Hindustan Aeronautics Sedia Tubuh MRO Jika Malaysia Pilih LCA “Tejas” ?

Tawaran itu bagaimanapun, dipercayai adalah bersyarat, sekiranya Malaysia memilih pesawat “Tejas” sebagai pesawat pilihan bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memenuhi keperluan Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat pembuat pesawat India, Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) yang membangunkan pesawat “Tejas” dikatakan bersedia untuk menubuhkan pusat Maintenance, Refurbishment dan Overhaul (MRO) di Malaysia untuk memudahkan penyelenggaran pesawat kebanggaan industri pertahanan India itu.

Tetapi sudah tentu tawaran itu dipercayai bersyarat, iaitu sekiranya Malaysia memilih pesawat “Tejas” sebagai pesawat pilihan bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) untuk memenuhi keperluan Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA).

Sumber yang memberitahu akhbar mingguan The Edge Weekly berkata ia tidak pasti sama ada syarikat-syarikat lain yang bersaing dalam tender FLIT/LCA TUDM turut membuat tawaran yang sama seperti syarikat Hindustan Aeronautics Ltd itu.

Menurut sumber itu lagi, pesawat Tejas memenuhi segala keperluan yang digariskan oleh TUDM.

Sekiranya Malaysia memilih “Tejas” untuk menggantikan pesawat-pesawat Hawk 108 dan 208 serta Aermacchi MB-339CM, maka ia akan menjadikan TUDM dan negara sebagai pasaran eksport bagi pesawat kebanggaan industri pertahanan India.

Ia juga akan bermakna lebih banyak minyak sawit dan produk sawit memasuki pasaran India, memandangkan separuh daripada kos pembelian pesawat FLIT/LCA itu akan dibayar secara timbal-balas minyak kelapa sawit.

 Akhbar itu juga berkata, kewujudan sebuah pusat MRO bagi pesawat “Tejas” di Malaysia menjadikan tawaran oleh HAL itu amat menarik kerana ia mampu mengurangkan kos keseluruhan pengendalian pesawat itu.

Harga bagi sebuah pesawat Tejas dianggarkan US$42 juta sebuah untuk pesawat satu tempat duduk manakala bagi pelatih pula adalah disekitar US$38 juta.

Dua buah pesawat satu tempat duduk Tejas keluaran India juga pernah terlibat pada pameran LIMA pada 2019, menguatkan lagi spekulasi bahawa pesawat itu bakal mengisi keperluan TUDM untuk pesawat tempur ringan.

Dalam laporan media sebelum ini, jurucakap HAL telah menyatakan bahawa ia bersedia untuk mewujudkan kemudahan lojistik di Malaysia, Vietnam, Indonesia dan Sri Lanka bagi menjadikan tawaran penjualan pesawat Tejas lebih menarik.

Kata jurucakap itu, kemudahan lojistik itu adalah untuk memastikan khidmat selepas jualan lebih effisyen, sekaligus menjadikan tawarannya lebih menarik.

LCA Tejas sebagaimana didakwa oleh HAL merupakan pesawat Generasi Ke-Empat mampu terbang selaju Mach 1.6 dengan combat range sejauh 500km dan mampu membawa persenjataan seberat kira-kira 5,000kg.

India baru sahaja menandatangani perjanjian untuk memperolehi sebanyak 83 buah LCA Tejas.

Enjin jet General Electric F404 yang digunakan oleh pesawat Tejas.

 

Selain HAL yang menawarkan pesawat “Tejas” dalam persaingan untuk memikat hati Malaysia bagi program FLIT/LCA, beberapa syarikat pembuat pesawat lain turut tidak ketinggalan.

Antaranya menurut akhbar itu adalah China National Aero-Technology Import & Export Corp (CATIC) yang menawarkan pesawat L-15 dan Korea Aerospace Industries (KAI) yang bekerjasama dengan syarikat tempatan, Kemalak Systems Sdn Bhd untuk menawarkan to pesawat F/A- 50.

Manakala syarikat, Turkey Aerospace Industries pula menawarkan pesawat LCA, Hürjet.

Sementara itu syarikat Itali, Leonardo menawarkan pesawat M-346, dengan spekulasi mengatakan syarikat Itali itu bersedia mengambil kesemua pesawat Aermacchi MB-339CM milik TUDM dan menggantikannya dengan pesawat M-346 bagi memenuhi keperluan FLIT/LCA TUDM.

Syarikat Aerospace Technology Systems Corp Sdn Bhd (ATSC) — yang 71.43 peratus daripadanya dikuasai oleh National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd (Nadi) milik Tan Sri Ahmad Johan, 23 peratus oleh syarikat,  Russian Aircraft dan 4.76 peratus oleh Rosoboronexport pula menawarkan pesawat MIG -35.

Spekulasi juga mengatakan bahawa Russia bersedia mengambil semula pesawat MiG-29N TUDM sekiranya negara memilih MiG-35.

Bagaimanapun, MiG-35 bukanlah sebuah pesawat FLIT/LCA.

 Apa yang menarik menurut akhbar The Edge itu adalah, Pakistan yang dikatakan antara pesaing utama untuk memenangi kontrak Malaysia menerusi pesawat JF-17 Thunder, disahkan tidak menyertai tender lumayan itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

FLIT-LCAHALIndiaMalaysiaTUDM