Greek Beli Jet Rafale dan Friget Baru, Erdogan Berang

 

Pesawat Omnirole Rafale buatan Dassault Aviation mampu membawa pelbagai jenis senjata moden. (kredit internet)

Dalam keputusan yang bakal memarakkan lagi api permusuhan di antara Athens dan Ankara, Greek mengumumkan ia akan meningkatkan lagi kekuatan angkatan tenteranya menerusi pembelian beberapa sistem persenjataan offensif.

Perdana Menteri Greek, Kyriakos Mitsotakis mengumumkan pembelian 18 buah pesawat pejuang Rafale, empat buah kapal friget, empat buah helikopter tentera laut, peluru berpandu, torpedo dan pelbagai lagi.

Selain itu, negara Mediterranean itu juga akan merekrut 15,000 anggota tentera tambahan dalam tempoh beberapa tahun akan datang ini, selain mengembalikan kegemilangan industri pertahanannya.

“Masanya telah tiba untuk kita memperkuatkan angkatan tentera, inisiatif ini akan menjadi program perisai negara,” kata Mitsotakis.

Usaha memperkuatkan “taring” tentera Greek itu adalah yang paling besar dalam tempoh dua dekad.

Perdana Menteri Greek Kyriakos Mitsotakis (kiri) bersama Presiden Turki Recep Tayyep Erdogan dalam satu pertemuan tidak lama dahulu. (kredit internet)

Pesawat pejuang Omnirole, Rafale buatan syarikat Dassault Aviation yang dilengkapi dengan dua enjin dan mampu membawa pelbagai jenis sistem persenjataan moden.

Ia akan menambah kekuatan tentera udara Hellenic yang kini banyak bergantung kepada pesawat pejuang F-16 Fighting Falcon. Ia memiliki lebih daripada 150 buah F-16 dan bercadangkan meningkatkan kemampuannya ke tahap “Viper.”

Turki juga banyak bergantung kepada lebih 240 buah pesawat pejuang F-16 Block 40 dan Block 50 pada ketika.

Ankara sepatutnya memperolehi pesawat pejuang generasi ke-5 F-35 daripada Amerika Syarikat, tetapi Ankara dikeluarkan daripada program pembinaan pesawat itu selepas enggan menerima desakan Washington supaya membatalkan pembelian sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

Sebagaimana yang kita semua tahu, hubungan antara Greek dan Turki pada ketika ini sedang hangat berikutan usaha mencarigali gas dan minyak Turki di perairan timur Mediterranean.

Baru-baru ini, Ankara telah menghantar kapal kajian seismiknya “Oruc Reis” ke perairan timur Mediterranean berhampiran Cyprus dan Greek untuk mencarigali sumber hidrokarbon berharga.

Tindakan Turki itu telah dibantah keras oleh Greek dan kerajaan Cyprus yang pro kepada Athens dan beberapa negara Eropah yang menyebelahi kerajaan Mitsotakis.

Sebagai tindak balas, Athens dan sekutunya termasuk Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (ya, sebuah negara Arab) telah mengadakan latihan tentera besar-besaran di perairan timur Mediterranean.

Perdana Menteri Perancis Emmanuel Macron dipetik sebagai berkata masanya telah tiba untuk “bertegas” dengan Turki dan menggambarkan tindak-tanduk Ankara sebagai “tidak boleh dipersetujui.”

Presiden Recep Tayyep Erdogan membalas kenyataan Macron itu dengan berkata, Perancis tidak mempunyai hak moral untuk mengkritik Turki, sambil merujuk pembabitan Paris dalam kejadian pembunuh beramai-ramai dalam Perang Kemerdekaan Algeria dan di Rwanda.

“Kamu (Macron) tidak mempunyai pengetahuan tentang sejarah. Kamu tidak mengetahui tentang sejarah Perancis. Jangan main-main dengan Turki,” kata Erdogan sebagaimana dipetik oleh akhbar “Daily Sabah.”

Salah sebuah kapal Friget milik Tentera Laut Greek yang turut dipanggil “Hellenic Navy”. (kredit internet)

Tidak lama selepas latihan tentera di perairan dipertikaian itu, Turki pula mengerahkan lebih 40 buah kereta perisai dan kereta kebal ke sempadan bersamanya dengan Greek di wilayah Edirne.

Walaupun Ankara menafikan penghantaran aset tenteranya ke sempadan bersama Greek itu ada kaitan dengan konfliknya dengan Greek, namun ia telah meningkatkan lagi kehangatan permusuhan antara kedua negara berjiran yang juga adalah anggota North Atlantic Treaty Organisation (NATO).

Greek juga berang dengan tindakan Turki menukar bekas gereja orthodoks pada zaman Byzantine, Hagia Sophia daripada sebuah muzium kepada masjid.

— DEFENCE SECURITY ASIA