapal peronda pesisir pantai (dipesan pada 2022).

Apa yang menariknya adalah walaupun secara teknikalnya, kapal korvet itu adalah lebih ringan dan kecil berbanding kapal-kapal friget, namun bagi Tentera Laut Filipina, kapal korvet BRP Miguel Malvar seberat 3,200 tan adalah lebih besar dan berat berbanding dua buah kapal frigetnya, BRP Jose Rizal dan BRP Antonio Luna yang memiliki berat 2, 600 tan.

Walauapapun, perolehan-perolehan aset laut oleh Filipina ini bertujuan meningkatkan kehadirannya di Laut China Selatan, di mana Manila sedang berhadapan dengan tindakan agresif Beijing. — DSA

 

featuredFilipinaHyundaiMiguel Malvar
Comments (0)
Add Comment