Filipina Mahu Peroleh Sistem Roket HIMARS, Tambah Perolehan “Brahmos”

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu “Brahmos” dan HIMARS untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas dan menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di Laut China Selatan.

(DEFENCE SECURITY) – Filipina merancang untuk memiliki Sistem Lancaran Roket Berganda (SLRB) “HIMARS” dan lebih banyak sistem peluru berpandu anti-kapal “Brahmos” bagi meningkatkan lagi pertahanannya, ketika isu mengenai Laut China Selatan semakin memuncak.

Perkara itu dinyatakan oleh Panglima Tentera Darat Filipina Jeneral Romeo Brawner ketika majlis sambutan Rejimen Artilleri Tentera Darat negara itu baru-baru ini.

“Di dalam tahun-tahun yang akan mendatang ini, anda akan melihat Rejimen Artilleri Tentera Darat yang lebih kuat dan lebih berkuasa.”

“Kita perlu bersedia lebih awal untuk segala kemungkinan dan salah satu unit yang sedang dipersiapkan adalah Rejimen Artilleri Tentera Darat, “ kata beliau.

Tahun lepas, Filipina telah menganugerahkan kontrak bernilai US$374 juta (RM1.5 bilion) kepada Brahmos Aerospace Private Ltd untuk membekalkan sistem peluru berpandu anti-kapal kepada negara jiran itu.

Filipina mahu menggunakan sistem peluru berpandu “Brahmos” itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas dan menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di Laut China Selatan.

Tiga bateri sistem peluru berpandu anti-kapal “Brahmos” yang dipesan oleh Manila itu akan dioperasikan oleh Kor Marin Tentera Laut Filipina.

Bateri pertama sistem peluru berpandu anti-kapal buatan India-Russia itu dijangka diterima oleh Filipina pada akhir tahun ini manakala selebihnya selepas itu.

Tentera Darat Filipina pula dijangka memesan dua bateri sistem peluru berpandu anti-kapal itu pada tahun ini,menjadikan keseluruhan bateri peluru berpandu “Brahmos” yang bakal dimiliki oleh negara Asia Tenggara itu sebanyak lima buah untuk mempertahankan pesisir pantainya daripada sebarang anasir luar.

Presiden Filipina “Bong Bong” Marcos ketika merasmikan latihan Balikatan 2023.

 

Dengan kelajuan Mach 2.8-3,  peluru berpandu itu berkemampuan membedil sasaran sejauh 290km dan ia memberikan kemampuan yang belum pernah dimiliki oleh Filipina sebelum ini.

Bagi sistem HIMARS pula, sekiranya Filipina memiliki sistem itu ia akan menjadi negara kedua selepas Singapura memiliki sistem itu yang digunakan dengan berkesan oleh tentera Ukraine pada ketika ini.

Walaupun pada ketika ini hanya Singapura memiliki sistem HIMARS, tetapi sistem SLRB itu bukanlah asing kepada Tentera Filipina kerana ia kerap berlatih menggunakannya hasil latihan bersama dengan Tentera Amerika Syarikat.

Pada latihan Balikatan 2023, tentera Amerika Syarikat telah menggunakan pesawat pengangkut C-130 untuk menerbangkan sistem HIMARS ke Pulau Palawan dalam apa yang dipanggil oleh mereka sebagai “HIMARS Rapid Infiltration Drill.”

Peluru berpandu BrahMos yang dibangunkan secara bersama oleh India dan Russia.

 

Tentera Amerika Syarikat juga mengerahkan sistem HIMARS ke Batanes, jaringan kepulauan di Selat Luzon yang terletak di selatan Taiwan.

Dalam latihan itu, sistem HIMARS turut digunakan sebagai senjata anti-kapal, walaupun tiada satu pun daripada enam roket yang dilancarkan berjaya mengenai sasaran.

“Dalam latihan Balikatan tahun ini,anggota tentera Filipina telah dilatih oleh anggota tentera Amerika Syarikat untuk menggunakan sistem (HIMARS) yang moden ini. Apabila kita memiliki sistem ini, kita memiliki anggota yang akan mengoperasikannya,” kata Panglima Tentera Darat Filipina itu. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

BrahmosChinafeaturedFilipinaHIMARSPeluru berpandu