China Keluarkan Video Pesawat Serang Guam

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebuah video promosi sepanjang dua minit yang dikeluarkan oleh Tentera China telah menunjukkan bagaimana pesawat pengebomnya menggugurkan bom ke atas sebuah pengkalan udara yang mirip kepada Andersen Air Base di Guam.

Andersen Air Base di Guam itu merupakan pengkalan utama Tentera Amerika di Laut Pasifik dan kerapkali digunakan oleh negara kuasa dunia itu untuk mengimbangi kekuatan tentera China terutamanya di Laut China Selatan.

Pengkalan di Guam juga digunakan oleh Tentera Amerika untuk menempatkan pelbagai pesawat pejuang termasuk pesawat pengebom strategik B-1B Lancer, kapal-kapal tentera laut dan kapal selam berkuasa nuklear.

Kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika juga sering singgah di Guam ketika dalam misi di Laut China Selatan.

Dalam video promosi, ia menunjukkan sebuah pesawat pengebom strategik China daripada jenis H-6K berlepas daripada landasan di Tanah Besar China menuju ke Lautan Pasifik.

Ketika berada di Lautan Pasifik, seorang krew kapal terbang kelihatan telah menekan butang yang menyaksikan perlepasan satu peluru berpandu.

Peluru berpandu yang tidak diketahui jenisnya itu telah mengenai sebuah pengkalan udara.

Pengkalan udara yang kelihatan seperti Guam itu telah meletup selepas dibedil oleh pesawat pengebom China itu.

Akhbar The South China Morning Post dan agensi berita Reuters juga mengatakan video promosi yang dikeluarkan oleh Tentera China menerusi platform sosial media negara itu, Weibo sememangnya memaparkan Guam.

Pesawat pengebom strategik H-6K itu mempunyai radius operasi sejauh 2,000 batu, meletakkan pengkalan udara di Guam itu dalam jangkauannya.

Pesawat pengebom China itu yang berdasarkan kepada pesawat pengebom Russia Tupolev TU-15, mampu membawa peluru berpandu Air Launched Ballistic Missile (ALBM) yang boleh dilengkapi dengan senjata nuklear.

Ia juga mampu membawa pelbagai senjata standoff dan pelbagai jenis peluru berpandu bagi tujuan menyerang kapal-kapal perang serta kapal pengangkut pesawat.

Tahun lepas, syarikat pertahanan China, Norinco telah mengumumkan ia telah membina bom dipanggil “Mother of All Bombs” seberat lebih 10 tan yang bakal dibawa oleh pesawat H-6K bertujuan menyerang pengkalan dan penempatan musuh.

Pesawat H-6K dibina oleh syarikat Xian Aircraft Industrial Corporation.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Andersen AirbaseChinaGuamH-6K
Comments (0)
Add Comment