Pesawat F/A-18D Hornet Milik TUDM Sambut Ulangtahun Ke-25

Dalam satu kenyataan menerusi media sosialnya, TUDM berharap program naiktaraf pesawat pejuang F/A-18D TUDM berikutnya iaitu 'SCS 29C' berjalan seperti yang dirancang bagi meningkatkan lagi kemampuan pesawat F/A-18D ini selari dengan kemampuan pesawat Hornet dari negara lain.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semalam telah berlangsung Sambutan Ulang Tahun Ke-25 atau Jubli Perak No 18 Skuadron yang telah dirasmikan oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM.

Selama 25 tahun sejak 1997 sehingga hari ini, pesawat F/A-18D Hornet Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih berdiri megah dalam menonjolkan kemampuan di tahap yang maksimum demi mempertahankan ruang udara negara.

Bagi menempatkan pesawat ini sejajar dengan keperluan operasi dan perkembangan teknologi masa kini, pihak TUDM telah mengambil inisiatif dalam melaksanakan program naik taraf pesawat iaitu ke tahap ‘SCS 25X’ yang merupakan satu upgrade programme yang dilancarkan pada tahun 2014.

Ini membuktikan bahawa pucuk pimpinan begitu serius terhadap keupayaan aset udara TUDM amnya dan pesawat F/A-18D Hornet khususnya, sebagaimana aspirasi pelan pembangunan keupayaan TUDM (CAP55).

Dalam satu kenyataan menerusi media sosialnya, TUDM berharap program naiktaraf berikutnya iaitu ‘SCS 29C’ berjalan seperti yang dirancang bagi meningkatkan lagi kemampuan pesawat F/A-18D ini selari dengan kemampuan pesawat hornet dari negara lain.

Panglima TUDM dengan pesawat khas F/A-18D. (TUDM)

 

Panglima Tentera Udara di dalam ucapannya melahirkan rasa bangga dengan No 18 Skuadron yang mencapai usia 25 tahun dan telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dalam menjaga kedaulatan ruang udara.

Menurut Panglima Tentera Udara lagi, jasa semua peringkat warga No 18 Skuadron sejak skuadron ditubuhkan amatlah dikagumi.

Komitmen yang tinggi serta semangat “service before self” dalam diri warga No 18 Skuadron seiring dengan keupayaan pesawat F/A-18D dalam menjadikannya sebagai antara tonggak utama pertahanan udara di negara Malaysia yang tercinta.  

Kejayaan No 18 Skuadron dalam misi ‘Ops Daulat’ pada tahun 2013 telah membuktikan keupayaan pesawat ini dalam menyekat pencerobohan pemberontak Sulu di tanah air.

Selain daripada itu, kemampuan sistem pesawat ini juga membolehkan skuadron ini terpilih untuk melaksanakan pelbagai misi dan latihan, sama ada di dalam mahupun luar negara.

(TUDM)

 

Antaranya eksesais Pitch Black pada tahun 2008 dan 2018, selain penglibatan di pertunjukan udara Pameran Langkawi International Maritime and Aerospace (LIMA), sambutan Hari Ulang Tahun ATM, Hari Kebangsaan dan lain-lain.

Semua kejayaan tersebut adalah hasil dari komitmen tinggi warga No 18 Skuadron dalam melakar kenangan manis sepanjang dalam perkhidmatan.

 Setiap anugerah dan pencapaian No 18 Skuadron selama 25 tahun perkhidmatannya merupakan satu penanda aras pengorbanan dan perjuangan yang ditunjukkan oleh seluruh warga No 18 Skuadron dalam memastikan kejayaan dalam setiap operasi menjadi tonggak utama yang mengekalkan keutuhan skuadron ini.

(TUDM)
TUDM

 

Panglima Tentera Udara turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua mantan Pegawai Memerintah No 18 Skuadron sepanjang tempoh 25 tahun kerana telah bertungkus-lumus dalam memastikan No 18 Skuadron sentiasa menjadi skuadron yang disegani di dalam TUDM dan segala jasa warga skuadron tidak akan TUDM lupakan.

Istimewa sebagai simbolik sambutan Jubli Perak No 18 Skuadron, upacara Pelancaran Pesawat disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara dengan memasukkan mission card ke dalam slot yang disediakan sebagai simbolik pelancaran dan pesawat F/A-18D Hornet iaitu M45-01 yang diwarnakan dengan skema warna tema sambutan dan lakaran logo sambutan ulang tahun yang ke-25 diperkenalkan buat julung kalinya di majlis ini diikuti dengan menandatangani plak perasmian. — DSA

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

BoeingF/A-18DfeaturedHornetNo 18 SkuadronTUDM